
Pemerkasaan Islam, Watan dan Peradaban Fokus Pembentangan IIDM di ICC 2026
Padang, Indonesia, 3 Jun 2026 – Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) terus memperkukuh peranannya dalam wacana keilmuan dan peradaban Islam di peringkat antarabangsa apabila tiga orang wakilnya terlibat sebagai pembentang dalam 3rd International Conference on Islamic Civilization & Culture (ICC 2026) yang berlangsung di Imam Bonjol Hotel, Padang, Indonesia pada 2 hingga 3 Jun 2026.
Dalam persidangan tersebut, Prof. Madya Dr. Amran, Pengarah Eksekutif IIDM, telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Hermeneutika Hadith Jibril sebagai Grand Narrative dan Technology of the Self: Ke Arah Pemerkasaan Islam, Watan dan Peradaban” secara dalam talian. Pembentangan tersebut menyoroti Hadith Jibril sebagai kerangka pemikiran yang komprehensif dalam membentuk kefahaman Islam yang holistik, di samping memperkukuh pembangunan insan, watan dan peradaban berteraskan nilai-nilai Islam.
Turut mewakili IIDM sebagai pembentang secara fizikal ialah al-Fadhil Ustaz Ahmad Luqman bin Zulkefli, Pegawai Pendidikan Turath yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Menangani Cabaran Sekularisme dan Xenofobia Ilmu dalam Institusi Pendidikan Madrasah dan Pondok”. Kertas kerja tersebut membincangkan cabaran semasa yang dihadapi institusi pendidikan Islam serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi memperkukuh tradisi keilmuan Islam dalam mendepani arus pemodenan dan globalisasi.
Selain itu, al-Fadhil Ustaz Nik Mohd Sofa’Urrahman bin Nik Mohd Rosdi, Pegawai Penyelidikan dan Isu Semasa turut membentangkan kertas kerja bertajuk “Sosialisasi Fiqh Kepenggunaan dalam Adat Resam Melayu Pahang” yang mengupas aspek penerapan fiqh kepenggunaan dalam adat resam masyarakat Melayu Pahang serta kepentingannya dalam membentuk amalan kehidupan yang selaras dengan prinsip syariah.
Penyertaan dan pembentangan para wakil IIDM dalam persidangan ini mencerminkan komitmen berterusan institut dalam memperkasa budaya penyelidikan, memperluas jaringan strategik antarabangsa serta mengangkat nama IIDM dan negeri Pahang sebagai peneraju pemikiran Islam dan peradaban.
IIDM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih terutamanya kepada Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak serta kepada pihak penganjur kerana menjemput IIDM untuk turut serta dalam persidangan berprestij ini. Jemputan tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha dan sumbangan IIDM dalam bidang penyelidikan, pembangunan ilmu serta pemerkasaan Islam dan watan di peringkat nasional dan antarabangsa.
“MEMBUDAYAKAN ILMU, MEMPERKASAKAN WATAN”
#Fiqh al-Watan
#Membudayakanlmu #KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556tahunKesultanandan #PeradabanIslamPahang
#KerajaanNegeriPahang
#ICC2026





