
PROGRAM BAHTHUL MASAIL PERDANA ILMUAN NEGERI PAHANG 2026 MEMBUDAYAKAN PERBAHASAN TRADISI ILMU AHLI SUNNAH WAL JAMAAH.
Kuantan, 27 Jun 2026 – Program Bahthul Masail Perdana Ilmuan Negeri Pahang 2026 anjuran Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) telah membuka tirainya hari ini bertempat di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.
Program pada hari pertama dimulakan dengan pembukaan majlis yang menghimpunkan para ilmuan, asatizah, mubahithin, moderator serta peserta dalam satu medan perbahasan ilmu yang tersusun dan beradab. Pembukaan program dimulakan dengan pembentangan Modul Fiqh al-Watan oleh Al-Fadhil Ustaz Muaz bin Zakaria, Pegawai Unit Dialog dan Peradaban IIDM.
Pembentangan tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan memahami gagasan Fiqh al-Watan sebagai satu kerangka kefahaman yang menghubungkan tanggungjawab beragama, bernegara dan bermasyarakat. Ia turut menjadi asas kepada perbincangan sepanjang program dalam memperkukuh kefahaman peserta terhadap peranan ilmu dalam membina masyarakat yang sejahtera dan berpaksikan nilai Islam.
Sesi hari pertama diteruskan dengan ruang soal jawab mubahithin serta perbahasan Bahthul Masail menerusi beberapa jilsah yang dipandu oleh para moderator. Perbahasan ini menjadi medan percambahan pandangan, penelitian hukum dan perkongsian ilmu secara tersusun dalam suasana penuh adab, keterbukaan dan penghormatan terhadap disiplin keilmuan.
Program ini turut menghimpunkan barisan ilmuan yang terlibat secara langsung dalam perbahasan dan perbincangan ilmiah, antaranya Yang Berbahagia Prof. Madya Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mantan Mufti Wilayah merangkap Pensyarah Kanan Universiti Malaya; Yang Berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Al-Fadhil Dr. Khafidz bin Soroni, Ketua Unit Institut Aqidah & Hadith, Universiti Islam Selangor; Al-Fadhil Dr. Syed Shahrizan bin Mohamed, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Industri Halal, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Shah Alam; Al-Fadhil Syeikh Mohd Nazrul bin Hj. Abdul Nasir al-Azhari, Mudir Zawiyah Nasiriyyah; Al-Fadhil Ustaz Uwais Qarni bin Abdul Wahab, TG Zamalah Fiqh IIDM; serta Al-Fadhil Ustaz Abdul Halim Amrini, Felo Antarabangsa Institut Ilmu Darul Makmur.
Kehadiran para ilmuan ini memperkukuh lagi nilai program sebagai platform perbahasan ilmiah yang bukan sahaja menumpukan kepada kupasan isu, bahkan turut menekankan adab berdiskusi, ketelitian dalam berhujah serta kepentingan mencapai kefahaman yang seimbang dan bertanggungjawab.
Penganjuran program ini diharap dapat memperkukuh budaya ilmu, menghidupkan tradisi perbahasan Islam serta memperkukuh kefahaman peserta terhadap pendekatan ilmu yang berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“𝐌𝐄𝐌𝐁𝐔𝐃𝐀𝐘𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐈𝐋𝐌𝐔, 𝐌𝐄𝐌𝐏𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍”
#Fiqh al-Watan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#555tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBerada





