
KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA TENGKU AMPUAN PAHANG BERKENAN BERCEMAR DULI BERANGKAT ZIARAH MAKAM-MAKAM SULTAN PAHANG, PARA KHALIFAH PENDIRI DAULAH KESULTANAN DAN PERADABAN ISLAM PAHANG SEJAK 556 TAHUN LALU
PEKAN, 23 OKTOBER 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat menziarahi makam Sultan-Sultan Pahang, meliputi Makam Sultan Muhammad Shah Sultan Pertama Pahang, Makam Chondong, Makam Ziarat Raden, Makam Tembuni, dan Makam Diraja Kampung Marhum bagi mendoakan kesejahteraan, keampunan dan kerahmatan para khalifah raja pemerintah awal negeri Pahang.
Ziarah makam ini turut menzahirkan iltizam dan kesungguhan Paduka Baginda untuk mengembalikan kegemilangan Kesultanan dan Peradaban Islam Pahang sepertimana yang telah ditegakkan oleh Sultan-Sultan awal Kesultanan Pahang bermula dari Era Sultan Muhammad Shah sebagai Sultan Pahang Pertama 1470-1475 (Marhum Langgar) yang dimakamkan di Langgar, Pahang Tua, Pekan.
Di Makam Chondong terletaknya Makam Sultan Abdul Ghaffar Muhyiddin Shah (1592-1614) yang dikenali Marhum Pahang, Raja Pemerintah yang menghasilkan Hukum Kanun Pahang yang telah di Seminarkan oleh Paduka Baginda melalui anjuran Muzium Pahang semalam dan hari sebelumnya. Sultan Abdul Ghaffar Sultan Pahang ke 12 meninggalkan warisan perlembagaan dan perundangan bagi negeri Pahang yang menjadi diwan, sumber rujukan dan karya agung Fiqh al-Watan sebagai tatacara kehidupan bertanah air rakyat negeri Pahang.
Di Makam Ziarat Raden bersemadi pula Sultan Abdul Jamal Shah (1494-1512) dikenali sebagai Marhum Ziarat iaitu Sultan Pahang ketiga. Di Makam Tembuni bersemadi pula Sultan Zainal Abidin Shah (1540-1555), Sultan Pahang ketujuh dikenali sebagai Marhum Bukit dan Sultan Mansur Shah II, Sultan Pahang kelapan (1555-1560) juga dikenali sebagai Marhum Syahid.
Ziarah Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berakhir di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang. Disinilah terletaknya lebih ramai Sultan-Sultan Pahang termasuk Sultan-Sultan Abad ke 18, 19 dan 20 yang lalu. Antaranya Sultan Abdul Jalil Ri’ayat Shah IV (1699-1718), Sultan Pahang ke 18, 3 Sultan Pahang yang sering digelar sebagai Era Pahang Moden iaitu Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah (1882-1914), Sultan Pahang ke 27; Sultan Mahmud (1914-1917), Sultan Pahang ke 28; dan Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah (1917-1932).
Sepanjang ziarah tersebut, Paduka Baginda turut berkenan menyantuni rakyat yang ditemui, mencerminkan hubungan erat antara institusi Kesultanan dengan masyarakat serta nilai keprihatinan yang menjadi sebahagian daripada tradisi negeri Pahang.
Turut hadir mengiring ialah YH. Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Hairi bin Haji Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH. Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Khirrizal bin Haji Ab. Rahman, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato' Setia Jaya Dato' Ahmad Farid bin Abd. Jalal, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) serta Pengelola Bijaya Diraja KDPB Sultan Pahang, YH. Mejar Jeneral Dato' Mohamed Zahari bin Yahya TUDM (Bersara).
Selaras dengan gagasan Fiqh al-Watan sebagai tatacara kehidupan bertanah air rakyat Pahang yang sedang diarus-perdanakan oleh IIDM-MUIP, kefahaman dan penghayatan terhadap sejarah dan peranan Kesultanan (al-Sultah) yang merupakan Khalifah, Ulil-Amri dan Imam bagi sekalian rakyat Pahang pada setiap masa sebagai pewaris kepimpinan bagi Kenabian (Nubuwwah) yang unggul dan Kekhalifahan (Khilafah) yang sempurna merupakan sebahagian daripada usaha memperkasakan semula Kesultanan dan Peradaban Islam Pahang yang berdaulat, bersyariat, beradat dan berperadaban pada abad ke 21 ini.
“FIQH AL-WATAN MEMAKNAI 556 TAHUN KESULTANAN DAN PERADABAN ISLAM PAHANG”





