PENDAHULUAN
Ramadhan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan. Allah Subhanahuwataala telah mewajibkan kepada setiap muslim untuk berpuasa selama sebulan Hal ini telah dinyatakan di dalam surah al-Baqarah ayat 183 sepertimana yang telah kita sedia maklum. Antara hikmah pensyariatan berpuasa ini adalah mengajar umat Islam keseimbangan diantara keperluan rohani dan jasmani. Syariat Islam tidak hanya mengfokuskan sesuatu suruhan kepada sudut rohani semata begitu juga tidak semata-mata pada sudut jasmani. Syariat Islam sentiasa mengimbangi keperluan kedua-dua aspek ini.
HUBUNGAN ROHANI DAN JASMANI DI DALAM BERPUASA
Jika dikembalikan kepada awal perkataan yang telah dituntut kepada semua muslim untuk mengucapnya sebelum bergelar muslim iaitu kalimah shahadah, didapati daripadanya ulama jumhur daripada mereka mewajibkan untuk dituturkan dengan lidah bagi mengesahkan Islam. Tidak hanya berpada kepada pengakuan di hati. Sepertimana disebut oleh Imam Ahmad Bin Husain Ibn Ruslan di dalam Sofwah al-Zubad:
َوالنُّ ْط ُق بال َّش َهادَتَ ْي ِن ا ْعتُبِ َر – ِل ِص َّح ِة ا ِلإ ْي َما ِن ٍم َّم ْن قَدَ َرا
Terjemahannya: Dan melafazkan dua kalimah syahadah dianggap sebagai syarat sah keimanan bagi sesiapa yang mampu mengucapkannya.
Hal ini kerana, pengakuan di hati itu merujuk kepada Iman manakala sebutan di lidah menunjukkan kepada kepatuhan Zahir iaitu Islam. Di dalam al-Quran sering mengulang-ulang secara bergandingan diantara iman dan amal seperti dalam firmannya berbunyi:
َوالَّ ِذي َن آ َمنُوا َو َع ِملُوا ال َّصا ِل َحا ِت
“Dan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal soleh, mereka itulah ahli syurga;
mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 82)
Ayat ini telah memberi isyarat penting di dalam kesepaduan diantara aspek hati dan aspek amalan. Kedua-dua ini merupakan manifestasi kepada hubungan diantara rohani dan jasmani.
Para ulama juga mensyaratkan di dalam setiap zikir di dalam solat sebagai contoh tidak hanya terbatas kepada amalan hati, akan tetapi disyaratkan pertuturan zikir tersebut pada lidah bagi mencapai kesempurnaan zikir. Adapun bacaan al-Fatihah, selawat, tasyahhud yang menjadi rukun qauli iaitu pertuturan tidak akan terlaksana melainkan dengan terlaksana gerakan pada anggota Zahir. Tidak dianggap sah sesuatu yang disyariatkan dengan janji pahala oleh syarak, sama ada zikir yang wajib atau sunat dalam solat dan selainnya, melainkan apabila seseorang itu melafazkannya dengan lidah dan mendengar sendiri ucapannya, sekiranya dia memiliki pendengaran yang normal.
Hal ini kerana sabda Nabi صلى الله عليه وسلمdalam banyak kesempatan yang menyebut, “Sesiapa yang mengucapkan begini akan memperoleh ganjaran tertentu,” menunjukkan bahawa ganjaran tersebut tidak diperoleh kecuali apabila ucapan itu benar-benar diungkapkan. Menurut pandangan majoriti ulama, sekadar menggerakkan lidah tanpa suara sama sekali tidak mencukupi. Bahkan, mesti ada suara yang sekurang-kurangnya dapat didengari oleh dirinya sendiri.
Imam An-Nawawi dalam kitab Al-Majmu’ menyebut: “Para ulama mazhab kami berkata bahawa orang bisu wajib menggerakkan lidahnya dengan niat membaca (bacaan dalam solat) sebanyak mana gerakan yang dilakukan oleh orang yang mampu berbicara. Ini kerana bacaan melibatkan lafaz dan pergerakan lidah. Maka apa yang dia tidak mampu lakukan gugur kewajipannya, dan apa yang dia mampu lakukan tetap diwajibkan ke atasnya, berdasarkan sabda Nabi :صلى الله عليه وسلم
Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu perintah, maka laksanakanlah daripadanya apa yang kamu mampu.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)
Hal ini menunjukkan bahawa syariat Islam tidak hanya meraikan amalan di dalam pembinaan rohani namun juga meraikan pembinaan amalan luaran. Di dalam memahami konsep berpuasa pula, Allah SWT telah memerintahkan hambanya untuk berlapar bermula dari terbit fajar sodiq sehingga terbenam matahari. Konsep pengosongan perut dan menjauhi daripada sesuatu yang masuk ke dalam rongga atau sesuatu yang keluar daripada badan manusia dengan sengaja adalah sesuatu didikan membina kekuatan dalaman iaitu rohani. hal ini telah disebut oleh Baginda Nabi yang menunjukkan bahawa berlapar dan mengosongkan perut itu adalah salah satu jalan untuk menghindarkan atau membendung keaktifan nafsu.
Daripada Alqamah dan Al-Aswad radhiallahu ‘anhuma, mereka berkata: “Kami pernah bersama Nabi صلى الله عليه وسلمsebagai pemuda yang tidak memiliki apa-apa (harta). Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda kepada kami: Wahai para pemuda! Barang siapa di antara kamu mampu berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin kerana ia lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Namun, sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana itu adalah benteng baginya.”
(Hadis Sahih, diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)
Dilihat kepada konsep ini, syariat Islam telah menunjukkan keterikatan rohani dan jasmani. Rohani terbina dan kuat dengan pengawalan aspek fizik iaitu pengosongan perut. Berpuasa juga tidak hanya suatu arahan yang menahan diri semata namun perlu diberi perhatian kepada waktu iaitu daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari. Konsep ini telah menjelaskan lagi bahawa berpuasa ini mendidik manusia untuk mengintegrasikan secara sempurna hubungan diantara rohani dan jasmani.
Baginda Nabi telah menyebut di dalam sabdaannya yang berbunyi; Terjemahannya: Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap amalan anak Adam akan dilipatgandakan (pahalanya), satu kebaikan akan digandakan sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda.” Allah SWT berfirman: “Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untuk-Ku, dan Aku sendiri yang akan memberikan ganjarannya. (Kerana) dia telah meninggalkan nafsunya dan makanannya semata-mata kerana Aku.” Bagi orang yang berpuasa, ada dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa, Kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Dan sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5927 dan Muslim, no. 1151).
Yang menjadi perhatian di dalam hadis ini adalah, pengiktirafan Allah SWT untuk memberi ganjaran kepada mereka yang berpuasa. jika kita kembali kepada konsep hakikat pemberian ganjaran pahala sebenarnya datang daripada Allah SWT juga, namun disini Allah ingin menyatakan bahawa terdapat kerahsiaan pada lebihan ganjaran pada orang yang berpuasa dan lebihan ini tidak dapat diketahui oleh makhluk seperti malaikat. Para malaikat hanya mencatat amalan yang dapat dilihat olehnya. Akan tetapi mereka yang berpuasa, daripada sudut keikhlasan di dalam menyimpan ibadahnya secara tersembunyi sangat jelas di dalam berpuasa. Dapat difahami bahawa sesuatu amalan yang penuh dengn ketersembunyian pun, sebenarnya tidak terlepas daripada keraian agama diantara aspek rohani dan jasmani.
KESIMPULAN
Bulan Ramadhan bukan sekadar waktu untuk menahan lapar dan dahaga tetapi merupakan satu bentuk pendidikan yang menyeimbangkan keperluan rohani dan jasmani. Syariat Islam sentiasa mengambil kira keseimbangan antara aspek dalaman (keimanan dan rohani) serta aspek luaran (amalan zahir). Puasa mendidik manusia untuk mengawal nafsu, menguatkan jiwa, dan meningkatkan ketakwaan melalui latihan fizikal dan spiritual. Oleh itu, ibadah puasa bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga satu bentuk penyucian diri yang memperkukuhkan hubungan dengan Allah serta membentuk peribadi Muslim yang lebih disiplin dan bertakwa.
__________________________________________________________________
Nik Mohd Sofa’Urrahman Bin Nik Mohd Rosdi merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda World Islamic Science And Education University (WISE) di dalam bidang Fiqh dan Usul dan Sarjana Universiti Malaya (UM) dalam bidang Fiqh dan Usul.
Tazkirah Jumaat IIDM-MUIP
Bertarikh 28 Februari 2025 / 29 Syaaban 1446






