Skip to main content

Benteng Turath dan Nadi Watan:
Pemerkasaan Peranan Tahfiz, Madrasah dan Pondok Memelihara Kelangsungan Ahli Sunnah Waljamaah Negeri Pahang.

Dalam era globalisasi masa kini, pendidikan Islam berhadapan dengan pelbagai cabaran kompleks. Ia bukan sekadar persaingan sistem pendidikan, tetapi merangkumi krisis epistemologi, kekeliruan naratif sejarah, ancaman ideologi luar, serta kemerosotan kefahaman terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Dalam mendepani polemik ini, persoalan mengenai institusi manakah yang mampu menjadi alternatif dan tempat bergantung dalam memelihara tradisi keilmuan tersebut menjadi sangat penting.

Secara perbandingannya, institusi tahfiz, madrasah, dan pondok memiliki kedudukan yang istimewa. Berbeza dengan institusi konvensional yang lebih berorientasikan pensijilan, pasaran kerja, dan struktur akademik moden, institusi pendidikan Islam tradisional ini terus utuh mempertahankan kaedah pewarisan ilmu secara beradab dan berautoriti. Ia amat dekat dengan tradisi talaqqi, pengajian turath, serta pengukuhan manhaj tauhid, fekah, dan tasawuf. Dalam konteks negeri Pahang, kelebihan ini menjadi sangat signifikan apabila pendidikan Islam dihubungkan secara langsung dengan pembinaan jati diri watan dan tatacara kehidupan bertanah air.

Kekuatan tradisi keilmuan ASWJ bertunjangkan kesepaduan Iman, Islam, dan Ihsan. Struktur keilmuan ini menggabungkan tauhid sebagai asas pandangan alam, fekah sebagai panduan amali, dan tasawuf sebagai panduan penyucian jiwa. Bersandarkan sumber muktabar—al-Quran, al-Sunnah, al-Ijma', dan al-Qiyas—tradisi ini disokong kukuh oleh disiplin ilmu yang mempunyai sejarah perkembangan yang panjang, tersusun dan matang. Ilmu kalam misalnya, bukan sekadar wacana teologi tetapi berfungsi sebagai platform analisis holistik yang merangkumi logik, metafizik, akidah, dan sains. Oleh itu, pelestariannya menuntut wujudnya institusi yang tidak sekadar mengajar maklumat agama, tetapi mampu mengekalkan kerangka pemikiran Islam yang syumul.

Kemampuan institusi konvensional untuk menjamin kelangsungan tradisi ini dilihat agak terbatas ekoran beberapa faktor kritikal. Pertama, wujudnya kekeliruan sejarah serta seruan sebahagian pihak untuk kembali kepada al-Quran dan Sunnah secara literal tanpa metodologi yang jelas. Kedua, wujud kecenderungan skeptikal yang menganggap khazanah turath sebagai lapuk dan ketinggalan zaman. Ketiga, pendidikan moden kerap memisahkan ilmu, adab, dan akidah kerana lebih menumpukan aspek teknikal dan kebolehpasaran berbanding pandangan alam Islam. Keempat, penularan ideologi anti-kalam, anti-logik, dan reformisme radikal yang menolak autoriti mazhab, ijma', serta qiyas telah melemahkan penghayatan tradisi ASWJ yang mapan.

Bagi mengatasi kepincangan ini, tahfiz, madrasah, dan pondok tampil dengan empat peranan utama. Pertama, ia berfungsi sebagai wahana pewarisan manhaj bersepadu melalui kurikulum teras meliputi tauhid, fekah, tasawuf, tajwid, hafazan al-Quran, serta tulisan Jawi dan khat. Kedua, ia menjadi pusat pembinaan akidah berautoriti. Di Pahang, hal ini dizahirkan melalui penetapan aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah sebagai pegangan negeri. Ketiga, institusi ini adalah medan tarbiah akhlak dan adab; di mana ilmu tasawuf dipraktikkan untuk menyucikan jiwa daripada sifat mazmumah. Keempat, ia merapatkan jurang antara tuntutan ukhrawi dan tanggungjawab realiti menerusi kerangka Fiqh al-Watan, mendidik pelajar memelihara kesultanan, adat resam, dan kelestarian negeri demi kedaulatan tanah air.

Di samping itu, kelebihan utama sistem ini terletak pada pengekalan hubungan langsung guru-murid melalui sanad dan ta'dib. Hal ini memastikan ilmu dipindahkan bersama kefahaman berserta adab. Dalam konteks negeri Pahang, pemerkasaan ini direalisasikan menerusi langkah praktikal seperti pelaksanaan kurikulum wajib bagi menyelaraskan pengajian agama, serta sokongan institusi diraja yang memberi penekanan kepada dasar akidah ASWJ di semua pusat pengajian tahfiz, madrasah dan pondok.

Melalui gagasan Fiqh al-Watan, institusi ini bertindak sebagai agen pemerkasa jati diri yang menyatukan fardhu ain dan hubbul watan (cinta tanah air). Ia bukan sahaja menanam kesedaran beragama yang syumul, malah memupuk kesetiaan kepada institusi pemerintahan (Raja Pemerintah/Ulil Amri) serta tradisi keilmuan sebagai tanggungjawab khalifah Allah. Matlamat akhirnya adalah untuk membina satu peradaban tauhid yang mampu memakmurkan bumi, menjaga kerukunan bermasyarakat, dan mempertahankan kelestarian tanah air.

Kesimpulannya, tahfiz, madrasah, dan pondok memiliki keupayaan yang jauh lebih besar sebagai benteng pemelihara tradisi keilmuan ASWJ berbanding institusi konvensional. Kekuatannya terletak pada kejelasan manhaj, pendekatan talaqqi berterusan, integrasi tauhid-fekah-tasawuf, serta keupayaan menghubungkan ilmu agama dengan realiti kehidupan bertanah air. Dengan wujudnya penyelarasan kurikulum, pemerkasaan tenaga pengajar, naungan berterusan institusi diraja dan negeri, serta penerapan nilai watan yang utuh, institusi ini mampu berfungsi melangkaui batas bilik darjah—muncul sebagai pelestari tradisi intelektual Islam sejati dan nadi pembina kemampanan jati diri warga Pahang.

Penulisan Oleh:- Fahmi bin Zahari
Peg.Hal Ehwal Islam (Pembangunan Turath)
Institut Ilmu Darul Makmur
Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang

#FiqhAlWatan
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556TahunKesultanan
#PeradabanIslamPahang
#KerajaanNegeriPahang

View original