
Akhlak, Kejayaan dan Amanah Watan
Dalam kehidupan remaja, setiap orang punya minat dan hobi tersendiri — ada yang cemerlang dalam sukan, ada yang menonjol dalam seni, ada pula yang tekun dalam akademik. Namun, apa pun jalan yang dipilih, kejayaan sebenar bukan hanya diukur dengan trofi atau pencapaian duniawi, tetapi dengan bagaimana seseorang menjaga akhlak dan syariat. Kejayaan hakiki lahir apabila ilmu dan bakat disertai dengan nilai iman serta adab yang menjadi panduan hidup.
Baru-baru ini, dunia menyaksikan seorang anak muda Malaysia bangkit dari kedudukan sukar untuk muncul juara di pentas antarabangsa. Lebih indah daripada kemenangan itu ialah akhlak yang ditonjolkan — budaya yang bercanggah dengan Islam ditolak dengan penuh hikmah, pengurus pasukan menghormati prinsip agama dengan mengalihkan botol arak di podium, dan tular video membimbing rakan bukan Islam membaca doa makan. Semua ini adalah manifestasi adab Islami yang dipupuk sejak kecil sehingga menjadi tabiat yang akhirnya menarik minat orang sekeliling.
Inilah keindahan Islam yang sebenar — tidak memaksa, tetapi menarik dengan kelembutan dan teladan. Ketika seorang remaja mampu menunjukkan adab tanpa rasa malu, ia menjadi dakwah bil hal yang menyentuh hati orang sekeliling. Dunia melihat bahawa Islam bukan agama yang jumud, tetapi agama yang mendidik manusia menjadi beradab, berakhlak, dan menghormati sesama.
Di sinilah tersirat hubungan antara Tauhid, Fiqh dan Tasawuf dalam kehidupan seorang Muslim. Tauhid meneguhkan keyakinan bahawa setiap kejayaan adalah daripada Allah. Fiqh membimbing tindakan agar selari dengan syariat, menolak perkara yang haram walau di pentas dunia. Tasawuf pula menyucikan hati, menjadikan akhlak sebagai bahasa universal yang difahami oleh semua. Bila ketiga-tiga ini berpadu, lahirlah generasi yang bukan sahaja berjaya, tetapi juga menjadi cahaya yang mengubah cara dunia memandang Islam.
Bayangkan perasaan seorang ibu melihat anak lelaki yang dibesarkan dengan doa dan nasihat kini berdiri megah, bukan kerana keberanian semata, tetapi kerana akhlak yang dijaga. Harapan keluarga bukan sekadar mahu anak berjaya, tetapi mahu anak menjadi insan soleh yang membawa nama baik agama dan bangsa.
Kesimpulannya, apa pun hobi atau bidang yang diceburi, jangan sekali-kali meninggalkan syariat. Akhlak adalah benteng, disiplin adalah kekuatan, dan kejayaan adalah amanah. Maka marilah kita berdoa dan berharap agar anak-anak remaja Muslim menjadi generasi yang bukan sahaja membanggakan keluarga dan bangsa, tetapi juga menjadi agen perubahan kepada cara dunia memandang Islam. Semoga setiap kejayaan mereka menjadi bukti bahawa syariat adalah cahaya, akhlak adalah kekuatan, dan cinta watan adalah amanah yang mengangkat maruah umat di mata dunia.
"Fiqh Al-Watan Memaknai 556 Tahun Peradaban dan Kesultanan Islam Pahang"
#FiqhAlWatan
#HijrahRemaja
#Muharam1448
#MindsetUpgrade
#remajaberakhlak
#pahangbersyariat
#SultanPahang
#PerpaduanWatan
#InstitutIlmuDarulMakmur
Disediakan Oleh
Nor Rosyidah binti Mohamed Tahir
Penyelia Sekolah Menengah Ugama MUIP (SMUM)
Institut Ilmu Darul Makmur
Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang





