
📚 MESYUARAT FIQH MINGGUAN IIDM SIRI KE-21
Mengukuhkan Tradisi Turath, Memperkasa Fiqh al-Waṭan
Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) terus memperkukuhkan tradisi pengajian turath melalui Mesyuarat Fiqh Mingguan Siri Ke-21 yang berlangsung pada 23 Julai 2026 secara dalam talian melalui Zoom Meeting.
Pada siri kali ini, para asatizah telah meneruskan pembacaan dan perbahasan Kitab al-Nikah daripada Minhāj al-Ṭālibīn karya al-Imam al-Nawawi, dengan syarah berpandukan karya-karya muktabar ulama mazhab al-Syafi‘i seperti Hāsyiyata Qalyūbī wa 'Umairah, Tuḥfat al-Muḥtāj, Nihāyat al-Muḥtāj, Mughnī al-Muḥtāj dan I‘ānat al-Ṭālibīn.
Perbincangan tertumpu kepada hukum-hakam peminangan dan perkahwinan, dan juga turut merangkumi penelitian terhadap isykalat fiqh, kaedah istinbat, analisis usul fiqh serta penghuraian perbezaan pandangan para fuqaha' Syafi‘iyyah mengenai:
• sifat-sifat pasangan yang dianjurkan syarak;
• hukum melihat bakal pasangan sebelum peminangan;
• hukum memandang wanita ajnabiyyah;
• konsep الشهوة dan الفتنة menurut fuqaha';
• kedudukan خلاف الأولى dan الكراهة dalam mazhab al-Syafi‘i; serta
• penelitian terhadap maslahat yang menjadi asas kepada hukum-hakam munakahat.
Pendekatan ini menggambarkan bahawa fiqh menerapkan aspek yang mendalam mengenai kefahaman terhadap halal dan haram, bahkan memahami hikmah, maslahat dan maqasid syariah yang mendasari sesuatu hukum.
Selaras dengan gagasan Fiqh al-Waṭan yang dibangunkan oleh IIDM, pengajian turath seperti ini merupakan sebahagian daripada usaha membentuk kefahaman Islam yang menyeluruh, yang menggabungkan fardu ain dan fardu kifayah.
Fardu ain diterjemahkan melalui pengukuhan ilmu tauhid, fiqh merangkumi ibadah, muamalat munakahat dan Jinayat serta tasawuf yang menumpukan aspek adab kehidupan seorang Muslim, manakala fardu kifayah pula dizahirkan melalui pembinaan budaya penyelidikan, penguasaan metodologi istinbat hukum, penyelesaian isu-isu semasa serta pembinaan masyarakat dan negara berteraskan syariat.
Melalui pendekatan Fiqh al-Waṭan, IIDM berusaha melahirkan ilmuwan yang bukan sahaja memahami teks-teks turath secara mendalam, bahkan mampu menghubungkan khazanah fiqh klasik dengan realiti masyarakat Malaysia, demi memelihara agama, institusi kekeluargaan, keharmonian sosial serta kesejahteraan negara.
Semoga tradisi muzakarah ilmiah ini terus menyuburkan budaya tafaqquh fi al-din, memperkukuhkan warisan keilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah menurut manhaj al-Imam al-Syafi‘i serta melahirkan generasi ilmuwan yang mampu memimpin umat dengan ilmu, hikmah dan kebijaksanaan.
"Fiqh al-Waṭan Memaknai 556 tahun Kesultanan dan Peradaban Islam Pahang."
#InstitutIlmuDarulMakmur
#556tahunkesultanandanperadabanislampahang
#IIDM
#FiqhAlWatan
#MesyuaratFiqh
#Turath
#MazhabSyafii
#MinhajAlTalibin
#PenyelidikanIslam
#TafaqquhFiAlDin
#PeradabanUmmah





