
DAURAH KITAB AL-MUQADDIMAT IMAM AL-SANUSI BERJAYA DIKHATAMKAN
23 Julai 2026
Alhamdulillah, Daurah Kitab al-Muqaddimat Imam al-Sanusi anjuran Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) telah berjaya disempurnakan dan dikhatamkan pada hari ini, 23 Julai 2026, bertempat di Dewan Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Masjid Negeri Pahang, Kuantan.
Daurah selama dua hari yang bermula pada 22 Julai 2026 ini telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Dr. Zainul Abidin Abdul Halim, Pensyarah Jabatan Usuluddin, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sepanjang daurah berlangsung, para peserta telah dibimbing menelusuri perbahasan penting dalam kitab al-Muqaddimat, sebuah karya Imam Abu Abdullah Muhammad ibn Yusuf al-Sanusi yang menghuraikan prinsip, istilah dan kaedah asas dalam disiplin ilmu akidah dan ilmu kalam.
Pengajian ini menjadi asas penting sebelum seseorang penuntut mendalami perbahasan yang terkandung dalam kitab Umm al-Barahin. Penguasaan terhadap muqaddimah-muqaddimah ini membantu peserta memahami kaedah penghujahan para ulama secara lebih tersusun, tepat dan berdisiplin.
Antara perkara yang diberikan penekanan ialah perkara-perkara yang membawa kepada kesesatan, pembahagian perkara-perkara maujud dan mumkinat, kaedah pendalilan serta istilah-istilah utama yang digunakan dalam membahaskan persoalan akidah.
Melalui pendekatan pengajian secara bertalaqqi, penghuraian teks dan perbincangan ilmiah, para peserta bukan sahaja didedahkan kepada kandungan kitab, bahkan dibimbing memahami manhaj pemikiran Imam al-Sanusi dalam mempertahankan Akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah.
Majlis penutupan telah disempurnakan dengan ucapan oleh Profesor Madya Dr. Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur.
Institut Ilmu Darul Makmur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, pihak pengurusan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan, Al-Fadhil Ustaz Dr. Zainul Abidin Abdul Halim yang telah menjayakan penganjuran daurah ini.
Penghargaan turut ditujukan kepada para asatizah, imam, guru-guru agama, muallim, muallimah, penuntut ilmu serta seluruh peserta yang telah mengikuti daurah ini dengan penuh kesungguhan dan adab.
Semoga pengkhataman kitab al-Muqaddimat ini bukanlah pengakhiran kepada perjalanan menuntut ilmu, sebaliknya menjadi pembuka jalan kepada pengajian kitab-kitab akidah Imam al-Sanusi yang lebih mendalam, khususnya Umm al-Barahin.
Mudah-mudahan segala ilmu yang dipelajari menjadi ilmu yang bermanfaat, memperteguhkan pegangan Akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah, menyuburkan tradisi pengajian turath serta melahirkan masyarakat yang sejahtera pemikiran, teguh keimanan dan beradab dalam menuntut ilmu di Negeri Pahang Darul Makmur ini.
“Membudayakan Ilmu, Memperkasakan Watan.”
FIQH AL-WATAN MEMAKNAI 556 TAHUN KESULTANAN DAN PERADABAN ISLAM PAHANG.
#FiqhAlWatan
#InstitutIlmuDarulMakmur
#IIDM
#MUIP
#DaurahAlMuqaddimat
#KhatamAlMuqaddimat
#ImamAlSanusi
#UmmAlBarahin
#AkidahAhliSunnahWalJamaah
#AkidahAlAsyairah
#PengajianTurath
#TradisiIlmu
#MajlisIlmu
#MasjidNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#556TahunPeradabanIslamPahang
#KesultananPahang
#PeradabanIslamPahang
#MembudayakanIlmu
#MemperkasakanWatan





