Bagi menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah supaya Majlis Ugama dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang diterajui oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah selaku Tuanku Yang Dipertua dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim sebagai Timbalan Yang Dipertua, untuk menubuhkan sebuah Pusat Ilmu dan Peradaban di Negeri Pahang, maka ditubuhkan Institut Ilmu Darul Makmur melalui anak syarikat MUIP iaitu MUIP Education Sdn Bhd.
Organisasi dan operasi MUIP Education Sdn Bhd telah distruktur bagi melaksanakan 2 tanggungjawab utama:
1. Pembentukan Institut Ilmu Darul Makmur sebagai Pusat Penyelidikan Dasar (Policy Research Think-Tank) bagi kemajuan ilmu, pendidikan dan peradaban Islam Negeri Pahang yang mengandungi pusat-pusat pembangunan ilmu turath/tradisi Islam, penyelidikan isu semasa, dakwah, dialog peradaban, Pusat Fiqh al-Watan dan Pusat Bahasa Arab.
2. Pengurusan dan pembangunan agensi-agensi pendidikan MUIP sedia ada seperti Tadika Pintar Al-Qur’an – TPQ MUIP (16 buah), Sekolah Menengah Ugama MUIP – SMUM (4 buah) dan Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan.
Tujuan Utama Penubuhan Institut Ilmu Darul Makmur
- Menjelas dan menyebarluas kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di Negeri Pahang berdasarkan akidah Asha’irah – Maturidiyyah, fekah Syafi’e disamping meraikan 3 mazhab fekah muktabar dan tasawuf pendekatan Junayd dan Al-Ghazali.
- Menjadikan kesempurnaan dan kesepaduan ilmu-ilmu Iman (Tauhid), Islam (Fekah) dan Ihsan (Tasawuf) digabungjalin dengan Fiqh al-Watan (Tatacara Kehidupan Bertanah Air) sebagai asas dan teras pembinaan Peradaban Islam di Negeri Pahang dalam konteks kehidupan kontemporari.