BENGKEL BAHTHUL MASAIL MEMPERKASA BUDAYA ILMU TURATH NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR

Alhamdulillah, Bengkel Bahthul Masail anjuran bersama Maahad An-Noer dan Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Bengkel ini dikendalikan oleh barisan alumni Pesantren Lirboyo, Kediri, Jawa Timur, Indonesia yang berpengalaman luas dalam membudayakan tradisi Bahthul Masail sebagai nadi pendidikan di institusi pesantren.

Pesantren Lirboyo merupakan antara institusi pengajian Islam yang berjaya mengekalkan tradisi Bahthul Masail sebagai wadah utama pemerkasaan ilmu. Tradisi ini telah menjadi darah daging dalam kehidupan para penuntut ilmu di sana sehingga setiap persoalan yang timbul dalam pelbagai bidang kehidupan dianalisis dan diselesaikan melalui perbincangan ilmiah yang sistematik, berdisiplin serta berpandukan kitab-kitab turath yang muktabar.

Melalui bengkel ini, para peserta bukan sahaja diperkenalkan kepada struktur dan tatacara Bahthul Masail, bahkan didedahkan kepada falsafah pembinaan malakah fiqh, iaitu keupayaan memahami, meneliti dan mengistinbat hukum melalui disiplin ilmu yang mantap. Perbahasan fiqh yang berlangsung tidak hanya bergantung kepada hafalan nas atau nukilan kitab, bahkan memerlukan penguasaan ilmu-ilmu alat seperti nahu, saraf, balaghah, usul fiqh, mantik serta disiplin bahasa Arab yang menjadi asas kepada ketepatan memahami ibarat para ulama.

Kejituan penghujahan dalam Bahthul Masail lahir daripada kemampuan mencermati setiap pecahan isu secara ilmiah, mengemukakan dalil yang tepat, menganalisis wajah-wajah istidlal serta menghormati perbezaan pandangan menurut disiplin yang diwariskan oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Justeru, Bahthul Masail bukanlah medan mempertahankan ego atau memenangkan pendapat, sebaliknya menjadi madrasah yang mendidik sifat tawaduk, menghargai keluasan khazanah ilmu serta mengiktiraf bahawa kebenaran dicapai melalui proses penelitian yang teliti dan beradab.

Tradisi inilah yang telah melahirkan ramai ulama besar di dunia Islam dan menjadi faktor penting dalam kelangsungan pembangunan tamadun ilmu. Pembudayaan Bahthul Masail membentuk generasi yang berfikiran kritis, beradab dalam berbeza pandangan, serta memiliki kemampuan menyelesaikan isu-isu semasa berdasarkan manhaj fiqh bermazhab yang bersumberkan khazanah turath Islam.

Institut Ilmu Darul Makmur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Maahad An-Noer serta para masyaikh dan alumni Pesantren Lirboyo atas kesudian berkongsi pengalaman dan metodologi yang telah sekian lama menyuburkan budaya ilmu di bumi Nusantara. Semoga usaha ini menjadi titik pemerkasaan kepada pembudayaan Bahthul Masail di Negeri Pahang dalam melahirkan generasi ilmuwan yang teguh berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mampu meneruskan kesinambungan warisan keilmuan Islam.

FIQH AL-WATAN MEMAKNAI 556 TAHUN KESULTANAN DAN PERADABAN ISLAM PAHANG.

#FiqhAlWatan #BahthulMasail #InstitutIlmuDarulMakmur #IIDM #MaahadAnNoer #PesantrenLirboyo #TurathIslami #TradisiIlmu #AhliSunnahWalJamaah #FiqhBermazhab #556tahunPeradabanIslamPahang #KesultananPahang #PembangunanInsan #WarisanUlama

View original