Skip to main content
Author

Oleh: Nik Mohd Sofa’Urrahman Bin Nik Mohd Rosdi Pegawai Penyelidikan Isu-Isu Semasa, Institut Ilmu Darul Makmur, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang.

Pendahuluan

Para ulama sejak berabad lamanya telah memperjuangkan dan mendidik umat agar berdiri di atas manhaj yang sahih dalam memahami syariat Islam. Kefahaman terhadap agama ini tidak cukup sekadar mengambil nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah, lalu melaksanakannya secara literal. Hal ini kerana kedua-dua sumber wahyu tersebut perlu difahami dalam konteksnya yang menyeluruh agar tidak terlepas pandang terhadap nas-nas lain yang berkait rapat dengan isu tertentu. Realiti kehidupan semasa memerlukan kefahaman yang berakar pada disiplin ilmu dan usul yang mantap, bukan sekadar berpaut kepada satu dalil secara terasing.

 

Perbincangan

 

Para ulama membina pelbagai disiplin ilmu daripada sumber wahyu kerana memahami nas menuntut kepada pendekatan metodologi yang tersusun. Keperluan ini timbul antara lainnya disebabkan oleh tabiat nas itu sendiri, yang bersifat bahasa Arab. Maka, pemahaman yang mendalam terhadap sastera Arab menjadi suatu keperluan penting – termasuk aspek penggunaan asal sesuatu lafaz dan pelbagai makna yang boleh terbit daripadanya.

 

Para ulama berbeza pendapat dalam menafsir lafaz musytarak (lafaz yang mempunyai lebih daripada satu makna) dalam beberapa ayat al-Quran, seperti lafaz “quru’” dalam ayat ‘iddah, yang ditafsirkan sama ada sebagai haid atau suci, dan lafaz “lamastum” dalam ayat wudhu’, yang ditafsirkan sama ada sebagai sentuhan fizikal, jimak, atau sentuhan disertai syahwat. Perbezaan ini berpunca daripada pelbagai kefahaman terhadap bahasa Arab dan kaedah nahu, menunjukkan bahawa perbezaan fiqh sering kali timbul daripada variasi dalam penafsiran lafaz yang pelbagai makna.

 

Oleh itu, ilmu bahasa seperti nahu, sarf, balaghah, serta ilmu seperti isytikāq, wadh‘, dan alat bantu lain seperti mantiq, sangat diperlukan dalam memahami nas syarak serta membentuk cara berfikir yang betul. Tambahan pula, kerana wahyu diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu, maka timbul keperluan kepada disiplin-disiplin ilmu lain seperti ‘ulūm al- ḥadīth, tauhid, fiqh, dan tasawuf, masing-masing memainkan peranan dalam memelihara kefahaman umat daripada penyelewengan.

 

Para ulama salaf telah menyedari bahaya kejahilan terhadap bahasa Arab. Hasan alBasri menyatakan bahawa mereka yang tidak memahami bahasa Arab telah menyeleweng dalam mentafsir al-Quran. Imam al-Shafi‘i pula menegaskan bahawa kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, sesiapa yang jahil mengenainya lalu menafsir tanpa ilmu, maka dia tidak dimaafkan, sekalipun secara kebetulan pendapatnya benar. Al-Shatibi juga menekankan bahawa mereka yang ingin berbicara dalam hal syariah perlu menguasai bahasa Arab seperti para imam terdahulu, dan jika tidak mampu, maka wajib baginya bertaklid dan merujuk kepada ulama.

 

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa ilmu mantiq adalah alat bantu penting dalam memahami ilmu syarak seperti tafsir, hadis dan fiqh. Ia menjadi asas dalam usul fiqh, sebagaimana ilmu nahu penting bagi memahami lafaz. Imam al-Ghazali turut memuji ilmu ini dan menegaskan bahawa tiada kefahaman fiqh yang kukuh tanpa penguasaan mantiq. Ia membantu seseorang untuk berfikir secara tersusun, menjawab persoalan, dan menolak syubhat dengan logik yang tepat. Akal yang bersandarkan mantiq dapat menyimpulkan bahawa alam ini wujud setelah sebelumnya tiada, maka pasti ada Pencipta Yang Maha Esa. Oleh itu, soalan seperti “Adakah Tuhan ada pencipta?” tertolak secara logik kerana mengandungi kesalahan asas dalam berfikir.

 

Kesemua disiplin ilmu ini membentuk satu kefahaman wahyu yang sahih dan menyeluruh. Jika seseorang mendakwa bahawa memahami nas secara literal lebih menjaga kemurnian agama, maka itu adalah dakwaan yang sangat berbahaya. Makna-makna kalam Allah tidak berada pada tahap kejelasan yang sama. Ibn ‘Abbās RA menyatakan bahawa makna al-Quran terbahagi kepada empat kategori: (1) Makna yang difahami oleh orang Arab berdasarkan bahasa mereka. (2) Tafsiran yang tidak dimaafkan jika seseorang jahil mengenainya. (3) Tafsiran yang hanya diketahui oleh para ulama. (4) Tafsiran yang hanya diketahui oleh Allah Ta‘ala.

 

Memahami nas secara literal semata-mata boleh membawa kepada kesalahan serius, seperti dalam firman Allah kepada para malaikat:

 

{Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawa Aku mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.”} [al-Baqarah: 33].

 

Ada yang mungkin menyangka malaikat menyembunyikan sesuatu daripada Allah, sedangkan ini bercanggah dengan prinsip akidah. Menurut Abu Hayyan, maksudnya ialah lintasan dalam hati mereka yang tidak dizahirkan. Pendapat lain mengatakan ayat ini merujuk kepada Iblis. Penggunaan kata jamak dalam ayat adalah untuk merujuk kepada seorang, sebagaimana terdapat dalam ayat lain.

 

Contoh lain ialah kesilapan dalam membaca doa Nabi Syu‘aib AS dalam Surah al-A‘rāf ayat 89:]

 

{ ِق ا ْل َح ِب نَا ِم …} َربَّنَا ا ْفتَ ْح بَ ْينَنَا َوبَ ْي َن َق ْو

 

Doa ini sering dibaca dalam konteks kebaikan, sedangkan ia adalah doa permohonan pembalasan terhadap kaumnya yang mendustakan dan menolak dakwah. Ibn ‘Abbās menyatakan bahawa Nabi Syu‘aib hanya berdoa demikian setelah berputus asa terhadap mereka. Imam al-Ṭabarī menjelaskan bahawa maksud ” “الفتحialah kemenangan dan penghakiman, manakala Yahyā ibn Sallām menyatakan bahawa doa ini adalah sebab kebinasaan kaum tersebut. Maka, tidak wajar untuk menjadikan doa ini sebagai doa kebaikan kepada sesama Muslim.

 

Fahaman literalism atau zahiriyyah tanpa disertai kefahaman yang mendalam terhadap maqasid syarak, konteks nas, dan disiplin ilmu usul fiqh boleh membawa kepada penyimpangan dalam amalan dan perjuangan Islam. Antara kesannya yang nyata ialah mengkuduskan parti politik seolah-olah ia satu-satunya wadah Islam yang sah, lalu menganggap bai‘ah kepada parti sebagai setara dengan bai‘ah kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلمatau pemimpin dalam daulah Islam yang sah menurut syarak.

 

Ini adalah satu kekeliruan yang besar kerana ia menyamakan struktur politik kontemporari yang bersifat ijtihadi dengan institusi kenabian atau khilafah yang bersifat tauqifi. Bai‘ah dalam konteks Islam hanya sah diberikan kepada pemimpin umat yang memenuhi syarat imamah kubra (seperti sultan atau khalifah) dalam sebuah daulah Islamiyah yang diiktiraf syarak. Adapun bai‘ah kepada parti hanyalah satu bentuk disiplin organisasi, bukan kewajipan syar‘i yang mengikat agama atau membatalkan iman.

 

Akibat literalism ini, sesetengah pihak memperjuangkan parti secara taksub, menyerang sesama Muslim yang tidak sehaluan, dan menjustifikasi tindakan melampau atas nama agama. Maka penting untuk kembali kepada tradisi keilmuan Islam yang seimbang, yang membezakan antara perkara ibadah tauqifiyyah dan urusan siasah ijtihadiyyah, agar perjuangan Islam kekal di atas jalan kebenaran, bukan dijadikan alat agenda kelompok tertentu.

 

Kesimpulan

 

Para ulama sejak dahulu memperjuangkan pemahaman Islam berasaskan manhaj yang sahih, bukan dengan pendekatan literal semata-mata terhadap nas al-Quran dan al-Sunnah. Nas wahyu bersifat kompleks dan memerlukan kefahaman mendalam terhadap disiplin ilmu seperti bahasa Arab, usul fiqh, mantiq dan lain-lain. Perbezaan dalam menafsir lafaz musytarak menunjukkan pentingnya ilmu ini dalam mengelak penyimpangan. Ulama seperti Imam alShafi‘i, al-Shatibi dan al-Ghazali menegaskan bahawa kefahaman terhadap syariat memerlukan asas bahasa dan metodologi yang kukuh. Kesalahan tafsir akibat pendekatan literal boleh membawa kepada salah faham aqidah dan syariat, seperti dalam ayat tentang malaikat dan doa Nabi Syu‘aib yang disalahgunakan. Fahaman literalism yang tidak berpaksikan disiplin ilmu juga boleh menyelewengkan perjuangan Islam, seperti menganggap parti politik sebagai satu-satunya wadah Islam dan menyamakan bai‘ah kepada parti dengan bai‘ah kepada Rasul atau khalifah. Maka, penting untuk kembali kepada pendekatan ilmiah dan tradisi ulama agar perjuangan Islam kekal pada jalan yang benar.


Nik Mohd Sofa’Urrahman Bin Nik Mohd Rosdi merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda World Islamic Science And Education University (WISE) di dalam bidang Fiqh dan Usul dan Sarjana Universiti Malaya (UM) dalam bidang Fiqh dan Usul.

 

Tazkirah Jumaat IIDM-MUIP

Bertarikh 8 Ogos 2025