Skip to main content

Dari Kecanduan Sekularisme-Demokrasi kepada Post-Modernisme: Krisis Autoriti dan Krisis Keilmuan Umat Islam

1. Pada zaman kini, kita menyaksikan fenomena yang amat membimbangkan dalam kalangan umat Islam, iaitu pengikisan rasa hormat terhadap badan autoriti dan golongan ulama-ilmuwan. Seringkali, pandangan dan kedudukan mereka disanggah tanpa melalui saluran yang betul, tanpa disiplin keilmuan, bahkan tanpa adab yang sepatutnya. Keadaan ini bukanlah terjadi secara tiba-tiba atau semata-mata petanda "akhir zaman", sebaliknya merupakan manifestasi daripada Krisis Autoriti yang mempersoalkan siapa yang layak didengar dan dipatuhi, serta Krisis Keilmuan yang mempertanyakan apakah itu ilmu yang benar dan bagaimana ia diperoleh. Kedua-dua krisis ini telah membarah dalam jiwa umat, dan untuk memahami puncanya, kita perlu menelusuri pengaruh ideologi-ideologi besar yang telah meresap ke dalam pemikiran dan sistem kehidupan umat Islam, iaitu Sekularisme-Demokrasi dan seterusnya, Post-modernisme.

2. Sekularisme merupakan ideologi politik yang telah berjaya memisahkan urusan agama daripada pentadbiran negara, politik, dan segala aspek kehidupan duniawi. Agama kini dianggap urusan peribadi semata-mata, tidak lagi relevan dalam ruang publik. Seiring dengan itu, Demokrasi pula, sebagai sistem pemerintahan yang melaungkan “mandat rakyat, suara mejoriti” sebagai falsafah besarnya, secara asasnya menekankan "kebebasan bersuara" dan hak untuk memilih. Amatlah ironi apabila umat Islam hari ini beriman dan bertaqlid dengan kedua-dua ideologi ini, bahkan mempertahankanya bermati-matian seolah-olah ia adalah satu-satunya sistem yang mutlak, terbaik tiada galang gantinya. Mereka seolah-olah bertaklid buta kepada sistem ciptaan manusia, tanpa menyedari kesan buruknya terhadap kedaulatan watan, agama, sosial-budaya bahkan alam sekitar.

3. Semangat "kebebasan bersuara" yang dijunjung tinggi dalam sekularisme-demokrasi telah membuka ruang seluas-luasnya kepada “kebenaran nisbi”, atau relativisme. Ideologi menyatakan bahawa kebenaran tidak lagi mutlak atau objektif, sebaliknya bersifat relatif kepada individu, budaya, dan keadaan, sehingga muncul ungkapan "apa yang benar bagi kamu, belum tentu benar bagi saya." Fahaman ini secara langsung menafikan konsep tauhid, nubuwwah dan syariat bahawa adanya kebenaran yang objektif/mutlak dan petunjuk mutlak hanya datang dari Allah SWT.

3. Sistem ini seterusnya melahirkan beberapa masalah yang secara langsung menyumbang kepada krisis autoriti dan keilmuan. Kepimpinan kini tidak lagi berdasarkan kelayakan ilmu, takwa, dan akhlak, tetapi lebih kepada populariti, retorik, dan keupayaan untuk "menjual diri" kepada pengundi, lalu melahirkan pemimpin palsu. Kebebasan bersuara tanpa batas, Ia tidak terhad kepada ucapan politik. Ia juga merangkumi ucapan tentang keilmuan, agama, moral, dan isu-isu sosial dan juga gosip peribadi. diperhebat lagi dengan teknologi maklumat kecerdasan buatan (AI), platform media-sosial telah menyebabkan kebanjiran maklumat yang mengelirukan, di mana sesiapa sahaja boleh menjadi "pakar" dan menyebarkan teori konspirasi, menyukarkan masyarakat membezakan fakta daripada dakyah. Selain itu, polarisasi politik yang kronik telah menyebabkan perdebatan tidak lagi berlandaskan ilmu dan hujah, tetapi sentimen dan fanatik kepada kumpulan, menjadikan keharmonian sosial dan keputusan efektif hampir mustahil. Kesemua ini secara tidak langsung telah mengikis autoriti seperti ulama, guru, ibu bapa, dan pemerintah yang sah menurut siyasah syar’iyyah. Pendapat rakyat awam disamakan dengan pendapat pakar, dan hierarki ilmu agama serta duniawi tidak lagi memiliki garis yang jelas.

5. Hakikatnya, Sekularisme-Demokrasi ini adalah "pintu pagar" yang membuka jalan kepada ideologi yang lebih mencabar, iaitu Post-modernisme. Post-modernisme adalah lanjutan radikal daripada kebenaran nisbi, yang menolak sepenuhnya "grand narrative" atau metanaratif sebarang cerita atau sistem kepercayaan yang mendakwa mempunyai kebenaran universal. Agama, tradisi keilmuan, sejarah, adat-budaya semuanya dianggap sekadar naratif atau wacana yang dibina untuk menguasai golongan tertentu. Ciri utama Post-modernisme termasuk dekonstruksi, iaitu membongkar dan meruntuhkan semua struktur kuasa dan autoriti yang sedia ada, termasuk autoriti agama, ilmu, sosial dan moral. Ia juga bersifat anti-otoriti, di mana segala bentuk autoriti dilihat sebagai penindasan. Akhirnya, ia mencetuskan identiti terserpih, di mana manusia tidak lagi terikat dengan identiti tetap seperti Islam Ahli Sunnah Wal Jama’ah tetapi bebas membina identiti sendiri yang bersifat lalang, tiada akar tunjang yang kukuh.

6. Kesannya terhadap umat Islam adalah amat besar, khususnya tradisi keilmuan ASWJ, menyebabkan asas-asas fardhu ain runtuh secara senyap. Apabila asas fardhu ain ini runtuh, umat Islam kehilangan keupayaan-kompetensi untuk mengenal pasti autoriti yang sahih. Autoriti agama menjadi longgar, di mana sesiapa sahaja boleh menjadi mufti atau ustaz, dan "voice of YouTube" lebih didengar daripada ulama-ilmuan. Autoriti ilmu juga terhakis, di mana ilmu tidak lagi datang melalui talaqqi, disiplin dan tradisi keilmuan, cukup sekadar dengan Google dan ChatGPT. Malah, autoriti kepimpinan, termasuk ketaatan kepada Ulil Amri (Raja Pemerintah) turut dikikis. Maka, tidak hairanlah fenomena ketidakpatuhan kepada badan autoriti dan lontaran biadab terhadap ulama-ilmuan berleluasa, bukan kerana kesalahan mereka semata-mata, tetapi kerana dalam jiwa masyarakat sudah sebati fahaman bahawa "kita semua sama" dan "autoriti itu menindas."

7. Secara sedar atau tidak sedar, krisis autoriti dan krisis keilmuan yang melanda umat Islam kini, yang berpunca daripada racun ideologi sekularisme-demokrasi dan Post-modernisme, telah menghakis kepercayaan terhadap institusi dan sumber ilmu Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kemuncak penzahiran krisis ini, dapat dilihat dengan ketidakadilan dalam penghormatan terhadap autoriti dan ulama-ilmuwan pakar bidang (ahlul halli wal aqdi). Lebih merisaukan lagi, dari kalangan ulama,agamawan dan ilmuan yang sepatutnya menjadi penunjuk jalan kepada kebenaran turut terkesan racun kecanduan ideologi-ideologi asing ini.

8. Dalam menghadapi krisis yang meruncing ini, fiqh al-watan menyoroti dan mengembalikan naratif sejarah siyasah syariyyah Islam Ahli Sunnah Wal Jama’ah khususnya di Tanah Melayu. Memperkasakan watan melalui institusi kesultanan – siyasah sultaniyyah yang secara historikal telah menjadi tulang belakang pemerintahan Islam di Alam Melayu, khususnya di Negeri Pahang sebagaimana yang terukir dalam Hukum Kanun Pahang. Fiqh Al-Watan juga mengembalikan naratif keilmuan Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah Asyairah-Maturidiyyah, Fiqh Mazhab Syafie dan Tasawuf Al-Ghazali bertujuan untuk memulihkan legitimasi Islam tempatan dan membina semula kekuatan umat dengan mengintegrasikan epistemologi, institusi, sistem nilai, dan strategi berasaskan acuan Ahli Sunnah Wal Jama’ah sebagai asas peradaban.

Penulisan Oleh:- Fahmi bin Zahari
Peg.Hal Ehwal Islam (Pembangunan Turath)
Institut Ilmu Darul Makmur
Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang

#FiqhAlWatan
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556TahunKesultanan
#PeradabanIslamPahang
#KerajaanNegeriPahang

View original