Kuantan, 10 Mac 2025 β Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) telah mengadakan kunjung hormat ke Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom (RKKSHK) yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif IIDM, Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad. Kunjungan ini disambut oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat iaitu Dr. Asmadi bin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP (Baitulmal Dan Operasi), Datin Firdhaus binti Md Yatim, Puan Munirah Azraniza binti Umar; Pengetua RKKSHK, En. Alimin dan Puan Suryati. Turut hadir dalam sesi ini ialah Puan Rosnizah binti Abd Rahman; Penyelia Tadika Pintar Al-Quran MUIP serta pegawai-pegawai IIDM.
RKKSHK telah dibina pada 1 Februari 2008 dan mula beroperasi secara rasmi pada 15 Disember 2010. Pada 9 Disember tahun yang sama, pusat ini diwartakan sebagai “Tempat Selamat” di bawah peruntukan Seksyen 54(1), Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Sehingga tahun 2025, jumlah penghuni RKKSHK telah mencecah seramai 193 orang yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan peringkat umur.
Kunjungan hormat ini bertujuan untuk membincangkan penubuhan sebuah tadika khusus melalui Tadika Pintar Al-Quran MUIP yang dikelola oleh IIDM bagi menyediakan pengisian pendidikan awal kanak-kanak di RKKSHK. Kerjasama ini bakal memberi peluang kepada kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun untuk mengikuti modul pembelajaran berstruktur yang berteraskan pendekatan Islamik dan akademik seimbang. Modul pembelajaran tersebut akan menggunakan buku-buku yang telah diterbitkan khas oleh Tadika Pintar Al-Quran MUIP dan baru sahaja dilancarkan pada 22 Februari 2025.
Antara elemen yang ditekankan dalam modul ini termasuklah penguasaan asas Al-Quran, bacaan Iqra’, pembelajaran Jawi, pengenalan asas kepada Bahasa Arab, serta penerapan nilai-nilai murni sejak kecil. Selain itu, program ini juga akan merangkumi aspek kognitif, sosial, dan emosi bagi memastikan perkembangan holistik kanak-kanak di RKKSHK. Diharapkan juga usaha ini dapat membantu kanak-kanak penghuni RKKSHK dalam mendapatkan pendidikan yang berkualiti serta sokongan yang berterusan demi masa depan mereka yang lebih cerah.
Dengan penubuhan Tadika Pintar Al-Quran MUIP ini, diharapkan kanak-kanak penghuni RKKSHK dapat mengikuti sistem pendidikan prasekolah yang teratur dan berstruktur, sekali gus membantu mereka lebih bersedia untuk memasuki alam persekolahan Tahun 1.
βMEMBUDAYAKAN ILMU, MEMPERKASAKAN WATANβ





