
21 Mei 2026, Islamic Outreach Center IIDM di Kuantan menjadi lokasi pertemuan IIDM dengan kerjasama PERKIM bersama para mahasiswa dan aktivis NGO dakwah. Pertemuan ini merupakan sebahagian daripada Program SMART TFT I-NGO 2026 yang bertujuan membudayakan ilmu, memperkasakan watan melalui kerangka Fiqh Al‑Watan, serta memperkasakan Fardu Ain dan tradisi ilmu ASWJ di kalangan mereka.
Majlis dimulai dengan bacaan doa dan taklimat ringkas perjalanan program. Turut berlangsung sesi taujihat dan penerangan daripada Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif IIDM. Dalam sesi tersebut, beliau telah memberi penerangan mendalam tentang pokok ilmu yang menjadi asas kepada setiap gerak kerja dakwah.
Mengupas lebih dalam, Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad merumuskan tiga tunjang kekuatan tersebut dengan kerangka yang jelas: Kekuatan Pemikiran Nazariyah itu adalah Akidah, yang membentuk pandangan alam serta pedoman hidup seorang Muslim; Amaliyah pula terbit daripada Fekah, yang menterjemahkan keyakinan ke dalam ibadah dan tindakan harian yang tertib dan sah; manakala kekuatan Qalbiyah itu datang daripada Tasawuf, yang bertanggungjawab menyucikan hati dan menjaga keikhlasan amalan. Gabungan ketiga-tiga kekuatan inilah yang menjadi “teknologi kawalan diri” unggul bagi seorang Muslim.
Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad turut menekankan bahawa teknologi kawalan diri yang hilang inilah yang sedang merosakkan umat Islam, daripada pelajar yang mudah terjerumus dalam gejala sosial dan hilang adab, sehinggalah masyarakat awam yang mengalami krisis integriti dan moral. Kehancuran ini berpunca daripada pengabaian penguasaan ilmu fardu ain yang sepadu.
Pertemuan berjalan dalam suasana penuh keakraban dan kesudian para peserta untuk berdialog serta belajar bersama di bawah bimbingan IIDM. Diharapkan program ini melahirkan lebih ramai aktivis yang faqih dalam fardu ain, memiliki “teknologi kawalan diri” yang kukuh, sebelum lantang di gelanggang isu semasa.
#SMARTTFT2026
#FiqhAlWatan
#MemperkasakanWatan
#AktivisBerilmu
#KitabTurath
#FarduAin
#Tauhid
#Fekah
#Tasawuf





