
PELAKSANAAN SYARIAH DALAM DAULAH ISLAM LEBIH LUAS DARIPADA SEKADAR HUDUD
BERA, 3 NOVEMBER 2026 — Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang telah menganjurkan Program Pencerahan Fiqh Al-Watan Peringkat Daerah Bera Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera.
Program yang memfokuskan kepada pemerkasaan jati diri watan Pahang menerusi penghayatan Fiqh al-Watan ini menghimpunkan kepimpinan masjid, pengetua sekolah, wakil Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), ketua-ketua jabatan serta wakil agensi kerajaan yang merangkumi sektor keselamatan, pendidikan, kesihatan dan pembangunan masyarakat sekitar Daerah Bera. Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh YH. Dato’ Ahmad Nasim bin Dato’ Haji Mohd Sidek, DIMP., Pegawai Daerah Bera.
Pengarah Eksekutif IIDM, Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad, dalam pembentangannya menjelaskan bahawa pelaksanaan Syariah dalam sesebuah Daulah Islam tidak boleh disempitkan kepada pelaksanaan hukum hudud semata-mata. Sebaliknya, Syariah sebagai al-Din merangkumi keseluruhan kehidupan beragama yang melibatkan akidah, ibadah, muamalat, munakahat, jinayat dan akhlak.
Beliau menegaskan bahawa kefahaman yang hanya menumpukan kepada pelaksanaan hudud boleh menyebabkan tuntutan Syariah yang lain terabai, khususnya kewajipan memelihara akidah yang benar, memastikan ibadah dilaksanakan dengan sahih serta membentuk akhlak yang terpuji. Kesempurnaan kehidupan Islam menuntut penghayatan seluruh aspek agama secara seimbang dan menyeluruh.
Menurut beliau, pembinaan Daulah Islam bukan hanya diukur melalui aspek perundangan jenayah, bahkan turut merangkumi pendidikan, pengukuhan institusi agama, pembinaan akhlak, pengurusan masyarakat dan pentadbiran yang teratur. Kesemua elemen ini merupakan sebahagian daripada tuntutan Syariah dalam membina kehidupan berteraskan Islam.
Dalam konteks Pahang, tradisi pemerintahan Kesultanan, institusi agama dan perundangan negeri merupakan antara asas penting dalam membina peradaban Islam yang berterusan. Kefahaman inilah yang diketengahkan melalui gagasan Fiqh al-Watan, iaitu menghayati Syariah sebagai panduan kehidupan menyeluruh dalam memelihara agama, membangunkan masyarakat dan memperkukuh jati diri watan Pahang.
“𝑴𝑬𝑴𝑩𝑼𝑫𝑨𝒀𝑨𝑲𝑨𝑵 𝑰𝑳𝑴𝑼, 𝑴𝑬𝑴𝑷𝑬𝑹𝑲𝑨𝑺𝑨𝑲𝑨𝑵 𝑾𝑨𝑻𝑨𝑵”
#FiqhAlWatan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#siyasahshariyah
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat




