Skip to main content

Ibadat Haji dan Pendidikan Kelestarian Alam Sekitar Menurut Perspektif Islam

Ibadat haji menghimpunkan manasik yang merangkumi ihram, tawaf, sa‘ie, wuquf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar jamrah. Di sebalik bentuk zahir ibadat tersebut, terdapat maqasid dan roh yang mendidik manusia menjadi hamba Allah yang beradab terhadap seluruh ciptaan-Nya. Perkara ini ditegaskan oleh Syeikh Usamah Sayyid al-Azhari dalam khutbah Aidiladha baru-baru iniapabila beliau menghuraikan bahawa setiap ibadat mempunyai suroh (bentuk zahir) dan ruh (makna serta tujuan yang mendalam).

Antara maqasid penting yang dapat difahami daripada ibadat haji ialah pembinaan adab terhadap alam sekitar. Hal ini kerana manusia dalam kehidupan seharian sentiasa mendapat manfaat daripada pelbagai ciptaan Allah SWT. Manusia hidup dengan bantuan sesama manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, sungai, tanah, udara dan pelbagai unsur alam yang lain. Justeru, Allah SWT mendidik para jemaah haji agar menyedari hubungan mereka dengan seluruh ciptaan tersebut melalui beberapa larangan dan tuntutan yang terkandung dalam manasik haji.

Pertama, haji mendidik manusia agar beradab terhadap sesama manusia. Firman Allah SWT:

﴿فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ﴾

Maksudnya: "Maka tidak boleh melakukan rafath, tidak boleh melakukan kefasikan dan tidak boleh berbantah-bantahan dalam haji." (Surah al-Baqarah: 197)

Ayat ini menunjukkan bahawa perjalanan menuju Allah mestilah dibina atas asas adab, kelembutan dan penghormatan terhadap orang lain. Kelestarian sosial merupakan asas kepada kelestarian sesebuah masyarakat.

Kedua, haji mendidik manusia agar beradab terhadap haiwan. Jemaah haji ditegah memburu atau membunuh binatang buruan ketika berada dalam ihram. Bahkan para ulama menyebut bahawa menyergah burung-burung merpati di Tanah Haram juga termasuk perkara yang makruh. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak melihat haiwan sekadar sumber ekonomi atau objek kegunaan manusia, bahkan sebagai makhluk Allah yang mempunyai hak untuk dipelihara dan dihormati.

Ketiga, haji mendidik manusia agar beradab terhadap tumbuh-tumbuhan. Syariat melarang para jemaah memotong atau merosakkan tumbuhan di kawasan Tanah Haram. Larangan ini memberikan isyarat bahawa pemeliharaan alam sekitar bukanlah isu moden yang lahir daripada gerakan alam sekitar kontemporari semata-mata, bahkan merupakan sebahagian daripada pendidikan rohani yang telah diterapkan oleh Islam sejak berabad-abad lamanya.

Keempat, haji mendidik manusia agar beradab terhadap alam yang tidak bernyawa. Jemaah diperintahkan bertawaf mengelilingi Kaabah yang dibina daripada batu-bata dan digalakkan mencium Hajar al-Aswad yang merupakan seketul batu. Pada zahirnya, batu merupakan benda jamad yang tidak bernyawa. Namun syariat mengajar manusia agar melihat seluruh alam sebagai ciptaan Allah yang memiliki kemuliaan tertentu apabila dikaitkan dengan perintah dan syiar-Nya. Daripada perspektif ini, manusia dididik supaya tidak bersikap angkuh terhadap alam dan tidak memandang rendah terhadap mana-mana ciptaan Allah SWT.

Pengajaran-pengajaran ini sangat relevan dengan gagasan Fiqh al-Watan yang menekankan kelestarian sebagai salah satu daripada tiga tonggak utama pembangunan Negeri Pahang, selain kedaulatan dan kerukunan. Kelestarian dalam Islam bukan sekadar usaha memelihara hutan, sungai atau biodiversiti, bahkan bermula daripada pembentukan jiwa yang beradab terhadap seluruh ciptaan Allah. Seseorang yang memahami roh ibadat haji tidak akan mudah melakukan pencemaran, pembaziran sumber, penebangan yang merosakkan, pemburuan haram atau sebarang bentuk kerosakan terhadap alam sekitar.

Sesungguhnya, ibadat haji mengajar manusia bahawa kemuncak hubungan dengan Allah bukan sekadar melaksanakan ritual, tetapi membina hati yang penuh rahmat terhadap seluruh makhluk-Nya. Apabila seseorang kembali daripada haji dengan jiwa yang dipenuhi makrifat kepada Allah, maka kesan makrifat tersebut akan diterjemahkan dalam bentuk akhlak, tanggungjawab sosial dan pemeliharaan alam sekitar. Inilah hakikat kelestarian yang lahir daripada ibadah; iaitu melihat penjagaan alam sebagai sebahagian daripada amanah kehambaan dan tanggungjawab khalifah di muka bumi.

Penulisan Oleh:
Muhammad Nurhakim bin Mohd Razali
Pegawai Hal Ehwal Islam
Institut Ilmu Darul Makmur
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang

“𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐃𝐀𝐘𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐈𝐋𝐌𝐔, 𝐌𝐄𝐌𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍”

#Fiqh al-Watan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#555tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat

View original