
MUFTI PAHANG SAMBUT BAIK INISIATIF IIDM MENGANJURKAN PROGRAM BAHTHUL MASAIL PERDANA ILMUAN NEGERI PAHANG 2026
Kuantan, 28 Jun 2026 – Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YH. Profesor Dato’ Dr. Asmadi bin Mohamed Naim menyambut baik usaha Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) menganjurkan Program Bahthul Masail Perdana Ilmuan Negeri Pahang 2026 sebagai satu platform penting dalam memperkukuh budaya ilmu dan tradisi perbahasan Islam yang tersusun.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Bahthul Masail Perdana Ilmuan Negeri Pahang 2026 yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan. Beliau turut menambah bahawa beliau berharap Jabatan Mufti Negeri Pahang dapat terus bekerjasama dengan IIDM dalam konteks perbincangan penyelidikan bagi membantu Jabatan Mufti Pahang menangani isu-isu semasa dengan lebih cekap dan berkesan.
Majlis penutup turut dimulakan dengan ucapan oleh Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Amran Bin Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM), yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Beliau turut berharap IIDM melalui penganjuran Bahthul Masail dapat membantu Jabatan Mufti Pahang dalam memperkukuh penyelidikan hukum, memperkaya perbincangan ilmiah serta menyokong usaha memberikan panduan yang tepat kepada masyarakat.
Penganjuran program ini dilihat bertepatan dengan keperluan semasa dalam menghimpunkan para ilmuan, asatizah, mubahithin, musahhih, perumus dan moderator bagi membincangkan pelbagai isu secara ilmiah, beradab serta berpandukan disiplin keilmuan Islam.
Sepanjang program berlangsung, para peserta diberi ruang untuk mengikuti sesi perbahasan Bahthul Masail yang menekankan percambahan pandangan, penelitian hukum dan perumusan resolusi secara kolektif. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman terhadap sesuatu isu, bahkan turut mendidik peserta agar menilai perbahasan ilmu dengan adab, ketelitian dan sikap bertanggungjawab.
Majlis Perasmian Penutup turut diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Ahmad Irshadi bin Abdullah Al-Qari, ADUN Lantikan Negeri Pahang; Yang Berbahagia Prof. Madya Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mantan Mufti Wilayah merangkap Pensyarah Kanan Universiti Malaya; Yang Hormat Dato’ Haji Cik Wan Helmi bin Wan Mohamed, Pengerusi Ikatan Madrasah Pahang (IMP); Yang Berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; serta Ustaz Mohd Azri bin Salehud-Din, Ketua Unit Pendidikan, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.
IIDM berharap penganjuran Bahthul Masail Perdana Ilmuan Negeri Pahang 2026 ini dapat terus menjadi medan keilmuan yang berwibawa dalam menyuburkan budaya muzakarah, memperkukuh kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah serta melahirkan generasi ilmuan yang mampu menangani isu masyarakat dengan hikmah dan berpaksikan ilmu.
“𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐃𝐀𝐘𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐈𝐋𝐌𝐔, 𝐌𝐄𝐌𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍”
#Fiqh al-Watan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#555tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat





