SEJARAH PENUBUHAN
Tadika Pintar Al-Quran MUIP, Kubang Buaya telah ditubuhkan pada tahun 2014. Dahulunya tadika ini merupakan sebuah banglo 2 tingkat yang dimiliki oleh penduduk tempatan. Namun begitu unit rumah tersebut telah dibeli oleh pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan kemudian diubahsuai menjadi sebuah tadika.
Pada bulan April 2014, tadika ini mula diambil alih oleh MUIP Education Sdn. Bhd. yang diketuai oleh En. Izhar bin Ahmad (Pengarah MUIP Education Sdn. Bhd.). Sebagai salah satu inisiatif pihak pentadbiran, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang telah bersetuju untuk mengambil alih semula pengurusan tadika bermula Januari 2020 untuk diselaraskan bersama 15 buah Tadika Pintar Al-Quran yang lain. Berkuatkuasa Januari 2024, sekali lagi MUIP Education Sdn. Bhd. sebagai anak syarikat MUIP, telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan segala operasi berkenaan Tadika Pintar Al-Quran.
Pada awal penubuhan, tadika ini hanya mempunyai 2 kelas dan 6 orang kakitangan sahaja. Bermula dengan pengambilan tahun pertama iaitu pada 2 Januari 2014 adalah seramai 40 orang pelajar yang terdiri seawal usia 5 tahun hingga 6 tahun. Sehingga penghujung tahun 2021, terdapat 7 buah kelas dan jumlah murid tadika telah pun mencecah seramai 130 orang. Peningkatan drastik ini adalah kerana sokongan dan kepercayaan ibubapa terhadap prestasi murid-murid yang mengikuti sesi persekolahan di tadika sebelum itu.
Terdapat 14 orang guru yang menjadi tenaga pengajar di tadika ini dan dibantu oleh 6 orang pembantu guru. Selain itu, tadika ini juga mempunyai seorang kerani, 2 orang pengawal keselamatan dan seorang tukang cuci. Kesemua guru akademik di tadika ini sekurang-kurangnya mempunyai kelayakan dalam Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak. Selain itu, tadika ini berkonsepkan penerapan bacaan Al-Quran dan sistem pendidikan berpandukan kurikulum Yayasan Islam Terengganu (YIT). Tadika ini beroperasi bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 12.30 tengahari untuk waktu belajar dan 12.30 tengahari hingga 5.00 petang untuk waktu transit.
Bangunan tadika ini dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur asas merangkumi pejabat, bilik guru, bilik mesyuarat, tandas, bilik tidur, dewan makan, pondok pengawal, dan taman permainan. Pada tahun 2017, kerja-kerja naiktaraf tadika telah dilakukan dengan membina 1 unit surau untuk kemudahan dan keselesaan warga tadika.
Selain itu, TPQ Kubang Buaya pernah menerima kunjungan pertama oleh Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 7 Julai 2017. Dalam lawatan tersebut, Tengku Hassanal diberi taklimat berkenaan pengurusan tadika serta bahan-bahan yang digunakan sebagai proses pembelajaran dan pengajaran.
Pelbagai usaha akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti dan prestasi perkhidmatan pendidikan di Tadika Pintar Al-Quran MUIP Kubang Buaya pada tahun-tahun akan datang.
Nama Guru Besar – Norhasyimah
016-3525176
Nama Kerani – Syukirah
013-6319089
Alamat Tadika
4792-4802, Lorong Kubang Buaya 54, Taman Melodies, 25200 Kuantan