
INDUKSI HIKMAH IIDM 2026 | SESI TERAKHIR & MAJLIS PENUTUP
Siri terakhir Induksi HIKMAH IIDM 2026 dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM), yang memberikan gambaran umum serta persediaan asas teori ilmu sebagai pengantar kepada Siri Peradaban Islam yang akan diteruskan dalam 15 siri, merangkumi perjalanan peradaban umat Islam sepanjang 15 abad.
Dalam sesi ini, penekanan diberikan kepada pembinaan aspek ‘aqliyyah dan cara berfikir yang tersusun, khususnya dalam membentuk mod mantiqi-kalami sebagai salah satu asas untuk memahami perkembangan ilmu dan seterusnya membina peradaban Islam. Para peserta turut dilatih bahawa pembinaan kader ilmu tidak hanya berlaku dalam sesi rasmi, bahkan budaya ilmu perlu terus hidup dalam perbincangan seharian, termasuk ketika waktu makan, waktu rehat serta sesi tazkirah selepas Subuh dan bacaan Hizb al-Nawawi bersama.
Sebagai siri terakhir, sesi ini menjadi jambatan kepada perjalanan HIKMAH yang lebih panjang. Sepanjang tiga hari, para peserta telah didedahkan kepada asas Ilmu Falsafah, sejarah perkembangan pemikiran, pendekatan ulama ASWJ terhadap falsafah serta pengenalan kepada Peradaban Islam melalui kerangka Ilmu Kalam, Usul Fiqh dan Tasawuf.
Majlis kemudiannya ditutup dengan pesanan dan harapan daripada tuan pengarah program agar para Ahli HIKMAH IIDM melihat program ini sebagai permulaan kepada satu projek kaderisasi yang serius dan berjangka panjang. Para peserta diharapkan dapat memberikan komitmen yang berterusan melalui pembacaan, perbincangan, penulisan, penyelidikan dan pengembangan kepakaran masing-masing.
HIKMAH tidak dirangka sebagai sebuah program induksi bersifat sekali sahaja, tetapi program ini menjadi langkah awal kepada proses pembinaan kader ilmuwan yang berterusan — membentuk generasi yang mempunyai pandangan alam yang jelas, kerangka pemikiran berstruktur, menjaga adab keilmuan serta berkemampuan untuk memahami tradisi Islam dan berinteraksi dengan perkembangan pemikiran semasa.
Semoga HIKMAH terus menjadi salah satu ikhtiar IIDM dalam membina kader ilmu yang kukuh akidahnya, baik amalannya, tinggi adabnya serta besar khidmatnya kepada agama, masyarakat dan watan.
16–18 Ogos 2026
Hotel Sri Manja, Kuantan, Pahang
#HIKMAHIIDM
#InstitutIlmuDarulMakmur
#MembudayakanIlmu
#MemperkasakanWatan
#IlmuKalam
#UsulFiqh
#Tasawuf
#PeradabanIslam
#KaderIlmu
#AhliSunnahWalJamaah





