
Krisis Keilmuan: Apabila Kesederhanaan Disalahfahami Sebagai Kedangkalan
Antara musibah terbesar yang sedang menimpa umat Islam hari ini ialah kekeliruan terhadap makna ilmu.
Ramai mula menganggap bahawa sesuatu pandangan itu benar hanya kerana ia mudah difahami, ringkas, dan boleh dijelaskan dalam beberapa minit. Sebaliknya, apabila sesuatu perbahasan memerlukan penelitian, istilah yang tepat, disiplin usul, atau huraian yang panjang, ia terus dilabel sebagai rumit, falsafah, berbelit-belit atau menyusahkan agama.
Hakikatnya, yang mudah bukan semestinya benar, dan yang mendalam bukan semestinya salah.
Islam memang agama yang mudah diamalkan, namun ilmunya tidak pernah dibina di atas sikap mempermudah segala-galanya. Sebab itu para ulama sepanjang sejarah membangunkan pelbagai disiplin ilmu seperti usul fiqh, usuluddin, mustalah hadis, qawa'id fiqhiyyah, ilmu bahasa Arab, maqasid syariah dan lain-lain. Semua ini bukan untuk menyusahkan manusia, tetapi untuk memastikan nas al-Quran dan al-Sunnah difahami menurut kehendak Allah dan Rasul-Nya, bukan menurut sangkaan akal yang cetek.
Malangnya, hari ini sebahagian orang mula memandang rendah terhadap tradisi keilmuan tersebut. Mereka menganggap segala alat ilmu itu tidak perlu, sedangkan tanpa alat itulah seseorang mudah tersalah memahami nas dan tersilap menghukum.
Tradisi ulama Ahli Sunnah wal Jamaah sentiasa terkenal dengan ketelitian (الدقة) dan kehalusan penelitian (التحقيق). Mereka membezakan antara dalil yang qat'i dan zanni, antara zahir lafaz dan maksud syarak, antara takwil yang sah dan takwil yang batil, serta antara perkara yang disepakati dan yang menjadi medan ijtihad. Semua ini memerlukan disiplin, adab dan kerendahan hati.
Apabila semua perincian ini dibuang atas nama "mudahkan agama", maka yang hilang bukan sekadar istilah-istilah ilmu, bahkan hilanglah metodologi memahami agama.
Akhirnya lahirlah generasi yang berani menghukum, tetapi tidak menguasai alat hukum; berani berbicara tentang agama, tetapi tidak mengenal disiplin ilmu; dan menganggap setiap perkara yang memerlukan penelitian sebagai sesuatu yang menyimpang.
Kita tidak memerlukan agama yang dipermudah sehingga kehilangan ketepatannya. Kita memerlukan agama yang difahami melalui manhaj para ulama, kerana di situlah terpelihara keseimbangan antara kemudahan syariat dan ketelitian ilmu.
Sesungguhnya, kedalaman ilmu bukan musuh kepada kesederhanaan. Sebaliknya, kedalaman ilmulah yang menjaga kesederhanaan daripada berubah menjadi kedangkalan.
#ilmu
#fiqhwatan
#peradaban





