Skip to main content

KUANTAN, 5 FEBRUARI 2025 – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan kerjasama Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) telah menganjurkan Karnival Israk Mikraj dan Hari Bersama Pelanggan di Auditorium Tuanku Canselor, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS). Program ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang dan disambut dengan penuh semangat oleh para hadirin.

Acara dimulakan dengan ceramah bertajuk “Keberkatan Membawa Kebahagiaan dan Kejayaan” yang disampaikan oleh Maulana Juhari bin Muhammad Ali Al-Jenderaki, Mudir Madrasah Darul Uloom Sungai Salan, Jerantut. Seterusnya, sesi Bicara Ummah bertemakan “Israk Mikraj: Perjalanan Menuju Sinar Kejayaan” telah menampilkan YH. Profesor Dato’ Dr. Asmadi bin Mohamed Naim, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YH. Dato’ Haji Ahmad Hairi bin Haji Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengajak semua hadirin untuk bersama-sama memanfaatkan karnival ini untuk menimba ilmu, mengukuhkan ukhwah Islamiah serta membulatkan semangat kita dalam berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Salah satu sesi yang dinantikan ialah Forum Perkasa Ekonomi Ummah yang menampilkan barisan panel iaitu YBhg. Profesor Madya Dr. Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur, YH. Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Zawawi bin Zainal Abidin, Naib Canselor UNIPSAS, YBhg. Tuan Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang. Forum ini dimoderatorkan oleh YBrs. Dr. Mohd Syakir bin Dato’ Haji Mohd Taib, Timbalan Pengurus Besar Wakaf Pahang, yang mengupas isu-isu berkaitan pembangunan ekonomi Islam serta strategi memperkukuhkan ekonomi ummah melalui instrumen kewangan Islam seperti zakat dan wakaf.

Sesi terakhir yang tidak kurang pentingnya ialah pembentangan bertajuk “Peranan Zakat dalam Menjaga Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Ummah” oleh Encik Mohd Azri bin Salehud-din, Ketua Unit Pendidikan Bahagian Pengurusan & Pembangunan Islam.
Selain itu, sepanjang karnival ini, para pengunjung turut berpeluang mengunjungi pameran Institut Ilmu Darul Makmur yang memberikan informasi mengenai peranan institut dalam pembangunan ilmu Islam dan Fiqh Al- Watan kepada masyarakat. Antara aktiviti lain yang turut menarik perhatian adalah pemeriksaan kesihatan percuma, kaunter pembayaran zakat dan wakaf, serta pelbagai program interaktif.

Semoga karnival ini menjadi pemangkin kepada kefahaman yang lebih mendalam tentang Islam serta membuka jalan menuju kebahagiaan dan kejayaan dunia serta akhirat.

“MEMBUDAYAKAN ILMU, MEMPERKASAKAN WATAN”