Skip to main content
Author

Oleh:
Nik Mohd Sofa’Urrahman Bin Nik Mohd Rosdi Pegawai Penyelidikan Isu-Isu Semasa, 
Institut Ilmu Darul Makmur, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang.

Pendahuluan

Kecenderungan beramal merupakan perkara terpuji dalam Islam. Namun, para ulama melalui disiplin Usul al-Fiqh menekankan bahawa tidak semua amal berada pada tahap keutamaan yang sama. Ada yang bersifat galakan (istihbāb), manakala ada yang wajib (ilzāmī). Justeru, memahami keutamaan hukum-hukum syarak adalah penting agar amalan dilakukan dengan tertib dan berpandukan kefahaman yang sahih terhadap wahyu.

 

Perbincangan Isu

Ilmu dalam Islam terbahagi kepada fardhu ‘ain dan fardhu kifayah. Fardhu ‘ain ialah ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap individu, seperti asas solat, taharah, aqidah dan tasawuf. Imam alSubkī menjelaskan fardhu ‘ain melibatkan kewajipan yang bersangkutan terus dengan setiap individu, manakala fardhu kifayah boleh digugurkan jika sebahagian masyarakat telah melakukannya.

Ilmu fardhu ‘ain menjadi prasyarat kesempurnaan ibadah. Syeikh al-Zarnūjī menekankan bahawa ilmu berkaitan solat perlu didahulukan. Kaedah fiqh menyatakan bahawa apa yang menjadi alat kepada kewajipan, maka ia turut menjadi wajib. Oleh itu, mempelajari asas-asas ibadah merupakan keutamaan mutlak bagi Muslim.

Kefahaman mesti mendahului amalan. Prinsip “ilmu sebelum amal” disebut dalam Surah Muhammad, ayat 19. Imam al-‘Aynī dan Imam al-Bukhārī menegaskan bahawa ilmu memperbetulkan niat dan menjadi asas kepada amal yang diterima. Oleh itu, sebelum

menghafal al-Quran, seseorang itu perlu menguasai ilmu fardhu ‘ain agar hafalannya disokong oleh kefahaman agama.

Imam al-Qannūjī menjelaskan kewajipan menuntut ilmu bergantung kepada keadaan seseorang dikenali sebagai ‘ilmu al-ḥāl’. Misalnya, jika seseorang terlibat dalam muamalat, maka dia wajib mengetahui hukum-hakam berkaitan. Syeikh al-Mar‘asyī menyatakan bahawa pelajar perlu belajar asas iman dan fekah sebelum mempelajari hafalan atau ilmu lanjutan. Kitab asas seperti al-Risālah al-Birkawiyyah disarankan untuk membina kefahaman awal.

Bagi pelajar baligh, pendekatan sistematik amat penting. Mereka perlu mempelajari akidah, membaca surah asas, dan mendalami ilmu fardhu ‘ain sebelum meneruskan hafalan. Setelah itu, barulah mereka dididik dalam ilmu nahu, fiqh, usul fiqh, hadis, tafsir dan lain-lain, mengikut tertib pengajian yang diwariskan oleh ulama terdahulu.

Kisah para ulama seperti Imam al-Nawawi, al-Muzani, dan Ibn al-Musayyib menunjukkan bahawa mereka mendahulukan ilmu fardhu ‘ain sebelum menghafal al-Quran atau menekuni ilmu lanjutan. Walaupun mereka menghafal al-Quran ketika kecil, mereka tetap diberi pendedahan terhadap asas agama terlebih dahulu.

Imam al-Awza‘ī turut menekankan penghafalan al-Quran sebagai asas, tetapi hanya bermanfaat jika disertai kefahaman. Beliau akan menguji bacaan dan kefahaman anak muda sebelum mengizinkan mereka menuntut ilmu. Ini menunjukkan bahawa hafalan tanpa ilmu tidak mencukupi.

Di Malaysia, terutamanya di Pahang, terdapat kecenderungan meletakkan hafalan alQuran sebagai keutamaan mutlak dalam pendidikan awal. Walaupun hafalan ini dianjurkan, namun tanpa ilmu fardhu ‘ain, ibadah seseorang mungkin tidak sah. Hafalan bukan pengganti kepada kefahaman dan pelaksanaan hukum yang tepat.

Firman Allah dalam Surah al-Ḥijr: 9 menyatakan bahawa Allah menjaga al-Quran. Namun, menurut tafsiran ulama seperti al-Ṭabarī dan Ibn Kathīr, penjagaan ini merujuk kepada kandungan al-Quran, bukan semata-mata hafalan. Oleh itu, keutamaan diberikan kepada pemahaman, bukan sekadar penghafalan.

Amalan para sahabat juga menunjukkan bahawa mereka memahami isi al-Quran seiring dengan hafalan. Imam al-Syafi‘i, contohnya, menghafal al-Quran sebelum usia tujuh tahun, namun beliau memulakan pengajiannya dengan asas agama.

Kesimpulan

Kesimpulannya, ilmu fardhu ‘ain merupakan kewajipan mutlak bagi setiap Muslim selepas baligh. Ia menjadi asas kepada sahnya ibadah dan penerimaan amal. Walaupun hafalan alQuran amat digalakkan, ia tidak boleh mengatasi keutamaan penguasaan ilmu fardhu ‘ain. Pendidikan Islam perlu distruktur semula mengikut manhaj ulama terdahulu — mendahulukan ilmu asas, kemudian barulah hafalan dan ilmu lanjutan. Inilah pendekatan seimbang yang akan melahirkan Muslim yang memahami, menghayati, dan mengamalkan agama secara menyeluruh dan tertib.


 

Nik Mohd Sofa’Urrahman Bin Nik Mohd Rosdi merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda World Islamic Science And Education University (WISE) di dalam bidang Fiqh dan Usul dan Sarjana Universiti Malaya (UM) dalam bidang Fiqh dan Usul.

 

Tazkirah Jumaat IIDM-MUIP Bertarikh 20 Jun 2025