
RESOLUSI MESYUARAT FIQH SIRI KE-23
Kitab al-Ṭahārah – Minhāj al-Ṭālibīn
6 Ogos 2026 | Khamis | Secara Dalam Talian
Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) telah menganjurkan Mesyuarat Fiqh Siri Ke-23 dengan meneliti perbahasan daripada Minhāj al-Ṭālibīn karya Imam al-Nawawi dalam Kitab al-Ṭahārah, khususnya berkaitan hukum air mutanajjis, dua qullah dan beberapa permasalahan najis.
Hasil penelitian, perbincangan dan pertimbangan terhadap pandangan ulama muktabar, mesyuarat merumuskan beberapa resolusi utama berikut:
1. Air mutanajjis yang mencapai dua qullah
Air mutanajjis yang mencapai kadar dua qullah melalui penambahan air, dan tidak berlaku perubahan pada air tersebut yang disebabkan oleh najis, kembali dihukum sebagai air ṭahūr, iaitu suci lagi menyucikan.
2. Air mutanajjis yang masih kurang daripada dua qullah
Sekiranya air mutanajjis yang sedikit ditambah dengan air ṭahūr tetapi jumlah keseluruhannya masih belum mencapai dua qullah, maka air tersebut tidak kembali menjadi ṭahūr berdasarkan mafhum Hadis Dua Qullah.
3. Pendapat “ṭāhir tetapi bukan ṭahūr”
Pendapat yang menyatakan air tersebut menjadi ṭāhir tetapi bukan ṭahūr (طاهر لا طهور) merupakan pendapat yang dinukilkan oleh sebahagian ulama dengan syarat-syarat tertentu. Namun, pendapat ini tidak mengatasi pendapat mu‘tamad yang berasaskan mafhum Hadis Dua Qullah.
4. Pendapat air kembali menjadi ṭahūr
Pendapat yang menyatakan air mutanajjis yang kurang daripada dua qullah kembali menjadi ṭahūr selepas ditambah dengan air ṭahūr, sebagaimana dinukil dalam al-Taḥqīq, tidak dianggap sebagai pendapat yang kuat untuk mengatasi pendapat mu‘tamad. Penilaian sesuatu pendapat hendaklah mengambil kira kekuatan ‘illah, dalil serta tarjih ulama mu‘tamad, bukan semata-mata kerana sesuatu pendapat itu dinukilkan dalam karya seorang imam.
5. Pendapat lemah dan ruang pengamalannya
Pendapat yang lemah dalam mazhab Syafi‘i mempunyai perincian dari sudut pengamalan. Dalam keadaan tertentu, ia boleh diamalkan untuk diri sendiri apabila kelemahannya tidak terlalu kuat, namun tidak boleh dijadikan asas fatwa atau hukum yang dikenakan terhadap orang lain.
6. Bangkai haiwan yang tidak mempunyai darah mengalir
Bangkai haiwan yang tidak mempunyai darah mengalir pada asalnya tidak menajiskan cecair menurut pendapat yang masyhur, dengan beberapa perincian dan pengecualian yang dibahaskan oleh para fuqaha.
7. Najis yang terlalu sedikit
Najis yang terlalu sedikit sehingga tidak dapat dilihat oleh mata mempunyai perincian khilaf dalam kalangan ulama. Pendapat yang dinilai lebih kuat ialah kemaafan terhadap najis yang sangat sedikit apabila sukar dielakkan, berdasarkan prinsip ‘usr al-iḥtirāz (kesukaran untuk mengelakkannya).
8. Air kolam dan perubahan yang diragui
Air yang asalnya suci lagi menyucikan kekal pada hukum ṭahūriyyah sekiranya berlaku perubahan tetapi tidak dapat dipastikan puncanya, khususnya apabila terdapat keraguan sama ada perubahan tersebut berpunca daripada perkara yang memberi kesan terhadap hukum air atau tidak.
9. Aplikasi kepada kolam mandian awam
Penggunaan kolam mandian oleh orang Islam dan bukan Islam tidak dengan sendirinya menjadikan air kolam tersebut najis. Begitu juga kandungan klorin yang sedikit tidak menjejaskan hukum air selagi tidak terbukti berlaku perubahan yang mengeluarkan air tersebut daripada sifat dan hakikat al-mā’ al-muṭlaq serta memberi kesan yang diiktiraf oleh syarak.
10. Prinsip utama dalam penetapan hukum
Mesyuarat menegaskan kepentingan berpegang kepada kaedah:
اليقين لا يزول بالشك
Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.
Oleh itu, hukum asal kesucian air hendaklah dikekalkan sehingga terdapat bukti yang jelas dan diiktiraf oleh syarak bahawa berlaku perkara yang menjejaskan status kesucian tersebut.
PENUTUP
Mesyuarat Fiqh Siri Ke-23 menegaskan bahawa penelitian fiqh perlu dilakukan secara tadqiq, taḥqīq dan tarjīḥ, dengan merujuk kepada karya-karya muktabar serta memahami konteks ibarat, ‘illah, dalil dan kedudukan setiap pendapat dalam disiplin mazhab.
Resolusi ini diharap dapat menyumbang kepada pemerkasaan tradisi pengajian fiqh, pengukuhan kefahaman masyarakat dan penerapan fiqh yang berautoriti dalam menghadapi persoalan semasa.
Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM)
Membudayakan Ilmu, Memperkasakan Watan
Fiqh al-Watan Memaknai 556 Tahun Kesultanan dan Peradaban Islam Pahang
#InstitutIlmuDarulMakmur #IIDM #MesyuaratFiqh #FiqhAlWatan #MinhajAlTalibin #KitabAlTaharah #MazhabSyafii #TradisiIlmu #556tahunkesultanandanperadaban





