Skip navigation
Laman UtamaMengenai KamiMedia IIDM-MUIPAgensi Pendidikan

MAJLIS PEMBUKAAN MULTAQA & MUZAKARAH FIQH AL-WATAN GURU-GURU PONDOK PANTAI TIMUR 1.0

PEKAN, 17 NOVEMBER 2026- Seramai 70 orang tuan-tuan guru dan asatizah pondok dari Pahang, Terengganu dan Kelantan berhimpun dalam Multaqa & Muzakarah Fiqh Al-Watan Guru-Guru Pondok Pantai Timur 1.0 bagi membincangkan hala tuju serta memperkukuh peranan institusi pondok dalam memelihara tradisi keilmuan Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Antara fokus utama Multaqa dan Muzakarah ini adalah kepentingan institusi pondok untuk bergerak dalam kerangka Siyasah Syar’iyyah Sultaniyyah yang memiliki tradisi dan autoriti agama yang sah dari sudut syara’ dan terbukti berkesan dalam memelihara al-Din dan al-Daulah bagi umat Islam berabad-abad lamanya sebelum kedatangan para penjajah.

Selain itu, penekanan turut diberikan kepada pemerkasaan pengajian Fardu Ain Tauhid, Tasawuf dan Fiqah berteraskan tradisi Turath Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang berpaksikan Akidah aliran al-Asya‘irah dan al-Maturidiyyah, Fiqah bermazhab Imam al-Syafie serta Tasawuf berteraskan manhaj Imam al-Ghazali dan Imam Junaid al-Baghdadi bagi memastikan kesinambungan tradisi keilmuan Islam dalam institusi pondok untuk generasi umat Islam akan datang.

Program dimulakan dengan sesi Pencerahan Fiqh Al-Watan yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP).

Dalam pencerahannya, beliau menjelaskan bahawa negeri Pahang telah memperkenalkan konsep Fiqh Al-Watan, iaitu kefahaman mengenai tatacara kehidupan bertanah air dan tanggungjawab sebagai rakyat negeri Pahang. Konsep ini merupakan satu pendekatan bagi mengarusperdanakan institusi pondok serta memperkukuh hubungan antara institusi keilmuan Islam dengan institusi Kesultanan.

Beliau menyeru para guru pondok di Pantai Timur agar bersama-sama memperkukuh gerakan dan manhaj Fiqh Al-Watan yang menggabungjalin kefahaman dan penghayatan Tauhid, Tasawuf dan Fiqah, di waktu yang sama memperkasakan institusi Kesultanan demi menegakkan dan mempertahankan kedaulatan, kerukunan dan kelestarian watan dan umat Islam.

Majlis berlangsung dengan kehadiran barisan tuan-tuan guru dan alim ulama pondok antaranya Tuan Guru Syed Suhaimi bin Syed Hassan Abdul Hadi, Pengerusi Persatuan Guru-Guru Agama Pondok Pantai Timur; Tuan Guru Baba Haji Wan Rosli bin Wan Ibrahim, Pengerusi Persatuan Guru-Guru Pondok Kelantan; Al-Fadhil Ustaz Yunan Abdul Samad, Pegawai Khas Hal Ehwal Agama Islam kepada YAB Menteri Besar Pahang; Al-Fadhil Tuan Guru Haji Muhammad Uwais Qarni bin Abdul Wahab Al-Hafiz, Tuan Guru Zamalah Fiqah IIDM; Al-Fadhil Tuan Guru Barakatullah bin Mohd Bahari, Pengerusi Persatuan Pondok Turath Negeri Pahang; Al-Fadhil Ustaz Ahmad Marzuki bin Mat Yusof, Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia; serta Al-Fadhil Ustaz Haji Mohammad Hadi bin Minhat, wakil Pertubuhan Kebajikan Al-Muhibbin.

“𝑭𝑰𝑸𝑯 𝑨𝑳-𝑾𝑨𝑻𝑨𝑵 𝑴𝑬𝑴𝑨𝑲𝑵𝑨𝑰 556 𝑻𝑨𝑯𝑼𝑵 𝑲𝑬𝑺𝑼𝑳𝑻𝑨𝑵𝑨𝑵 𝑫𝑨𝑵 𝑷𝑬𝑹𝑨𝑫𝑨𝑩𝑨𝑵 𝑰𝑺𝑳𝑨𝑴 𝑷𝑨𝑯𝑨𝑵𝑮”

#Fiqh al-Watan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat

View original on Facebook

Share