Skip to main content

Tauhid, Fiqh dan Tasawuf: Keseimbangan Ahli Sunnah Dalam Memahami Perbuatan Manusia dan Hikmah Puasa Arafah

Hakikat dosa dan penghapusan dosa merupakan antara medan terbesar untuk manusia mengenali tujuan hidupnya sebagai hamba Allah SWT. Allah SWT menciptakan manusia dengan sifat kelemahan, keinginan, syahwat dan kecenderungan yang menjadikan manusia sentiasa berada dalam medan ujian antara ketaatan dan kemaksiatan. Namun demikian, para Nabi dan Rasul عليهم الصلاة والسلام dipelihara oleh Allah SWT dengan sifat maksum daripada dosa dan kesalahan yang mencemarkan martabat kenabian dan risalah. Kemaksuman mereka merupakan bukti penjagaan Allah terhadap agama-Nya agar wahyu yang disampaikan kepada umat manusia kekal suci dan sempurna. Adapun manusia selain para nabi, mereka tidak maksum dan sentiasa terdedah kepada kesilapan, kelalaian dan dosa. Oleh sebab itu, dosa bukanlah semata-mata lambang kebinasaan, tetapi ia menjadi salah satu jalan untuk manusia mengenali kehinaan dirinya, kelemahan sifat kehambaannya dan keluasan rahmat serta pengampunan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang banyak bertaubat.”

Hadis ini menunjukkan bahawa perjalanan hidup manusia sentiasa berputar antara dosa, taubat, pengharapan dan kembali kepada Allah SWT. Bahkan sebahagian ulama menyebut bahawa kadangkala dosa yang melahirkan penyesalan dan kehinaan diri lebih dekat membawa seseorang kepada keselamatan berbanding amalan yang melahirkan ujub dan kesombongan terhadap Allah SWT.

Hakikat kewujudan dosa juga tidak menafikan keadilan Allah SWT, bahkan ia memperlihatkan kesempurnaan Tauhid, Iradah, Qudrah dan Hikmah-Nya. Pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah menetapkan bahawa Allah SWT ialah Tuhan yang melakukan segala sesuatu menurut kehendak-Nya, dan tiada sesuatu pun berlaku di alam ini melainkan dengan ilmu, iradah dan qudrah Allah SWT. Firman Allah SWT:

{وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ}

Namun dalam masa yang sama, manusia tetap diperintah untuk melaksanakan syariat, melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat. Di sinilah pentingnya memahami perbezaan antara sudut Tauhid dan sudut Syariat. Dari sudut Tauhid, segala yang berlaku adalah ciptaan Allah SWT dan berada di bawah kehendak-Nya. Adapun dari sudut Syariat dan Fiqh, manusia diperintahkan untuk berusaha, memilih jalan kebaikan serta meninggalkan larangan, lalu dipertanggungjawabkan atas pilihan dan usaha tersebut. Oleh sebab itu, Ahli Sunnah wal Jamaah menolak dua golongan yang melampau; iaitu Jabariyyah yang menafikan pilihan manusia sehingga menjadikan manusia seperti dipaksa sepenuhnya, dan Qadariyyah yang mendakwa manusia mencipta amalannya sendiri sehingga menafikan kekuasaan Allah SWT.

Imam Abu al-Hasan al-Ash‘ari رحمه الله menjelaskan bahawa manusia memiliki “kasb” iaitu usaha dan pilihan terhadap perbuatannya, namun pencipta hakiki bagi segala perbuatan tetap Allah SWT. Imam al-Baqillani pula menerangkan bahawa manusia mampu membezakan antara pergerakan yang berlaku secara pilihan dan pergerakan yang berlaku secara terpaksa seperti menggigil atau jatuh. Maka syariat datang atas asas manusia mempunyai pilihan dan kemampuan untuk melakukan ketaatan atau maksiat. Imam al-Juwayni رحمه الله pula menjelaskan bahawa Allah SWT menciptakan kemampuan, pilihan dan sebab-sebab kepada sesuatu perbuatan, kemudian manusia menggunakan kemampuan tersebut untuk melakukan amalannya secara Zahir (namun tetap hakikatnya dari Allah). Oleh sebab itu manusia tetap dipertanggungjawabkan terhadap dosa dan pahala kerana adanya ikhtiar yang diberikan oleh Allah SWT.

Maka memahami persoalan Af‘al al-‘Ibad ini sangat penting agar seseorang tidak rosak dalam memahami dosa dan takdir. Seseorang tidak boleh menjadikan takdir sebagai alasan untuk terus melakukan maksiat, kerana Allah SWT tetap memerintahkan manusia supaya menjauhi dosa dan kembali kepada-Nya dengan taubat. Dalam masa yang sama, seseorang juga tidak boleh merasa dirinya bebas daripada kekuasaan Allah sehingga merasakan dirinya mencipta amalannya sendiri. Inilah keseimbangan Tauhid Ahli Sunnah wal Jamaah yang menghimpunkan antara kekuasaan mutlak Allah SWT dan tanggungjawab manusia terhadap syariat.
Justeru itu, syariat Islam sebenarnya merupakan manifestasi Tauhid dalam kehidupan manusia. Tauhid bukan sekadar mengenal Allah secara teori atau membicarakan sifat-sifat-Nya secara falsafah semata-mata, tetapi Tauhid mesti diterjemahkan melalui syariat, ibadah, akhlak dan pengabdian. Sebab itu para ulama menyebut bahawa ilmu Fardhu ‘Ain terdiri daripada tiga asas utama iaitu Tauhid, Fiqh dan Tasawuf. Tauhid memperbetulkan keyakinan terhadap Allah SWT serta memahami sifat Iradah, Qudrah dan Ilmu-Nya. Fiqh pula membimbing manusia mengetahui halal haram, kewajipan dan larangan agar manusia dapat melaksanakan syariat dengan benar. Adapun Tasawuf mendidik hati supaya ikhlas, takut kepada Allah, sentiasa bermuhasabah serta tidak tertipu dengan amal dan kedudukan diri.

Seseorang yang memahami Tauhid tanpa Fiqh boleh tersesat kerana gagal melaksanakan syariat dengan betul. Orang yang memahami Fiqh tanpa Tasawuf pula boleh menjadi keras hati, mudah menghukum dan berasa dirinya lebih suci daripada orang lain. Manakala orang yang meninggalkan Tauhid akan rosak kefahamannya terhadap takdir dan kekuasaan Allah SWT. Oleh sebab itu ketiga-tiga ilmu ini saling melengkapi dalam membentuk seorang Muslim yang benar-benar mengenal hakikat kehambaan kepada Allah SWT.

Keindahan syariat Islam juga terserlah apabila setiap peraturan agama sentiasa disertakan dengan jalan keluar, kelonggaran dan ruang kembali kepada Allah SWT melalui taubat dan pengampunan. Ini menunjukkan bahawa syariat Islam dibina atas asas rahmat, kasih sayang dan keadilan, bukan sekadar hukuman dan beban semata-mata. Allah SWT tidak menjadikan syariat untuk menghancurkan manusia, tetapi untuk mendidik, menyucikan dan menyelamatkan mereka daripada kebinasaan dunia dan akhirat. Oleh sebab itu, sebesar mana dosa seseorang sekalipun, pintu taubat tetap terbuka selagi nyawa belum sampai ke halkum. Firman Allah SWT:

{قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ}

Inilah antara bukti terbesar keadilan dan kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya. Berbeza dengan banyak sistem perundangan manusia yang lemah dan zalim, di mana seseorang yang melakukan kesalahan mungkin dihukum tanpa ruang pemulihan, dicela sepanjang hayat atau terus dipadamkan masa depannya. Adapun syariat Allah SWT membuka ruang pengislahan dan pembaikan. Orang yang berdosa tidak ditutup pintu kembali kepada Allah, bahkan digalakkan supaya segera bertaubat, memperbaiki diri dan memperbaharui hubungan dengan Tuhannya.

Bahkan lebih daripada itu, Allah SWT menjanjikan bahawa dosa-dosa orang yang benar-benar bertaubat boleh diganti menjadi pahala. Firman Allah SWT:

{فَأُوْلَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ}

Ayat ini menunjukkan keluasan rahmat Allah SWT yang tidak mampu ditandingi oleh mana-mana sistem ciptaan manusia. Dalam undang-undang manusia, kesalahan sering menjadi titik kehancuran hidup seseorang, sedangkan dalam syariat Islam, dosa yang disusuli dengan taubat boleh menjadi sebab meningkatnya darjat seseorang di sisi Allah SWT. Oleh sebab itu, Islam tidak mengajar manusia berputus asa daripada rahmat Allah. Bahkan berputus asa daripada rahmat Allah juga termasuk antara dosa besar kerana ia seakan-akan menyangka rahmat Allah terlalu sempit untuk mengampunkan hamba-Nya.

Dalam masa yang sama, Islam juga tidak memandang ringan dosa dan maksiat. Dosa tetap merupakan sebab kemurkaan Allah SWT, penghalang keberkatan hidup dan punca kegelapan hati. Firman Allah SWT:

{وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ}

Ayat ini menunjukkan bahawa sebahagian musibah yang menimpa manusia berpunca daripada dosa dan kesalahan mereka sendiri. Namun Allah SWT tetap mengampunkan sebahagian besar dosa manusia dengan rahmat-Nya. Oleh sebab itu seorang Muslim hendaklah sentiasa berada antara خوف dan رجاء, iaitu takut terhadap dosa-dosanya dan berharap kepada keampunan Allah SWT.

Antara medan terbesar penghapusan dosa yang dikurniakan Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW ialah puasa Hari Arafah. Rasulullah SAW bersabda:

“Puasa Hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar ia menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya.”
(Riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan keluasan rahmat Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya. Puasa Arafah bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi ia merupakan latihan penghambaan, keinsafan dan kembali kepada Allah SWT. Hari Arafah mengingatkan manusia kepada perhimpunan di Padang Mahsyar, ketika manusia berhimpun dalam keadaan hina, berharap kepada rahmat dan keampunan Allah SWT. Maka orang yang memahami hakikat dosa dan rahmat Allah tidak akan mudah menghina manusia lain, tidak mudah mengkafirkan pelaku dosa dan tidak berputus asa daripada rahmat Allah SWT.

Ahli Sunnah wal Jamaah menetapkan bahawa pelaku dosa besar tetap seorang Muslim selagi tidak menghalalkan dosanya atau meruntuhkan asas imannya. Imam Ibn Hajar al-Haytami رحمه الله menyebut dalam Tuhfah al-Muhtaj bahawa setiap Muslim akhirnya akan masuk ke syurga walaupun mungkin dia diazab terlebih dahulu, berbeza dengan fahaman Khawarij dan sebahagian golongan sesat yang mengkafirkan pelaku dosa besar. Imam al-Laqqani رحمه الله juga menyebut dalam Jauharah al-Tawhid:

ومن يمتْ ولم يتب من ذنبه
فأمرُه مفوضٌ لربه

Maksudnya: “Sesiapa yang mati tanpa bertaubat daripada dosanya, maka urusannya diserahkan kepada Allah.”

Kesimpulannya, hakikat dosa dan penghapusan dosa merupakan salah satu jalan terbesar untuk manusia mengenali Allah SWT, memahami kehambaan dirinya dan menyedari bahawa syariat Islam berdiri atas asas rahmat, keadilan dan hikmah. Dosa mengajar manusia tentang kelemahan dirinya, manakala taubat memperkenalkan keluasan rahmat Tuhannya. Kefahaman terhadap Tauhid pula menjadikan seseorang memahami bahawa segala sesuatu berlaku di bawah Iradah, Qudrah dan Ilmu Allah SWT tanpa menafikan tanggungjawab manusia terhadap syariat. Dengan memahami Tauhid, Fiqh dan Tasawuf sebagai ilmu Fardhu ‘Ain, manusia akan mampu menjalani kehidupan dengan keseimbangan antara takut kepada dosa, berharap kepada rahmat Allah, melaksanakan syariat dan sentiasa kembali kepada-Nya dengan penuh kehinaan dan pengharapan.

Ditulis Oleh: Unit Penyelidikan Isu-Isu Semasa, Institut Ilmu Darul Makmur

#FiqhAlWatan
#Memaknai556TahunKesultanan
#TauhidASWJ
#FardhuAin
#AhlusSunnahWalJamaah
#PuasaArafah
#InstitutIlmuDarulMakmur

View original