Skip to main content
Author

Oleh: Nik Mohd Sofa’Urrahman Bin Nik Mohd Rosdi Pegawai Penyelidikan Isu-Isu Semasa,

Institut Ilmu Darul Makmur,

Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang.

Syariat Islam sebagai panduan hidup umat telah menetapkan pelbagai bentuk kelebihan dan keutamaan yang berpaksikan hikmah dan maqasid. Di antara bentuk yang paling signifikan ialah kelebihan yang dikurniakan pada aspek zamani (masa), makani (tempat), dan diri (individu atau golongan tertentu). Ketiga-tiga unsur ini membentuk asas penting dalam menyemarakkan semangat umat untuk istiqamah dalam ibadah dan mengekalkan hubungan yang harmoni dengan adat, institusi kenegaraan dan alam sekitar. Pengiktirafan syariat terhadap kelebihan-kelebihan ini menunjukkan bahawa Islam bukan sekadar agama ibadah individu, tetapi juga agama yang menyusun kehidupan kolektif, membina tamadun, serta memandu manusia dalam mengurus realiti sekeliling dengan nilai wahyu.

 

Antara bentuk kelebihan yang paling ketara ialah kelebihan zaman. Islam memberi penghormatan kepada masa-masa tertentu dengan ganjaran dan fadhilat yang besar bagi sesiapa yang memperbanyakkan ibadah. Sebagai contoh, sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah adalah antara hari yang paling mulia di sisi Allah SWT, sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: “Tiada harihari yang amal soleh lebih dicintai oleh Allah daripada hari-hari ini.” (Riwayat al-Bukhari). Hari-hari ini menjadi peluang keemasan untuk umat Islam meningkatkan amalan seperti puasa Arafah, takbir, korban dan solat sunat. Namun dalam kemeriahan beramal ini, penting untuk diinsafi bahawa Allah SWT menilai pada hakikatnya bukan semata-mata kuantiti zahir, tetapi keikhlasan hati dan tujuan amalan. Sebagaimana sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim). Maka, meskipun amalan digandakan dari segi ganjaran, ia tidak menjadi jaminan mutlak kepada penerimaan melainkan disertai dengan niat yang suci dan tujuan yang ikhlas.

 

Di sinilah letaknya keindahan imbangan dalam syariat Islam – ia mengiktiraf keutamaan amalan secara fizikal, termasuk bilangan dan bentuk pelaksanaannya, sebagai sebahagian daripada disiplin rohani dan sosial. Ganjaran yang berganda itu merupakan bentuk motivasi rabbani, satu penzahiran bahawa Allah Maha Pemurah dan Maha Mampu memberi balasan sebanyak-banyaknya kepada hamba-Nya. Namun, dalam masa yang sama, Islam menanam kefahaman bahawa penerimaan

 

amal bergantung kepada maqbuliyyah, bukan sekadar bilangan. Maka, umat dididik bukan hanya untuk memperbanyakkan ibadah, tetapi juga memperhaluskan niat, menjaga adab, dan memelihara hubungan sesama manusia sebagai pelengkap kepada kehambaan.

 

Selain masa, tempat juga diberikan kelebihan dalam syariat. Terdapat kawasan-kawasan yang dimuliakan oleh Allah SWT, antaranya Tanah Haram Makkah dan Madinah. Keistimewaan ini bukan sahaja kerana nilai sejarah dan peristiwa kenabian, tetapi juga kerana nilai spiritual dan peraturan syariat yang mengelilinginya. Sabda Nabi SAW: “Solat di masjidku (Madinah) lebih baik daripada seribu solat di masjid lain, kecuali Masjid al-Haram.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Tempat-tempat ini menjadi simbol kepada penyatuan umat, pusat tumpuan rohani dan juga wilayah larangan kerosakan alam seperti pemburuan, penebangan atau pencemaran. Ia menzahirkan prinsip bahawa tempat yang dimuliakan oleh syariat harus dipelihara dan dihormati, sekali gus menunjukkan bahawa Islam mendidik umatnya untuk menjaga kelestarian alam dengan roh ketauhidan.

 

Dalam masa yang sama, Islam turut memuliakan insan-insan tertentu yang berperanan sebagai penyampai ilmu, penjaga syariat dan pemelihara nilai agama. Golongan ulama, huffaz, dan ahl al-ilm diiktiraf sebagai pewaris para nabi, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi.” (Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmidhi). Mereka memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesinambungan ilmu, membimbing masyarakat dan menghubungkan antara syariat dan adat. Dalam konteks Fiqh al-Watan, peranan mereka memperkukuh institusi seperti istana, masjid dan madrasah. Di negeri Pahang, institusi-institusi ini bukan sahaja menjadi pusat ilmu dan ibadah, tetapi juga simbol kepada kestabilan warisan, kesatuan ummah dan kekuatan kenegaraan Islam.

 

Kesemua bentuk kelebihan – zaman, tempat dan insan – saling berkait dalam membina konsistensi ibadah dan menanamkan nilai keterikatan spiritual dalam masyarakat. Dengan adanya waktu-waktu yang digalakkan ibadah, tempat-tempat yang menghidupkan rohani, dan insan-insan yang menjadi sumber ilmu dan hikmah, umat Islam dipandu untuk hidup dalam sistem nilai yang stabil dan seimbang. Ini dapat dilihat dalam pelbagai amalan masyarakat Islam di Pahang yang bukan sahaja berteraskan ajaran agama, malah menjadi adat yang sebati dalam kehidupan. Sebagai contoh, amalan berkorban secara berjemaah di masjid dan surau pada Aidiladha bukan sahaja memenuhi tuntutan ibadah, malah membentuk solidariti sosial, memperkukuh semangat gotong-royong, dan menyuburkan budaya tolong-menolong. Ia merupakan contoh nyata bagaimana adat yang telah berdarah daging dalam masyarakat menjadi manifestasi beragama yang sahih dan mendalam. Begitu juga dengan adat kenduri kesyukuran, marhaban, tahlil arwah, dan amalan menziarahi orang sakit – semuanya berakar daripada nilai syariat yang telah menyatu dalam budaya tempatan.

 

Apabila amalan-amalan ini dihayati secara kolektif dan dihormati sebagai sebahagian daripada nilai Islam, maka ia membentuk kerangka Fiqh al-Watan – satu pendekatan fiqh yang menekankan integrasi antara syariat, adat dan realiti kenegaraan. Fiqh al-Watan tidak menolak adat secara mutlak, tetapi menapis dan membimbingnya supaya bersumberkan hikmah wahyu. Dalam Fiqh al-Watan, peranan kesultanan sebagai ulil amri diperkukuh, bukan sahaja dari sudut politik, tetapi juga sebagai penaung agama dan pelindung warisan. Adat pula diiktiraf sebagai warisan masyarakat yang mengakar kepada nilai-nilai murni dan dijadikan wasilah kepada pemerkasaan syariat. Alam sekitar pula dianggap sebagai amanah Allah yang perlu dijaga – dan kelebihan-kelebihan makani serta larangan terhadap kerosakan menjadi asas kepada pendekatan ekologi Islam. Di negeri seperti Pahang Darul Makmur, penghormatan terhadap hari-hari besar Islam, pemeliharaan kawasan larangan, pemerkasaan amalan berjemaah serta pengiktirafan kepada institusi kesultanan yang menjaga agama adalah bukti bahawa Fiqh al-Watan sedang diamalkan secara praktikal.

 

Kesimpulannya, kelebihan yang diberikan oleh syariat kepada masa, tempat dan insan bukan sekadar ganjaran spiritual, tetapi adalah strategi tarbawi dan tamaduni yang membentuk masyarakat berasaskan wahyu. Ia memberi dorongan untuk kekal dalam ketaatan, menjadikan ibadah konsisten dan

 

hidup dalam rangka adat yang bersendikan syariat. Maka, Fiqh al-Watan bukan sahaja satu gagasan ilmiah, tetapi satu realiti yang berakar dalam kehidupan umat Islam – satu kefahaman bahawa keikhlasan dalam hati, diiringi amal zahir yang sah dan berbudaya, adalah jalan menuju keredhaan Ilahi.

 


 

Nik Mohd Sofa’Urrahman Bin Nik Mohd Rosdi merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda World Islamic Science And Education University (WISE) di dalam bidang Fiqh dan Usul dan Sarjana Universiti Malaya (UM) dalam bidang Fiqh dan Usul.

 

Tazkirah Jumaat IIDM-MUIP Bertarikh 30 Mei 2025