Skip to main content
Author

Oleh:
Ahmad Luqman bin Zulkefli Pegawai Pendidikan Turath, Institut Ilmu Darul Makmur, 
Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang.

Pengajian kitab turath telah sekian lama menjadi tulang belakang dalam sistem pendidikan tradisional Islam di Malaysia, khususnya dalam tradisi pondok, madrasah, dan pusat-pusat pengajian tidak rasmi agama. Warisan keilmuan yang mengakar kepada khazanah klasik Islam ini telah memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk jati diri umat dan kelangsungan tradisi keilmuan yang muktabar. Namun, dalam realiti semasa yang menuntut ketangkasan berfikir, kecekapan mengaplikasi dan ketahanan kerohanian, pendekatan tradisional yang semata-mata berpusat atau kebanyakan seandainya terhenti kepada hafalan (taqlid) dan penyampaian pasif (talqin) tanpa respon dua hala, kelihatan semakin tidak memadai dan tidak relevan. Hal ini menimbulkan persoalan besar: bagaimana pengajian turath dapat terus relevan dan kompetitif dalam dunia moden yang pantas berubah dan mencabar ini?

 

Sehubungan itu, munculnya keperluan kepada satu anjakan paradigma (paradigm shift) yang strategik dalam sistem pengajian turath. Bukan dengan menggantikan kerangka warisan, tetapi memperkayakannya secara sistematik dan saintifik ilmiah agar selari dengan keperluan zaman. Di sinilah pendekatan Taksonomi Bloom – satu model yang dibangunkan oleh Benjamin Bloom dalam bidang pedagogi – wajar diangkat dan diintegrasikan secara kreatif ke dalam disiplin-disiplin asas Islam seperti tauhid, fekah dan tasawuf. Taksonomi ini membahagikan hasil pembelajaran kepada tiga domain utama: kognitif (cognitive), psikomotorik (psychomotor), dan afektif (affective), yang masing-masing menekankan aspek pemikiran (teoria/nazari), perbuatan (praxis/amali), dan sikap atau jiwa (techne/sina’ah qalbiyyah). Pendekatan integratif ini diyakini mampu menghidupkan kembali pengajian turath agar bukan sahaja terus kekal dalam nilai aslinya, malah berkembang sebagai sistem yang menjawab realiti cabaran kontemporari.

 

Dengan mengambil disiplin akidah sebagai contoh pertama, ilmu kalam atau teologi Islam secara tradisi telah menjadi asas kepada pembentukan kerangka fikir/worldview/lebenswelt/lifeworld seorang Muslim. Namun jika ia diajarkan semata-mata sebagai suatu bentuk hafalan tanpa pemahaman mendalam atau pertimbangan rasional, maka besar kemungkinan akidah itu tidak akan menyuburkan kefahaman yang hidup dan dinamik. Dalam domain kognitif Taksonomi Bloom, akidah perlu melalui enam tahap utama: remembering, understanding, applying, analyzing, evaluating, dan creating. Peringkat awal melibatkan penguasaan terhadap dalil-dalil naqli dan aqli yang bersifat fundamental, namun

 

tidak terhenti di situ. Pelajar perlu digalakkan untuk mengaplikasikan prinsip-prinsip akidah bagi menjawab pelbagai keraguan moden – seperti atheisme, sekularisme, dan agnostisisme – serta menganalisis pendekatan pelbagai aliran seperti Ash’ariyyah Maturidiyyah dan falsafah dalam memahami tauhid. Akhirnya, pelajar yang matang pemikirannya seharusnya mampu menghasilkan wacana teologi atau konsep ketuhanan baharu yang tetap berpaksikan usul Ahli Sunnah Wal jamaah, namun responsif kepada soalan-soalan zaman moden. Justeru, pengajian akidah tidak harus statik, tetapi bersifat progressive revelation dalam wacana rasional. Di sinilah karya-karya seperti Sharh al-Mawaqif (al-Iji), al-Maqasid (al-Taftazani), Abkar alAfkar (al-Razi), dan kitab silsilah al-’aqa`id al-Sanusiyyah patut digarap sebagai teks hidup, bukan sekadar bahan rujukan dogmatik semata-mata.

 

Sementara itu, disiplin fekah pula berfungsi sebagai penggerak utama kepada tindakan manusia dalam kehidupan harian. Dalam erti kata lain, ia adalah disiplin praxis yang menjembatani antara wahyu dan tindakan nyata. Namun, fekah juga berisiko menjadi terlalu legalistik dan teoritikal jika diajarkan hanya melalui format kuliah dan hafalan hukum. Dalam domain psikomotorik Taksonomi Bloom, pembelajaran fekah perlu menekankan aspek persepsi, latihan terpandu, penguasaan mekanikal, dan adaptasi hukum terhadap konteks. Dalam konteks ini, pelajar bukan sahaja perlu tahu hukum solat atau zakat, tetapi juga mampu mensimulasi realiti baru – seperti fekah e-daOKgang, bioetik Islam, atau muamalat kewangan digital. Latihan seperti case study, moot court, dan fatwa simulation boleh menjadi metode efektif untuk mengasah kemahiran ini. Bahkan, pembelajaran fekah tidak boleh berpisah daripada usulnya – yakni usul al-fiqh – yang menyemai keupayaan berijtihad, walaupun tidaklah semudah yang disangka, namun perlu ada usaha ke arah tersebut. Di sinilah, teks-teks seperti al-Burhan karya al-Juwayni, al-Mustasfa karya al-Ghazali, al-Mahsul karya al-Razi, al-Ihkam karya al-Amidi atau al-Minhaj karya al-Baydawi menjadi penting untuk memperkukuh akar analitikal seorang pelajar fekah. Maka, integrasi antara praxis dan theoretical rigor inilah yang akan membentuk mufti dan faqih atau usuli yang tidak hanya mahir dalam syarahan hukum, tetapi juga bijak dalam mengurus realiti zaman dengan meraikan maqasid dan hikmah shar’iyyah.

 

Sementara itu, tasawuf pula sering disalah faham sebagai ajaran yang hanya mengajak kepada penyucian batin dan menjauhkan diri daripada dunia. Sebaliknya, tasawuf yang hakiki ialah disiplin pembentukan jiwa dan tamadun – techne dan sina’ah qalbiyyah-maadiyyah – yang mencetuskan nilai-nilai baru dalam kehidupan material dan spiritual kerohanian. Dalam domain afektif Taksonomi Bloom, tasawuf bergerak daripada tahap receiving (kesedaran akan tazkiyah), responding (pengamalan akhlak sufi), sehingga characterization (menjadikan nilainilai sufi sebagai watak diri yang memberi impak sosial dan kemajuan). Dalam sejarah Islam, ramai tokoh yang berjiwa sufi juga merupakan tokoh sains dan teknologi yang memperlihatkan bahawa hikmah batin itu mampu melahirkan ciptaan zahir yang memberi manfaat sejagat. Maka, mengangkat paradigma dalam tasawuf bukanlah dengan meninggalkan dunia, tetapi menguasainya dengan jiwa yang murni. Transformasi tasawuf yang holistik akan menjadikan si salik atau sang murid bukan hanya insan rabbani tetapi juga agen perubahan sosial dan teknologi yang seimbang antara zahir dan batin.

 

Kesimpulan yang dapat disimpulkan bahawa usaha ihya’ tajdid terhadap pendidikan turath memerlukan bukan sekadar pembaikan silibus atau penambahan modul semata-mata. Ia menuntut reformasi metodologi yang menggabungkan nilai tradisi turath dan instrumen pedagogi moden. Taksonomi Bloom merupakan salah satu alternatif yang menawarkan satu kerangka yang komprehensif untuk menyusun semula proses pembelajaran agar lebih efektif, hidup dan relevan. Tauhid mesti diajarkan secara kritikal dan analitikal, fekah perlu diterapkan melalui aplikasi praktikal, dan tasawuf mesti difahami sebagai suatu mekanisme yang menjaga kestabilan pembentukan peradaban. Oleh itu, integrasi tiga domain pembelajaran ini – kognitif, psikomotorik, dan afektif – tidak hanya akan melahirkan pelajar yang berilmu, tetapi juga ulama’ yang arif, faqih yang bijaksana, dan sufi yang berjiwa besar. Maka, paradigma baharu ini bukan lagi satu pilihan, tetapi barangkali suatu keperluan demi kelestarian dan kemajuan keilmuan Islam pada abad ini?

 

Ahmad Luqman bin Zulkefli merupakan lulusan ijazah Universiti al-Azhar dalam bidang Usuluddin (Akidah & Falsafah) dan sarjana Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam Pemikiran Islam Kontemporari.

 

Tazkirah Jumaat IIDM-MUIP bertarikh 18 Julai 2025 / 22 Muharram 1447