Skip to main content
KUANTAN, 22 Februari 2025 ( Sabtu ). Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dan Institut Ilmu Darul Makmur telah memperkenalkan buku baharu bagi Tadika Pintar Al-Quran dibawah kelolaannya.
Silibus dan buku baharu tersebut hasil sentuhan kepakaran para guru daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan guru-guru tadika MUIP yang berpengalaman dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Silibus dan kandungan buku baharu tersebut dibina hasil gabungan dan adaptasi daripada kandungan Kurikulum Standard Pra Sekolah ( KSPK) dan halatuju Pelan Strategik MUIP yang mahu melahirkan generasi yang rabbani disamping diterapkan serta pendedahan awal elemen pendidikan cintakan watan dan nilai-nilai murni.
Tadika yang memfokuskan khatam bacaan Al-Quran dalam tempoh 2 tahun ini juga memberi penekanan kepada penguasaan asas fardhu ain, kemahiran membaca dan penguasaan akademik yang juga menjadi tunjang utama pengajian.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Y.Brs. Dr. Haji Asmadi bin Abdul Rahman mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang .Dalam ucapannnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyiapkan buku ini. Beliau juga merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga buat Jabatan Pendidikan Negeri Pahang atas usaha dan kerjasama pembinaan modul dan buku ini.
Pembinaan modul dan buku ini adalah kerjasama kedua berjaya dilaksanakan setelah Modul dan buku PRAPAFA yang telah berjaya dihasilkan untuk kegunaan tadika swasta yang lain di Negeri Pahang.
Hadir sama Tuan Haji Ahmad Jefri bin Ismail, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Swasta, JPNP, Y.Brs. Prof. Madya. Dr. Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur, para pembina modul dan guru-guru.
Adalah diharapkan dengan pelancaran dan penggunaan buku ini, anak didik keluaran Tadika Pintar Al-Quran MUIP kekal cemerlang dan menjadi generasi yang hebat minda dan kaya dengan ilmu pengetahuan sebelum melangkah ke alam persekolahan sebenar.