
KESEPADUAN ILMU TAUHID, FEQAH, TASAWUF DAN SIYASAH SYAR'IYYAH DALAM PEMBENTUKAN PERADABAN ISLAM
Kitab-kitab lama yang telah berusia ratusan tahun sering dipandang sebagai bahan rujukan silam yang tidak lagi mempunyai hubung kait dengan masa kini. Bahkan, terdapat segelintir masyarakat yang tidak mendapat pendedahan serta terdapat juga sesetengah kelompok yang tidak mengetahui kewujudan kitab-kitab tersebut atas pelbagai faktor.
Namun begitu, jika diteliti secara mendalam, kita akan mendapati bahawa banyak karya terdahulu bukan sahaja membincangkan soal agama, sejarah dan bahasa, malah turut menyentuh aspek pentadbiran, pemerintahan, tatacara kenegaraan serta undang-undang yang sangat unik dan menarik untuk dikaji. Antara karya lama yang wajar diberi perhatian ialah Taj Us-Salatin.
Taj Us-Salatin merupakan sebuah karya yang disusun dan diterjemahkan oleh Bukhari al-Jauhari pada tahun 1603. Kitab ini mengandungi 24 fasal atau bab yang membicarakan pelbagai aspek kehidupan manusia dan pemerintahan.
Amanat utama yang ingin disampaikan melalui kitab ini bukan sekadar aspek ketatanegaraan bahkan melibatkan ilmu Tauhid seperti asal-usul manusia dan hubungannya dengan Tuhan.
Selain itu, kitab ini turut menghuraikan tugas serta tanggungjawab raja, menteri dan pembesar negara, termasuk pegawai dan para pesuruh. Perbahasan mengenai akhlak, etika serta pendidikan anak-anak juga disentuh dalam karya ini.
Di samping itu, pengarang turut membicarakan soal umat Islam dan bukan Islam, selain membahaskan persoalan budi pekerti, firasat dan hemah yang tinggi.
Struktur penulisan Taj Us-Salatin dibina berdasarkan huraian ayat-ayat al-Quran dan hadis, disertai contoh ibarat melalui kisah serta peristiwa yang pernah berlaku. Tujuan utama karya ini tidak lain adalah untuk memberi keinsafan kepada manusia khususnya golongan pemerintah, agar berlaku adil dalam pemerintahan mereka.
Walaupun struktur kitab ini bersifat nasihat dab berteraskan agama, unsur sastera yang berbentuk ibarat dan penceritaan tetap memberikan nilai estetika yang tinggi sehingga memenuhi ciri sebuah karya sastera yang baik. Tambahan pula, karya ini turut memuatkan petikan daripada kisah-kisah klasik Arab seperti Layla dan Majnun, Khusraw dan Shirin serta Yusuf dan Zulaikha.
Jika diteliti dengan lebih cermat, pengarang sebenarnya telah menyusun fasal-fasal kitab ini mengikut bidang ilmu tertentu. Sebagai contoh:
Fasal 1 hingga Fasal 4 menyentuh tentang ilmu tauhid.
Fasal 5 hingga Fasal 11 berfokus kepada ilmu Feqah.
Fasal 15 hingga Fasal 16 berkaitan dengan Tasawuf.
Fasal 17 hingga Fasal 24 pula membahaskan siyasah syar‘iyyah atau pentadbiran negara menurut Islam.
Pembahagian ini menunjukkan bahawa kitab ketatanegaraan Melayu tradisional tidak hanya membicarakan soal politik dan pemerintahan semata-mata, bahkan turut dilengkapi dengan ilmu fardu ain yang menjadi asas penyatuan masyarakat dalam pembinaan sesebuah negara.
Sebagai generasi penerus, para alim ulama dan golongan yang berminat dalam bidang politik atau siyasah syar‘iyyah perlu memahami bahawa pembinaan negara tidak boleh dipisahkan daripada asas Tauhid, Feqah dan Tasawuf. Tanpa penyatuan asas-asas tersebut, masyarakat mudah berpecah dari sudut pemikiran, tingkah laku dan kesatuan jiwa.
Ilmu Tauhid membentuk cara berfikir manusia melalui perbahasan tentang ketuhanan, kenabian dan perkara sam‘iyyat. Dalam masa yang sama, ia turut dikaitkan dengan konsep imamah atau pemerintahan. Tauhid ini kemudiannya diikat dengan ilmu Feqah yang membincangkan hukum-hakam, perbuatan dan tingkah laku manusia.
Seterusnya, Tasawuf berperanan menyucikan hati dan membentuk keperibadian insan. Tasawuf menjadi pelengkap kepada pembangunan individu, masyarakat dan negara kerana ia menguatkan aspek rohani serta akhlak manusia.
Oleh sebab itu, kesepaduan antara Tauhid, Feqah dan Tasawuf merupakan asas penting yang perlu disemai dalam jiwa setiap manusia bagi membina kekuatan masyarakat dan peradaban daripada akar serta teras yang sama.
Semoga khazanah ilmu ketatanegaraan watan terus digali dan dijadikan panduan generasi kini dan akan datang.
FIQH AL-WATAN MEMAKNAI 556 TAHUN KESULTANAN DAN PERADABAN ISLAM PAHANG
“𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐃𝐀𝐘𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐈𝐋𝐌𝐔, 𝐌𝐄𝐌𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍”
#Fiqh al-Watan
#Membudayakanllmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat
Disediakan oleh:
Muhamad Ezam Hazim bin Sukairi
Felo Muda Fiqh al-Watan IIDM
Mohamad Hafizan bin Baharum
Pegawai Unit Penyelidikan dan Strategik IIDM





