
KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA TENGKU AMPUAN PAHANG BERANGKAT KE MAJLIS PELANCARAN BUKU FIQH AL-WATAN SEMPENA SEMINAR HUKUM KANUN DI ALAM MELAYU
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan berangkat ke majlis pelancaran buku Fiqh al-Watan: Tatacara Kehidupan Bertanah Air Rakyat Negeri Pahang bersempena Seminar Hukum Kanun di Alam Melayu bertemakan “Tradisi Perundangan, Kedaulatan dan Transformasi Masyarakat” di Kutubkhanah Diraja, Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. Majlis pelancaran disempurnakan menerusi penyerahan naskhah oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Yang Hormat Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Hairi bin Haji Hussain, kepada Baginda.
Buku terbitan Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) ini mendokumentasikan gagasan Fiqh al-Watan yang mengintegrasikan ajaran Islam, kedaulatan institusi kesultanan, adat resam Melayu dan pemeliharaan alam sekitar. Penerbitan ini bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai tanggungjawab terhadap agama, raja dan tanah air demi membentuk masyarakat yang berdaulat, bersyariat, beradat dan berperadaban.
Pada sebelah petang, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, turut berkenan berangkat ke seminar yang berlangsung selama dua hari, menghimpunkan ahli akademik dan penyelidik bagi membincangkan warisan perundangan Alam Melayu. IIDM-MUIP turut merakamkan ucapan tahniah kepada Muzium Pahang sempena ulang tahun ke-50 penubuhannya serta menghargai penganjuran seminar yang mengangkat warisan perundangan Melayu-Islam sebagai asas kedaulatan dan kesinambungan peradaban negeri.
“FIQH AL-WATAN MEMAKNAI 556 TAHUN KESULTANAN DAN PERADABAN ISLAM PAHANG”





