
MEMARTABATKAN AGAMA: AMANAH KESULTANAN DAN TANGGUNGJAWAB ILMU
"Insha Allah, apabila tertubuhnya Institut Ilmu Darul Makmur ini, ia sebagai pusat ilmu dan peradaban bagi negeri Pahang. Saya percaya ia akan menjadi pemangkin bagi memartabatkan negeri Pahang sebagai pusat rujukan ilmu dan peradaban Islam yang dikenali di seluruh dunia pada abad ke-21 ini."
— Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang
(Persidangan Pengetua dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Negeri Pahang, 18 September 2024)
Selaras dengan titah hasrat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) membawa amanah untuk memartabatkan Islam secara menyeluruh berasaskan kerangka Hadith Jibril, iaitu membangunkan tiga tunjang utama agama:
• Iman – Pemerkasaan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
• Islam – Pemerkasaan Fiqh dan Syariah.
• Ihsan – Pemerkasaan Tasawuf dan pembinaan akhlak.
Ketiga-tiga cabang ini merupakan asas pembinaan tamadun Islam yang seimbang, melahirkan masyarakat yang benar akidahnya, sah ibadahnya serta mulia akhlaknya.
Seiring dengan itu, Kerajaan Negeri Pahang telah mewartakan bahawa pegangan rasmi Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah, di samping menetapkan bahawa fahaman Salafiah Wahhabiah adalah bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras umat Islam di Negeri Pahang.
Komitmen ini bukanlah suatu pendekatan baharu, bahkan mempunyai asas yang kukuh dalam khazanah siyasah syar'iyyah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dalam karya agung al-Ghiyāthī, Imam al-Haramayn al-Juwaynī menjelaskan bahawa antara amanah terbesar seorang Sultan atau Imam ialah memelihara agama (ḥifẓ al-dīn) serta menolak syubhah yang merosakkan akidah umat.
Beliau menyatakan:
فَأَمَّا الْقَوْلُ فِي أَصْلِ الدِّينِ فَيَنْقَسِمُ إِلَى: حَفِظِ الدِّينِ بِأَقْصَى الْوُسْعِ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ، وَدَفْعِ شُبُهَاتِ الزَّائِغِينَ
"Adapun perincian mengenai asal-usul agama (akidah), ia terbahagi kepada: Menjaga agama dengan segenap kemampuan ke atas masyarakat beriman, dan menolak (repelling) syubhat-syubhat golongan yang menyeleweng."
Imam al-Juwaynī turut menjelaskan bahawa Sultan bukan sekadar mentadbir urusan pentadbiran negara, bahkan bertanggungjawab memelihara pemikiran rakyat serta mencegah penyimpangan sejak dari peringkat awal.
Beliau menyebut:
كَانَ حَقًّا عَلَى الْإِمَامِ أَنْ يَرْعَاهُمْ بِنَفْسِهِ وَرُقَبَائِهِ… وَيَصُونَهُمْ عَنْ نَوَاجِمِ الْأَهْوَاءِ، وَهَوَاجِمِ الْآرَاءِ، فَإِنَّ مَنْعَ الْمَبَادِي أَهْوَنُ مِنْ قَطْعِ التَّمَادِي
"Maka menjadi hak (kewajipan) ke atas Imam untuk menjaga mereka (rakyat) dengan dirinya sendiri dan melalui pengawas-pengawasnya… dan memelihara mereka daripada hawa nafsu yang baru muncul dan serangan-serangan pendapat (yang menyesatkan), kerana sesungguhnya menyekat pada peringkat awal itu lebih mudah daripada memotong (menghapuskan) perkara yang telah melarat."
Lebih jauh daripada itu, Imam al-Juwaynī turut menggariskan strategi yang perlu dilaksanakan oleh pemerintah dalam menghadapi syubhah, iaitu dengan memperkasa institusi ilmu serta menggerakkan para ulama dan pendakwah untuk membimbing masyarakat melalui hujah yang sahih.
Beliau menyatakan:
أَنْ يَبُثَّ فِيهِمْ دُعَاةَ الْحَقِّ… حَتَّى يَسْعَوْا فِي إِزَاحَةِ الشُّبُهَاتِ بِالْحُجَجِ وَالْبَيِّنَاتِ
"Sultan hendaklah menyebarkan dalam kalangan mereka (rakyat) para pendakwah kebenaran… supaya mereka berusaha untuk melenyapkan syubhat-syubhat dengan hujah-hujah dan bukti-bukti yang jelas."
Atas dasar inilah, IIDM-MUIP akan terus memperkukuhkan pendidikan Akidah, Fiqh dan Tasawuf menurut manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah, memperkasa tradisi ilmu turath, membina masyarakat yang berilmu dan beradab, serta mendukung institusi Kesultanan sebagai payung agama dan peradaban Islam di Negeri Pahang.
Memelihara agama tidak hanya menjadi tanggungjawab para ulama, bahkan merupakan amanah yang dipikul bersama oleh pemerintah, institusi pendidikan dan seluruh masyarakat demi memastikan kelangsungan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, keamanan watan dan kemuliaan peradaban Islam.
"MEMBUDAYAKAN ILMU, MEMPERKASAKAN WATAN."
"FIQH AL-WATAN MEMAKNAI 556 TAHUN KESULTANAN DAN PERADABAN ISLAM PAHANG."
#FiqhAlWatan
#InstitutIlmuDarulMakmur
#IIDM
#MUIP
#AkidahAhliSunnahWalJamaah
#AkidahAlAsyairah
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#556TahunPeradabanIslamPahang
#KesultananPahang
#PeradabanIslamPahang
#MembudayakanIlmu
#MemperkasakanWatan





