
DAULAH ISLAM KERAJAAN KESULTANAN PAHANG MENITIK-BERATKAN PENGHAYATAN FARDU ‘AIN DAN FARDU KIFAYAH RAKYAT
Alhamdulillah, keperihatinan KDPB Tengku Ampuan Pahang terhadap gabungjalin penghayatan Fardu ‘Ain dan Fardu Kifayah bagi segenap rakyat Pahang sebagai teras pembinaan peradaban Islam yang berfungsi dan berkompetensi merumuskan kecaknaan dan kepekaan Kesultanan Pahang terhadap kepentingan dan keutamaan ilmu dalam membina peradaban.
Berdasarkan dari kajian Baginda terhadap Hukum Kanun Pahang, KDPB Tengku Ampuan Pahang telah mengemukakan satu perkara penting yang membedakan antara ciri-ciri Daulah Islam silam dengan Negara Demokrasi moden iaitu tumpuan kepada pengamalan Fardu ‘Ain iaitu kaedah pemerkasaan dan pengawalan dalaman diri-peribadi individu (technology of the self) yang ditekankan dalam masyarakat Daulah Islam silam sebagaimana yang termaktub dalam Hukum Kanun Pahang.
Berdasarkan Hukum Kanun Pahang, amanah kesultanan turut meliputi tanggungjawab penghayatan Fardu ‘Ain bagi setiap rakyat yang dikenali dengan ilmu-ilmu tauhid, fiqah dan tasawuf yang dititik-beratkan ke atas setiap individu sebagai asas kepada ilmu-ilmu Fardu Kifayah yang kemudiannya digabungjalin bagi membina Peradaban Islam dengan segala pencapaian intelektual, praktikal, spiritual dah materialnya.
Bagi Negara Demokrasi Moden tidak wujud kesedaran atau apatah lagi amalan pemerkasaan dan pengawalan dalaman diri-peribadi individu (Fardu ‘Ain) melainkan apa yang dinamakan sistem perundangan. Tidak ada konsep penekanan pemerintah kepada penghayatan Fardu ‘Ain dalam Negara Demokrasi Moden kerana ia bersifat dalaman/peribadi (private) manakala negara (state) hanya boleh mengatur hal ehwal luaran rakyat melalui sistem perundangan semata-mata.
Inilah yang dimaksudkan oleh KDPB Tengku Ampuan Pahang bila beliau menegaskan tentang mandat Sultan berkewajiban untuk memastikan rakyat Baginda melaksanakan Fardu ‘ Ain dan kemudiannya Fardu Kifayah. Terbukti amanah kesultanan ini bukan sekadar tinggal tersurat kaku pada manuskrip Hukum Kanun Pahang tetapi sedang dilaksanakan ketika ini sebagai Titah Sultan Pahang kepada semua tempat pengajian Islam negeri Pahang termasuk tahfiz, madrasah, pondok, masjid dan surau diseluruh negeri Pahang.
FIQH AL-WATAN MEMAKNAI 556 TAHUN KESULTANAN DAN PERADABAN ISLAM PAHANG
Prof Madya Dr Amran bin Muhammad
Pengarah Eksekutif
Institut Ilmu Darul Makmur
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.
#FiqhAlWatan
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556TahunKesultanan
#PeradabanIslamPahang
#KerajaanNegeriPahang
#MuziumNegeriPahang





