Skip to main content

SYARIAT PEMBIMBING ADAT RESAM MELAYU: MAKNA DI SEBALIK "BIAR MATI ANAK, JANGAN MATI ADAT"

Umum mengetahui bahawa bangsa Melayu merupakan bangsa yang kaya dengan adat resam yang terpasak kukuh dan menjalar dalam budayanya. Antaranya elemen bahasa seperti pepatah dan peribahasa turut sarat dengan nilai budaya kemelayuan. Salah satu contoh pepatah yang sering disebut ialah “Biar mati anak, jangan mati adat”.

Namun begitu, pepatah ini sering kali disalahfahami oleh masyarakat hari ini. Ada yang menyangka bahawa generasi terdahulu sanggup mengorbankan nyawa anak demi mempertahankan adat resam semata-mata. Hakikatnya, pepatah tersebut mempunyai kaitan yang sangat kuat dengan pelaksanaan hukum Islam. Untuk memahami maksud sebenar pepatah ini, kita perlu memahami pengertian “adat” menurut konteks masyarakat Melayu terdahulu serta sejarah kemunculan pepatah tersebut.

Pada era sebelum campur tangan asing dalam pentadbiran Tanah Melayu, istilah adat membawa makna yang jauh lebih luas. Ia bukan sekadar merujuk kepada adat resam atau kebiasaan dalam kehidupan masyarakat sebagaimana yang difahami hari ini, tetapi turut merangkumi sistem pemerintahan, pelaksanaan undang-undang serta hukum-hakam Islam. Dalam konteks tersebut, adat sering kali merujuk kepada syariat dan peraturan yang menjadi asas pemerintahan sesebuah Kerajaan Melayu Islam.

Pepatah “Biar mati anak, jangan mati adat” yang masyhur di Nusantara sebenarnya berasal daripada pepatah Aceh Darussalam, iaitu “Mate aneuk meupat, gadoh adat pattamita”. Pepatah ini lahir daripada kisah pelaksanaan hukum Islam tanpa mengira status dan darjat pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, pemerintah agung Aceh yang memerintah sekitar tahun 1607 hingga 1636.

Menurut sejarah, putera baginda yang juga pewaris takhta kerajaan Aceh, iaitu Meurah Pupok, telah dituduh melakukan zina. Setelah dibicarakan di mahkamah, beliau didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman rejam sampai mati selaras dengan hukum hudud dalam syariat Islam. Para pembesar negeri berusaha memujuk Sultan Iskandar Muda agar tidak melaksanakan hukuman tersebut memandangkan Meurah Pupok ialah pewaris takhta kerajaan. Namun begitu, baginda dengan tegas menyatakan: “Biar mati anak, jangan mati adat.”

Ungkapan tersebut membawa maksud bahawa biarlah anaknya dihukum menurut adat, yakni syariat dan undang-undang Islam, daripada syariat itu dicemari oleh sikap pilih kasih pemerintah. Pepatah ini sebenarnya menjadi lambang keadilan dalam pelaksanaan undang-undang Islam tanpa mengira kedudukan, pangkat dan keturunan seseorang.

Prinsip tersebut juga selari dengan sabda Nabi Muhammad SAW:

“Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku sendiri akan memotong tangannya.”

(Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Jelaslah bahawa pepatah “Biar mati anak, jangan mati adat” bukanlah seruan untuk mengutamakan adat resam melebihi nyawa anak, sebaliknya merujuk kepada ketegasan dalam menegakkan keadilan dan melaksanakan hukum Allah tanpa pilih kasih. Pepatah ini juga membuktikan bahawa masyarakat Melayu mempunyai hubungan yang rapat antara adat, pemerintahan dan syariat Islam.

Apabila kita memahami bahawa adat resam Melayu mempunyai kaitan kuat dengan syariat Islam, maka haruslah kita berusaha menyuburkan adat resam Melayu supaya masyarakat terus menjadikannya sebagai kebiasaan dan rukun dalam bermasyarakat.

Kesimpulannya adat resam yang sebahagian besarnya dijalin bersama syariat telah menjadi rukun masyarakat Melayu yang bukan sahaja mengikat hidup beragama malah sebenarnya membantu mengekalkan Peradaban dan Kesultanan Melayu Islam yang telah menjangkau usia 556 tahun dengan cara mengatur tingkahlaku bermasyarakat.

Semoga generasi kini terus menghargai adat resam bersyariat masyarakat Melayu.

FIQH AL-WATAN MEMAKNAI 556 KESULTANAN DAN PERADABAN USLAM PAHANG

Rujukan:

1. Hasanuddin Yusof & Tun Suzana Othman. Miftahul Malayu. 2018, hlm. 372–373.

2. Hadis Riwayat al-Tirmizi, No. 1430.

#FiqhalWatan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat

Disediakan oleh:

Muhamad Ezam Hazim bin Sukairi
Felo Muda Fiqh al-Watan Institut Ilmu Darul Makmur
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang

Mohamad Hafizan bin Baharum
Pegawai Penyelidikan Dan Strategik
Institut Ilmu Darul Makmur
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang

View original