Skip navigation
Laman UtamaMengenai KamiMedia IIDM-MUIPAgensi Pendidikan

MAJLIS PENUTUP MULTAQA & MUZAKARAH FIQH AL-WATAN GURU-GURU PONDOK PANTAI TIMUR 1.0

PEKAN, 19 NOVEMBER 2026- Majlis Multaqa & Muzakarah Fiqh Al-Watan Guru-Guru Pondok Pantai Timur 1.0 melabuhkan tirainya dengan penuh penghayatan, sekali gus memperkukuh kefahaman terhadap prinsip Fiqh Al-Watan dalam kalangan para guru pondok.

Majlis penutup dimulakan dengan tausiah yang disampaikan oleh Tuan Guru Sheikh Haji Wazir bin Che Awang Al-Makki, Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan. Dalam penyampaiannya, beliau menekankan kepentingan ketaatan dan kesetiaan dalam kerangka Fiqh Al-Watan yang disandarkan kepada Sultan di peringkat negeri.

Beliau turut menjelaskan bahawa para ulama mentafsirkan konsep Ulil Amri sebagai pemerintah yang sah, sama ada khalifah mahupun sultan. Penegasan ini memperlihatkan kepentingan memahami kedudukan institusi pemerintahan dan hubungan ketaatan terhadap pemerintah dalam membina kehidupan bernegara yang berteraskan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Majlis diteruskan dengan pembentangan resolusi oleh Al-Fadhil Tuan Guru Haji Barakatullah bin Mohd Bahari, Pengerusi Persatuan Pondok Turath Negeri Pahang, sebagai rumusan kepada perbincangan dan perkongsian sepanjang program berlangsung.

Majlis penutup turut diserikan dengan kehadiran beberapa tokoh ulama dan tuan-tuan guru pondok, antaranya Tuan Guru Syed Suhaimi bin Syed Hassan Abdul Hadi, Pengerusi Persatuan Guru-Guru Agama Pondok Pantai Timur; Al-Fadhil Ustaz Yunan Abdul Samad, Pegawai Khas Hal Ehwal Agama Islam kepada YAB Menteri Besar Pahang; Al-Fadhil Tuan Guru Syeikh Abd Raof bin Nurin, Tuan Guru Zamalah Tauhid IIDM serta Al-Fadhil Tuan Guru Haji Muhammad Uwais Qarni bin Abdul Wahab Al-Hafiz, Tuan Guru Zamalah Fiqah IIDM.

Penganjuran multaqa ini diharapkan menjadi wadah yang terus menyuburkan kesatuan, mempererat hubungan silaturahim serta memperkukuh kerjasama antara institusi pondok di seluruh Pantai Timur dalam memartabatkan tradisi keilmuan Islam.

Insya-Allah, semoga kita dipertemukan kembali dalam Multaqa & Muzakarah Fiqh Al-Watan yang akan datang.

“𝑭𝑰𝑸𝑯 𝑨𝑳-𝑾𝑨𝑻𝑨𝑵 𝑴𝑬𝑴𝑨𝑲𝑵𝑨𝑰 556 𝑻𝑨𝑯𝑼𝑵 𝑲𝑬𝑺𝑼𝑳𝑻𝑨𝑵𝑨𝑵 𝑫𝑨𝑵 𝑷𝑬𝑹𝑨𝑫𝑨𝑩𝑨𝑵 𝑰𝑺𝑳𝑨𝑴 𝑷𝑨𝑯𝑨𝑵𝑮”

#Fiqh al-Watan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat

View original on Facebook

Share