Pendahuluan
Fiqh al-Watan bukanlah suatu fiqh baru yang muncul dalam arus pemikiran kontemporari, tetapi ia merupakan ruh yang telah terpatri dalam sejarah Daulah Islam sejak zaman Rasulullah SAW. Ia hidup dalam tindakan dan perencanaan Baginda, serta diwarisi oleh para Khulafā’ Rāsyidīn dan pemerintah selepas mereka. Sebagai satu kerangka memahami hukum Islam dalam konteks setempat, Fiqh al-Watan menuntut pendekatan yang bersifat khas, sesuai dengan keunikan sesebuah watan. Di bumi Pahang, kerangka ini menterjemah dirinya melalui penghormatan terhadap institusi Kesultanan yang menjadi teras kedaulatan agama dan warisan budaya, penghayatan terhadap adat resam yang membentuk struktur sosial masyarakat, serta kesedaran mendalam terhadap nilai dan hikmah alam sekitar yang menjadi amanah Ilahi. Maka, sebarang aplikasi fiqh di negeri ini perlu mengambil kira realiti sejarah, budaya dan ekologi setempat yang menjadikan Pahang bukan sekadar negeri, tetapi sebuah peradaban yang berakar tunjang.
Dalam menghayati Fiqh al-Watan, asas ilmu fardhu ‘ain memainkan peranan fundamental. Ilmu tauhid berteraskan manhaj Asyā‘irah dan Māturīdiyyah membina keimanan yang seimbang antara dalil naqli dan ‘aqli. Fekah berteraskan mazhab al-Shāfi‘ī memastikan keutuhan amalan syariah yang teratur, manakala tasawwuf yang berakar daripada jalan Imam al-Ghazālī dan Imam al-Junayd al-Baghdādī pula menyucikan jiwa dan membina akhlak rabbani. Apabila ketiga-tiganya disepadukan dalam konteks Fiqh al-Watan, lahirlah satu penghayatan Islam yang tidak bersifat terasing dalam ruang peribadi, tetapi terpancar dalam sikap hormat terhadap sultan sebagai ulil amri, pemeliharaan adat sebagai khazanah watan, dan penjagaan alam sekitar sebagai lambang tanggungjawab khalifah. Tauhid mengukuhkan hubungan dengan Allah, manakala fekah dan tasawwuf menyusun hubungan sesama insan dan terhadap bumi yang dihuni.
Konsep insan dalam Islam tidak terpisah antara tanggungjawab sebagai ‘abd dan sebagai khalīfah. Sebagai hamba Allah, manusia dituntut menzahirkan kehambaan melalui keimanan yang benar, amalan yang sahih, dan akhlak yang terpuji—semuanya terangkum dalam tiga disiplin asas fardhu ‘ain: tauhid, fekah, dan tasawwuf. Sebagai khalifah pula, insan dipertanggungjawabkan untuk menegakkan sistem pemerintahan yang sah, seperti institusi Kesultanan Melayu Islam; memelihara adat dan nilai tradisi yang selari dengan maqāṣid syarī‘ah; dan melindungi alam sekitar sebagai amanah yang tidak boleh dikhianati. Justeru, keseimbangan antara peranan sebagai hamba dan khalifah perlu digarap dengan penuh hikmah, agar pembangunan watan tidak hanya mementingkan aspek luaran, tetapi turut mencerminkan keutuhan rohani, kemuliaan budaya, dan kelestarian ciptaan Tuhan dalam satu jalur kesatuan yang harmoni dan beradab.
Perbincangan Tajuk
Kepentingan sesebuah negara, baik dari sudut duniawi mahupun ukhrawi, tidak akan dapat dicapai tanpa adanya pemerintahan yang sah, stabil dan dihormati. Sebuah negara hanya mampu menjalankan fungsinya secara berkesan apabila kepimpinan tertinggi diberikan kepercayaan dan ketaatan oleh rakyat. Dalam konteks negeri Pahang, institusi kesultanan yang telah bertapak lebih 555 tahun bukan sekadar simbol warisan sejarah, bahkan menjadi tiang seri kepada kestabilan, kedaulatan dan keharmonian negeri. Kewajipan menghormati sultan bukan hanya didasari oleh undang-undang ciptaan manusia, tetapi turut bersumber daripada nas-nas syarak yang sahih dan qat‘i. Maka, setiap perundangan dan enakmen yang bersandarkan kepada ketaatan terhadap raja pemerintah adalah selari dengan ajaran Islam dan seharusnya dihayati sebagai satu ibadah yang memelihara kemaslahatan umat. Kedaulatan sultan menjadi takaran dan timbangan kepada “Islam di Junjung” dan boleh diamalkan oleh masyarakat. Tidak mungkin agama Islam dapat dihormati dan dipelihara kedaulatannya melainkan kelangsungan kedaulatan institusi kesultanan.
Allah SWT dengan tegas memerintahkan umat Islam supaya mentaati pemimpin dalam firmanNya:
﴿يَا أَيُّ َها الَّ ِذي َن آ َمنُوا أَ ِطيعُوا اللهَ َوأَ ِطيعُوا ال َّر ُسو َل َوأُو ِلي ا ألَْ أم ِر ِم أن ُك أم﴾ (النساء: )59
Sabda Rasulullah SAW pula: “Sesungguhnya termasuk dalam pengagungan terhadap Allah ialah memuliakan orang tua Muslim, pembawa al-Quran yang tidak melampaui batas dan tidak meninggalkannya, serta memuliakan pemerintah yang adil.” (Hadis riwayat Abu Daud – hadis hasan)
Al-Hafiz Abdul Ra’uf al-Munawi dalam syarahnya menyatakan bahawa ibadah tidak dapat ditegakkan tanpa adanya pemerintah yang ditaati. Bahkan, ulama sufi seperti Syaikh Abdul Wahhab al-Sya‘rani turut menunjukkan penghormatan tinggi terhadap pemerintah, termasuk dalam isu hukum-hakam yang melibatkan pelantikan qadi. Beliau tidak membatalkan hukum qadi yang fasik semata-mata kerana adab terhadap sultan dan kepercayaan terhadap kebijaksanaan pemerintah yang melihat jauh ke hadapan berbanding orang awam.
Institusi kesultanan dalam konteks Malaysia, khususnya di Pahang, adalah benteng terakhir kepada kelangsungan Islam di bumi bertuah ini. Justeru, memperlekeh atau mempersoalkan keabsahan kuasa sultan tanpa hak dan autoriti syarie adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap prinsip syura dan kedaulatan Islam. Perbuatan mencela, memfitnah atau mempersoalkan pelantikan dan pemecatan oleh sultan adalah menyalahi adab Islam dan membawa kepada kerosakan awam yang besar. Maka para ulama menyatakan bahawa sekalipun sultan melantik seorang qadi yang fasik, keputusan qadi itu tetap sah kerana keperluan umat.
Namun begitu, ketaatan ini bukanlah ketaatan membuta tuli. Prinsip Ahl al-Sunnah wa alJama‘ah sentiasa menekankan bahawa taat kepada pemerintah haruslah dalam perkara yang tidak bertentangan dengan syarak. Oleh itu, rakyat berkewajipan menyokong dan membantu pemerintah dalam perkara yang benar serta memberikan nasihat dengan penuh hikmah.
Sabda Rasulullah SAW: “Agama itu adalah nasihat.” Sahabat bertanya, “Untuk siapa wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin umat Islam dan seluruh umat Islam.” (Hadis riwayat Muslim)
Nasihat kepada pemerintah bermaksud membantu mereka dalam kebenaran, menegur mereka dengan lemah lembut, dan mengingatkan mereka tentang hak rakyat. Ia bukan dengan cara pemberontakan, cercaan atau tindakan kasar yang menggugat kestabilan negara. Bahkan, para ulama muktabar seperti Imam al-Nawawi, Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Ramli dan Syeikh Wahbah al-Zuhayli sepakat bahawa haram hukumnya memberontak terhadap pemerintah yang sah, meskipun mereka zalim atau melakukan kesalahan kecil yang tidak menyentuh asas agama.
Sebaliknya, para ulama menyeru kepada pendekatan amar makruf nahi munkar yang berteraskan adab hisbah. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangan. Jika tidak mampu, dengan lidah. Jika tidak mampu, maka dengan hati – dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)
Namun, perubahan itu mestilah melalui saluran yang sah, dengan mempertimbangkan kesan kepada masyarakat dan tidak menimbulkan kemungkaran yang lebih besar. Syeikh Abu alFadl al-Sanuri dan Ibn Qayyim al-Jawziyyah memberikan panduan bahawa tindakan hisbah mesti dinilai berdasarkan natijahnya – sama ada kemungkaran itu hilang, berkurang, kekal, atau diganti dengan sesuatu yang lebih buruk. Dalam situasi tertentu, membiarkan suatu keburukan yang kecil adalah lebih baik daripada menimbulkan fitnah yang besar. Hal ini ditekankan oleh Imam alGhazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din dan Syeikh ‘Abd al-Qadir ‘Awdah dalam al-Tashri‘ al-Jina’i al-Islami yang menegaskan bahawa pengingkaran yang membawa kepada fitnah dan kejahatan adalah haram dan tidak digalakkan.
Nasihat kepada pemerintah kerana kesilapan ijtihad hendaklah dilakukan dengan pendekatan rahmah – penuh lemah lembut, kasih sayang dan hikmah. Al-Ghazali menyusun empat peringkat nasihat: memperkenalkan kebenaran, memberi nasihat, kekasaran dalam kata-kata dan paksaan. Dua yang pertama dibolehkan terhadap pemerintah, manakala dua lagi tidak dibenarkan kerana ia mencalarkan maruah pemimpin dan membawa kepada ketegangan. Syeikh al-Zabidi menyifatkan hubungan rakyat dengan pemerintah lebih ketat daripada hubungan anak dengan ibu bapa – ia menuntut adab, kesabaran dan kebijaksanaan.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mempunyai nasihat kepada pemerintah, maka janganlah dia menyampaikannya secara terbuka, tetapi hendaklah dia memegang tangannya dan berbicara secara rahsia. Jika dia menerima, maka itu yang terbaik. Jika tidak, maka dia telah menunaikan tanggungjawabnya.” (Hadis riwayat al-Hakim daripada ‘Iyadh bin Ghanm al-Ash‘ari)
Jika nasihat tetap membawa kepada pertikaian, maka kaedah perdebatan yang terbaik perlu diamalkan sebagaimana firman Allah: ﴿ا أدعُ إِلَى َسبِي ِل َربِ َك بِا أل ِح أك َم ِة َوا أل َم أو ِع َظ ِة ا أل َح َسنَ ِة َو َجا ِد أل ُهم بِالَّتِي ِه َي أَ أح َس ُن﴾ (النحل: )125 ﴿ َو َلَ تُ َجا ِدلُوا أَ أه َل ا أل ِكتَا ِب إِ َّلَ بِالَّتِي ِه َي أَ أح َس ُن﴾ (العنكبوت: )46
Sikap menasihati pemimpin secara terbuka dan kasar hanya akan membangkitkan kemarahan serta fitnah yang lebih besar. Contohnya, Usamah bin Zaid RA pernah ditanya mengapa tidak menegur Saidina Uthman RA secara terbuka. Beliau menjawab bahawa nasihat telah diberikan secara rahsia tanpa membuka ‘pintu fitnah’ yang beliau tidak ingin menjadi orang pertama melakukannya. Imam al-Nawawi mensyarahkan bahawa ini merupakan adab besar dalam memberi teguran kepada pemerintah.
Dalam hal ini, kesabaran rakyat amat penting. Syeikh Wahbah al-Zuhayli menegaskan bahawa sekiranya pemerintah melakukan kesalahan yang tidak menyentuh asas syarak, rakyat wajib bersabar dan memberi nasihat dengan hikmah.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang tidak menyukai sesuatu daripada pemerintahnya, hendaklah dia bersabar. Kerana sesiapa yang keluar daripada pemerintah sejengkal sekalipun, maka dia mati dalam keadaan mati jahiliyah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Maksudnya, meninggalkan ketaatan kepada sultan bererti menjemput perpecahan dan fitnah. AlHafiz al-Munawi mengingatkan agar tidak mencela raja walaupun mereka zalim, kerana kemuliaan mereka adalah lambang kehormatan negara. Sebaliknya, kita diseru untuk mendoakan kebaikan dan hidayah buat mereka. Imam al-Ghazali juga menegaskan bahawa tidak wajar memperlekeh pemerintah kerana mereka adalah punca tegaknya agama. Dalam riwayat lain, Amr bin al-‘As RA berkata: “Seorang imam yang zalim itu lebih baik daripada fitnah yang berpanjangan.”
Para ulama salaf turut memberi amaran keras agar tidak mendoakan keburukan terhadap pemerintah kerana keburukan itu akan kembali menimpa rakyat seluruhnya. Inilah wasiat ulama, antara lain al-Hafiz al-Munawi, yang menyatakan bahawa keadaan rakyat adalah cerminan pemimpinnya. Jika rakyat memperbaiki diri, pemimpin akan turut berubah ke arah yang lebih baik.
Kesimpulan Kewajipan menghormati dan mentaati sultan merupakan prinsip utama dalam kerangka Ahl alSunnah wa al-Jama‘ah yang bersandarkan kepada nas-nas syarak yang sahih, demi menjaga kestabilan negara, menegakkan syariat, dan memelihara maruah institusi pemerintahan Islam. Pemerintah merupakan simbol kedaulatan yang tidak wajar dicela atau diperlekeh walaupun mereka melakukan kezaliman. Pemberontakan terhadap pemerintah yang sah adalah haram secara ijmak ulama kerana ia mengundang fitnah dan kerosakan yang lebih besar. Sebaliknya, rakyat dituntut untuk menasihati pemerintah dengan penuh hikmah, kasih sayang dan secara rahsia, bukan dengan kekerasan atau cercaan terbuka, kerana adab dalam amar makruf nahi munkar terhadap sultan mempunyai batasan yang jelas dalam syarak. Bahkan dalam kesilapan ijtihad pemerintah, nasihat tetap wajib disampaikan secara beradab demi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar. Para ulama muktabar menegaskan bahawa mendoakan kebaikan dan petunjuk untuk pemerintah adalah lebih utama daripada mencaci, kerana keadaan pemerintah adalah cerminan keadaan rakyat itu sendiri. Maka, menghormati sultan bukan sekadar tuntutan undang-undang, tetapi satu ibadah yang memelihara perpaduan umat, mengelakkan pertumpahan darah, serta memastikan syiar Islam terus didaulatkan dalam negara.
Nik Mohd Sofa’Urrahman Bin Nik Mohd Rosdi merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda World Islamic Science And Education University (WISE) di dalam bidang Fiqh dan Usul dan Sarjana Universiti Malaya (UM) dalam bidang Fiqh dan Usul.
Tazkirah Jumaat IIDM-MUIP Bertarikh: 11 Julai 2025






