Skip navigation
Laman UtamaMengenai KamiMedia IIDM-MUIPAgensi Pendidikan

IIDM MEMPERKUKUH PENGHAYATAN FIQH AL-WATAN DALAM KALANGAN AHLI BAHTHUL MASAIL MELALUI WACANA KEILMUAN TURATH

JANDA BAIK, 11 November 2026 – Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) telah menganjurkan Bengkel Pengukuhan Manhaj Fatwa dan Fiqh Semasa Ahli Bahthul Masail IIDM–MUIP pada 9 hingga 11 November 2026 bertempat di Maahad An-Noer Littafaqquh Fiddin, Kampung Chemporoh, Janda Baik, Pahang.
Penganjuran bengkel selama tiga hari dua malam ini merupakan sebahagian daripada inisiatif IIDM untuk memperkukuh tradisi keilmuan Islam dalam kalangan Ahli Bahthul Masail berteraskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah, di samping memperluas keupayaan para ilmuwan turath untuk memahami dan mengaplikasikan khazanah fiqh dalam konteks realiti kenegaraan, institusi fatwa, perundangan serta sistem kewangan dan perbankan Islam semasa di Malaysia.
Bengkel ini menghimpunkan Ahli Bahthul Masail IIDM daripada kalangan Pegawai Jabatan Mufti Negeri Pahang, asatizah pondok dan madrasah, tenaga pengajar Maahad An-Noer, Pegawai Hal Ehwal Islam serta Felo Muda Fiqh al-Watan IIDM, bersama pakar-pakar dalam bidang fatwa, perundangan dan kewangan Islam.

MEMPERKUKUH FIQH AL-WATAN SEBAGAI KERANGKA PEMBINAAN PERADABAN

Pengisian bengkel dimulakan dengan wacana pengenalan Fiqh al-Watan yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam IIDM, antaranya Ustaz Muaz bin Zakaria, Ustaz Nik Mohd Sofa’urrahman bin Nik Mohd Rosdi, Ustaz Mohamad Hafizan bin Baharom serta barisan pegawai yang terlibat dalam penyelarasan gagasan tersebut.
Ustaz Muaz bin Zakaria mengupas kerangka besar Fiqh al-Watan dengan meneliti falsafah kenegaraan, hubungan agama dengan sistem pemerintahan serta kepentingan memahami Islam secara holistik melalui kesepaduan Iman, Islam dan Ihsan sebagaimana yang terkandung dalam Hadis Jibril.
Beliau turut menekankan bahawa kefahaman agama tidak sewajarnya terbatas kepada perbahasan hukum secara juz'i semata-mata, sebaliknya perlu dikembangkan untuk memahami tanggungjawab manusia dalam membina kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Sementara itu, Ustaz Nik Mohd Sofa’urrahman mengangkat perbahasan fiqh melalui kerangka pembinaan peradaban dengan memberikan penekanan terhadap hubungan antara mahkum fih (perkara yang dihukum), realiti kehidupan dan implikasi sesuatu hukum terhadap pembentukan kerukunan masyarakat, kedaulatan pemerintahan serta kelestarian alam sekitar.
Pendekatan ini memperlihatkan bahawa fiqh bukan sekadar disiplin menentukan hukum perbuatan mukalaf, bahkan mempunyai peranan yang lebih luas dalam mengatur kehidupan manusia dan membangunkan peradaban watan.
Ustaz Mohamad Hafizan bin Baharom pula mengetengahkan cabaran pemikiran dan kefahaman agama dalam masyarakat semasa, khususnya kepentingan memperkukuh penguasaan ilmu Fardhu ‘Ain yang berteraskan kesepaduan Tauhid, Fiqh dan Tasawuf bagi mendepani pelbagai aliran pemikiran serta ideologi yang mencabar pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

MENGHUBUNGKAN TRADISI BAHTHUL MASAIL DENGAN INSTITUSI FATWA PERSEKUTUAN

Bengkel diteruskan dengan pembentangan oleh Dr. Syed Shahridzan bin Syed Mohamed, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang juga pernah berkhidmat dalam bidang penyelidikan di Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Beliau membentangkan tajuk berkaitan institusi fatwa, manhaj pengfatwaan serta metodologi Bahthul Masail dengan menjelaskan kedudukan fatwa dalam sistem pentadbiran Islam di Malaysia, perbezaan antara fatwa yang diwartakan dengan pandangan hukum yang tidak diwartakan, serta hubungan disiplin fiqh dengan proses pengeluaran fatwa.
Pembentangan turut menyentuh kepentingan berpegang kepada pandangan muktamad Mazhab Syafi‘i, disiplin pentarjihan, hierarki pendapat ulama serta pertimbangan maslahah dan realiti semasa dalam penyelidikan hukum.
Perbahasan ini disusuli perkongsian bersama Ustaz Abdulhakim Fakhruddeen, Pegawai Penyelidik Unit Buhuth, Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, berkaitan pendekatan penelitian masalah dan penyusunan perbahasan hukum.
Melalui sesi Round Table Discussion (RTD), para peserta turut meneliti kaedah membangunkan perbahasan hukum yang bermula daripada pemahaman realiti sesuatu isu (tasawwur al-mas'alah) sebelum dirumuskan dalam bentuk surah al-mas'alah untuk penelitian dalil dan ibarah fuqaha.
Antara isu yang mendapat perhatian ialah perbahasan kedudukan Malaysia sebagai Daulah Islam berdasarkan penelitian nas dan pandangan fuqaha Mazhab Syafi‘i mengenai pembahagian Dar al-Islam dan Dar al-Kufr, termasuk huraian Imam al-Nawawi serta ulama mutaqaddimin dan mutaakhkhirin.
Perbincangan tersebut membuka ruang kepada usaha membangunkan model Bahthul Masail yang lebih tersusun dan bersesuaian dengan realiti pentadbiran serta sistem kenegaraan Malaysia, khususnya Negeri Pahang.

MEMAHAMI PERUNDANGAN SIVIL DAN SYARIAH

Sesi berikutnya menampilkan Dr. Mohammad Ramzi bin Zakaria, pakar perundangan. Beliau mengupas struktur Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, peranan institusi Kesultanan sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri serta pembahagian bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.
Penjelasan turut merangkumi implikasi Perkara 3, Perkara 74, Perkara 121(1A) dan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan terhadap kedudukan institusi agama serta pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia.
Pelbagai persoalan dikemukakan oleh peserta, termasuk isu pertindihan bidang kuasa, kedudukan perundangan Syariah dalam kerangka federalisme serta cabaran penggubalan dan pelaksanaan undang-undang Islam.
Perkongsian ini memberikan pendedahan penting bahawa penelitian fiqh dalam konteks negara moden memerlukan kefahaman terhadap struktur perlembagaan, bidang kuasa institusi dan mekanisme perundangan yang mengatur pelaksanaannya.

MERUNGKAI REALITI KEWANGAN DAN PERBANKAN ISLAM KONTEMPORARI

Bengkel turut mendapat pengisian daripada Tuan Muhammad Izzam bin Mohd Khazar, Pengarah MIM Advisory, yang berkongsi kepakaran dalam bidang fiqh muamalat, struktur akad, produk kewangan Islam dan tadbir urus Syariah.
Beliau menghuraikan hubungan antara sistem ekonomi, kewangan dan perbankan serta bagaimana prinsip fiqh muamalat diterjemahkan ke dalam produk dan operasi institusi kewangan Islam yang tertakluk kepada kerangka perundangan dan kawal selia Bank Negara Malaysia.
Antara isu yang dibincangkan ialah struktur pembiayaan rumah dan kenderaan, pemilikan aset, pengagihan risiko, pelaksanaan akad murabahah, tawarruq dan ijarah, di samping persoalan caj dalam produk ar-Rahnu serta perbezaan antara konsep pinjaman dan pembiayaan Islam.
Sesi ini memperlihatkan kepentingan memahami bukan sahaja hukum dan struktur akad yang dihuraikan dalam kitab turath, bahkan proses pelaksanaan sebenar sesuatu produk dalam sistem perbankan moden.
Pendedahan tersebut mendapat sambutan yang sangat positif daripada peserta, khususnya dalam memperjelas hubungan antara prinsip fiqh muamalat dengan operasi, dokumentasi kontrak, tadbir urus Syariah dan peraturan kewangan Islam di Malaysia.

MENYATUKAN KEPAKARAN TURATH DAN DISIPLIN PROFESIONAL

Keistimewaan bengkel ini terletak pada usaha mempertemukan ilmuwan turath dengan pakar daripada pelbagai disiplin profesional bagi membentuk kefahaman hukum yang lebih menyeluruh.
Tradisi Bahthul Masail yang berteraskan penelitian ibarah, pentarjihan dan penguasaan khazanah mazhab diperkukuh melalui pendekatan kontekstualisasi yang mengambil kira keadaan sebenar masyarakat, struktur institusi, perundangan negara serta perkembangan sistem ekonomi dan kewangan.
Pendekatan ini diharapkan dapat merapatkan jurang antara tradisi pengajian pondok dengan dunia akademik, institusi fatwa dan sektor profesional, seterusnya membolehkan ahli Bahthul Masail menyumbang secara lebih berkesan terhadap penyelesaian persoalan semasa.
Bengkel turut menerima kehadiran wakil Jabatan Mufti Negeri Pahang, Al-Fadhil Ustaz Fadhlur Rahman, serta para asatizah dan ahli Bahthul Masail, antaranya Ustaz Solah bin Abd Aziz, Ustaz Abdullah bin Shidi, Ustaz Muhammad Zubair bin Abd Halim, Ustaz Ahmad Sulaiman bin Benzin, Ustaz Mohd Zulkifli Zakaria, Ustaz Abdul Ghani bin Abdurrazzaq dan wakil tenaga pengajar Maahad An-Noer.
Para peserta turut menyatakan penghargaan terhadap pengisian yang membuka perspektif baharu, khususnya dalam bidang perundangan dan perbankan Islam, selain mencadangkan agar wacana bersama pakar diteruskan dengan sesi yang lebih mendalam pada masa akan datang.
IIDM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Maahad An-Noer Littafaqquh Fiddin atas kerjasama dan layanan sepanjang penganjuran bengkel, para panel pembentang, agensi yang terlibat serta seluruh ahli Bahthul Masail yang memberikan komitmen dan sumbangan ilmiah.
Diharapkan kesinambungan program seumpama ini dapat memperkukuh peranan Bahthul Masail IIDM sebagai medan penyelidikan dan perbahasan hukum yang bukan sahaja memelihara ketulenan tradisi keilmuan Islam, bahkan mampu menghubungkan warisan intelektual para fuqaha dengan tuntutan kehidupan dan sistem kenegaraan semasa.

Inilah antara aspirasi Fiqh al-Watan yang diperjuangkan IIDM: mengangkat tradisi ilmu sebagai asas pembinaan insan, kerukunan masyarakat, kedaulatan institusi dan kelestarian peradaban watan.

“Membudayakan Ilmu, Memperkasakan Watan”

#IIDM #MUIP #FiqhAlWatan #BahthulMasail #ManhajFatwa #TurathIslami #PerundanganSyariah #PerbankanIslam #AhliSunnahWalJamaah #PeradabanWatan #PahangDarulMakmur#JabatanMuftiNegeriPahang#jabatanmuftiwilayah

View original on Facebook

Share