
Hari Arafah: Penyempurnaan Agama, Pembinaan Peradaban
Hari Arafah merupakan hari yang terpahat agung dalam sejarah Islam. Pada hari yang mulia inilah Allah سبحانه وتعالى menurunkan firman-Nya:
﴿ٱلۡیَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِینَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَیۡكُمۡ نِعۡمَتِی وَرَضِیتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِینࣰاۚ﴾ [المائدة: ٣]
Ayat yang agung ini bukan sekadar pengisytiharan sempurnanya syariat, bahkan ia merupakan manifestasi kepada matlamat keseluruhan agama Islam sebagai risalah rabbaniyyah yang membina manusia secara menyeluruh; bermula daripada pembinaan jiwa individu, seterusnya pembentukan masyarakat dan peradaban, hingga akhirnya membawa manusia menuju negeri abadi di akhirat.
Sesungguhnya Islam tidak datang hanya sebagai himpunan hukum-hakam yang terpisah daripada kehidupan, tetapi ia hadir sebagai manhaj kehidupan yang sempurna. Kesempurnaan ini dapat dilihat melalui pembinaan insan menurut kerangka yang dihimpunkan dalam Hadis Jibril yang masyhur, ketika Jibril عليه السلام datang bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang Islam, Iman dan Ihsan. Maka daripada hadis ini, para ulama merumuskan bahawa agama terbina atas tiga tunjang utama: tauhid, fiqh dan tasawuf.
Aspek iman melahirkan pembinaan akidah dan tauhid yang benar, sehingga manusia mengenal Allah سبحانه وتعالى dengan penuh keyakinan, mengimani perkara ghaib, serta memahami hakikat kehidupan dan tujuan penciptaannya. Aspek Islam pula melahirkan fiqh dan syariat yang mengatur kehidupan manusia daripada sekecil-kecil urusan ibadah sehingga sebesar-besar urusan muamalat, politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Adapun ihsan menjadi asas kepada penyucian jiwa dan pembinaan tasawuf yang sahih, agar hati sentiasa muraqabah kepada Allah, bersih daripada penyakit rohani, serta menghiasi diri dengan akhlak kenabian.
Dengan gabungan ketiga-tiga unsur ini, lahirlah manusia rabbani yang seimbang antara zahir dan batin, antara ilmu dan amal, serta antara hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Inilah asas kepada pembinaan individu muslim yang menjadi batu asas kepada tamadun Islam.
Namun Islam tidak berhenti pada pembinaan individu semata-mata. Kesempurnaan agama yang diumumkan pada Hari Arafah turut membawa manusia kepada tanggungjawab lebih besar iaitu memakmurkan bumi dengan keadilan, ilmu, amanah dan peradaban. Manusia dijadikan sebagai khalifah Allah di muka bumi untuk membangunkan kehidupan berdasarkan petunjuk wahyu. Maka daripada jiwa yang dipenuhi tauhid lahirlah masyarakat yang beradab; daripada masyarakat beradab lahirlah negara yang adil; dan daripada negara yang adil terbinalah peradaban yang memancarkan rahmat kepada seluruh manusia.
Atas sebab itu, sejarah Islam menyaksikan bagaimana kesempurnaan agama melahirkan ketamadunan agung dalam ilmu, kehakiman, ekonomi, pendidikan, seni bina dan akhlak kemasyarakatan. Semua itu bukan lahir daripada kemajuan material semata-mata, tetapi berpunca daripada kesempurnaan manhaj rabbani yang menghubungkan bumi dengan langit.
Walau bagaimanapun, matlamat akhir agama bukanlah sekadar kejayaan duniawi. Dunia hanyalah tempat persinggahan dan medan ujian. Kesempurnaan nikmat yang sebenar sebagaimana disebut oleh para ulama pada firman Allah تعالى:
﴿وَأَتۡمَمۡتُ عَلَیۡكُمۡ نِعۡمَتِی﴾
akan mencapai kemuncaknya apabila manusia memasuki syurga Allah سبحانه وتعالى. Di sanalah tempat tinggal hakiki dan negeri abadi bagi orang-orang beriman. Maka perjalanan agama bermula dengan mengenal Allah, disempurnakan dengan mengabdikan diri kepada-Nya dalam kehidupan dunia, dan diakhiri dengan pertemuan bersama-Nya di دار القرار.
Justeru, Hari Arafah mengingatkan umat Islam bahawa agama ini ialah nikmat terbesar yang menyempurnakan kehidupan manusia seluruhnya. Ia membina hati dengan tauhid, membimbing kehidupan dengan fiqh, menyucikan jiwa dengan ihsan dan tasawuf, membangunkan bumi dengan peradaban, serta akhirnya membawa manusia menuju kebahagiaan abadi di akhirat. Inilah makna sebenar firman Allah سبحانه وتعالى:
﴿ٱلۡیَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِینَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَیۡكُمۡ نِعۡمَتِی وَرَضِیتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِینࣰاۚ﴾.
Ditulis oleh: Pegawai Hal Ehwal Islam, Unit Penyelidikan Isu-Isu Semasa
#HariArafah
#FiqhAlWatan
#Memaknai556Kesultanan
#PenyempurnaanAgama
#InsanRabbani
#PeradabanUmmah





