Skip navigation
Laman UtamaMengenai KamiMedia IIDM-MUIPAgensi Pendidikan

IIDM-MUIP PERKUKUH PERANAN AHLI BAHTHUL MASAIL DALAM PENGEMBANGAN GAGASAN FIQH AL-WATAN PAHANG

JANDA BAIK, 9 NOVEMBER 2026 – Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) telah menganjurkan Bengkel Pengukuhan Manhaj Fatwa dan Fiqh Semasa Ahli Bahthul Masail IIDM-MUIP bertempat di Maahad An-Noer Littafaqquh Fiddin, Kampung Chemporoh, Janda Baik, Bentong, Pahang.

Bengkel ini antara lain memberi penekanan kepada usaha menyelaras kefahaman dan memperkukuh peranan Ahli Bahthul Masail IIDM-MUIP dalam memahami serta mengembangkan gagasan Fiqh al-Watan sebagai tatacara kehidupan berranah air Negeri Pahang.

Dalam sesi pembentangan, Al-Fadhil Ustaz Mu'az bin Zakaria telah mengupas kerangka Fiqh al-Watan dengan menekankan kepentingan sesebuah watan mempunyai falsafah serta hala tuju tersendiri yang dapat menjadi panduan dalam membangunkan masyarakat dan peradaban. Menurut beliau, sebuah gagasan yang tersusun diperlukan bagi memandu usaha pembangunan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk agama, pemerintahan, kemasyarakatan dan kelestarian.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa IIDM-MUIP mempunyai tanggungjawab dan ruang yang besar untuk mengusahakan pembinaan falsafah negeri berteraskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), selaras dengan kedudukan dan peranannya dalam pembangunan hal ehwal Islam di Pahang. Para ahli Bahthul Masail turut diberikan gambaran mengenai peluang serta ruang penglibatan mereka dalam menyumbang kepada pembinaan gagasan tersebut berdasarkan tradisi keilmuan Islam yang menjadi pegangan selama ini.

Beliau turut menyentuh keistimewaan institusi Kesultanan yang menyediakan asas kesinambungan dalam pembangunan falsafah negeri. Melalui naungan dan kelangsungan institusi Kesultanan, sesuatu gagasan yang dibangunkan dapat dipelihara sebagai panduan jangka panjang, merentasi perubahan kepimpinan dan zaman.

Sesi seterusnya menyaksikan pembentangan Al-Fadhil Ustaz Hafizan yang memberikan penekanan kepada strategi, realiti serta cabaran yang dihadapi dalam konteks Negeri Pahang. Perbincangan tersebut menyoroti keperluan kepada tindakan yang terancang dan tersusun bagi memperkukuh perpaduan masyarakat serta memelihara keamanan dan keselamatan negeri.

Sementara itu, Al-Fadhil Ustaz Nik Sofauurahman membentangkan beberapa aspek pembangunan yang perlu diberikan perhatian oleh Ahli Bahthul Masail IIDM-MUIP. Beliau turut menjelaskan hala tuju dan harapan IIDM terhadap peranan para ahli, khususnya dalam membentuk pemikiran fiqh yang bukan sekadar membincangkan persoalan hukum, bahkan mampu menyumbang kepada penyelesaian isu semasa serta pembangunan peradaban masyarakat.

Bengkel kemudiannya diteruskan dengan sesi dialog yang membuka ruang kepada para asatizah untuk mengemukakan pandangan, persoalan dan cadangan berdasarkan pengalaman serta pengamatan masing-masing. Perbincangan turut menyentuh keperluan memperkukuh strategi gerak kerja agar gagasan Fiqh al-Watan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada masyarakat.

Antara cadangan yang diketengahkan termasuk usaha menerbitkan semula karya-karya keilmuan Islam dalam bentuk dan pendekatan yang lebih sesuai dengan keperluan semasa, khususnya bagi membantu masyarakat memahami dan menghayati ilmu Fardu Ain secara lebih tersusun dan menyeluruh.

Secara keseluruhannya, para asatizah bersetuju bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk membawa gagasan Fiqh al-Watan ke tengah-tengah masyarakat Pahang. Hasrat ini memerlukan kesepaduan pemikiran, perancangan strategik dan gerak kerja berterusan agar ilmu serta kefahaman fiqh dapat diterjemahkan kepada amalan kehidupan yang membina kedaulatan, kerukunan dan kelestarian negeri.

Penganjuran bengkel ini merupakan antara usaha IIDM-MUIP memperkukuh tradisi perbahasan ilmu dalam kalangan para ilmuwan dan pendakwah, di samping menyatukan kefahaman serta menggerakkan peranan mereka dalam menjayakan agenda Fiqh al-Watan di Negeri Pahang.

“MEMBUDAYAKAN ILMU, MEMPERKASAKAN WATAN”

#FiqhalWatan
#MembudayakanIlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556TahunKesultananDanPeradabanIslamPahang
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat

View original on Facebook

Share