
📖 MESYUARAT FIQH MINGGUAN IIDM SIRI KE-20
Mengukuhkan Tradisi Turath, Memperkasa Fiqh al-Waṭan
Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) meneruskan tradisi keilmuan melalui Mesyuarat Fiqh Mingguan Siri Ke-20 yang berlangsung pada 16 Julai 2026 (Khamis) secara dalam talian.
Pada siri kali ini, para peserta memulakan pembacaan Kitab al-Bay‘ (Jual Beli) daripada Minhāj al-Ṭālibīn karya al-Imam al-Nawawi رحمه الله dengan syarahan dan penelitian berpandukan karya-karya muktabar mazhab al-Syafi‘i seperti Nihāyah al-Muḥtāj, Mughnī al-Muḥtāj, Kifāyah al-Akhyār, Bughyah al-Mustarsyidīn, Qurrat al-'Ayn dan al-Majmū‘.
Perbahasan memberi tumpuan kepada asas-asas akad jual beli menurut mazhab al-Syafi‘i, antaranya:
🔹 Pensyariatan sighah (ijab dan qabul) sebagai bukti keredaan kedua-dua pihak.
🔹 Hukum penggunaan lafaz soreh dan kinayah dalam akad.
🔹 Kedudukan akad secara tulisan, pelbagai bahasa dan isyarat.
🔹 Perbahasan jual beli mu‘āṭah menurut pandangan muktamad dan tarjihan Imam al-Nawawi berdasarkan uruf.
🔹 Aplikasi hukum fiqh terhadap transaksi moden seperti pasar raya, pembayaran digital, platform e-dagang dan sistem elektronik.
🔹 Kelayakan pihak yang berakad (rusyd), isu urus niaga kanak-kanak serta tanggungjawab dhaman dalam pelbagai situasi.
Perbincangan ini memperlihatkan keluasan fiqh Islam dalam memahami perubahan uruf dan perkembangan masyarakat tanpa mengabaikan prinsip-prinsip syariah yang menjadi asas kepada setiap transaksi.
Selaras dengan gagasan Fiqh al-Waṭan yang menjadi teras Institut Ilmu Darul Makmur, pengajian fiqh muamalat membicarakan kesahan sesuatu akad, dan juga membentuk budaya amanah, integriti, keadilan dan tanggungjawab dalam urusan ekonomi.
Inilah manifestasi hubungan antara fardu ain dan fardu kifayah yang sentiasa ditekankan oleh IIDM. Penguasaan hukum-hakam muamalat merupakan tuntutan fardu ain bagi setiap Muslim yang terlibat dengan urusan harta, manakala pembangunan sistem ekonomi, perdagangan, kewangan dan tadbir urus yang mematuhi syariah merupakan sebahagian daripada tanggungjawab fardu kifayah dalam membina kekuatan umat dan negara.
Melalui pendekatan Fiqh al-Waṭan, pengajian kitab-kitab turath tidak hanya difahami dalam ruang teori, bahkan diterjemahkan kepada penyelesaian isu-isu semasa seperti transaksi digital, e-dagang, pembayaran tanpa tunai, wakalah, perlindungan pengguna dan tadbir urus ekonomi yang beretika. Pendekatan ini membuktikan bahawa khazanah fiqh mazhab al-Syafi‘i sentiasa relevan dalam memandu pembangunan masyarakat serta memperkukuhkan kesejahteraan negara berteraskan syariat.
IIDM komited untuk terus menghidupkan tradisi baḥth al-masā’il, memperkukuhkan budaya penyelidikan turath serta melahirkan ilmuwan yang mampu menghubungkan warisan fiqh klasik dengan keperluan masyarakat Malaysia hari ini, demi membina sebuah negara yang berteraskan ilmu, keadilan dan kemaslahatan.
"Fiqh al-Waṭan Memaknai 556 Tahun Kesultanan dan Peradaban Islam Pahang”
#InstitutIlmuDarulMakmur
#556tahunkesultanandanperadabanislampahang
#IIDM
#FiqhAlWatan
#MesyuaratFiqh
#KitabAlBay
#FiqhMuamalat
#MazhabSyafii
#Turath
#PenyelidikanIslam
#PeradabanUmmah
#EkonomiIslam
#BahthAlMasail





