Mengangkat Semula Perlembagaan dan Governan Kesultanan Islam (Ahkam Sultaniyyah)
Resipi al-Juwayni untuk Zaman Moden: Kesultanan Islam Masih Utuh, Tidak Asing, dan Relevan

Demokrasi sekular moden meletakkan “kedaulatan rakyat” sebagai asas tertinggi. Suara majoriti dianggap suara kebenaran. Namun, hakikat global membuktikan bahawa kedaulatan rakyat sering berubah menjadi ilusi: pilihan raya lebih ditentukan oleh emosi, sentimen perkauman, atau imej populis, bukan oleh ilmu dan kelayakan. Apatah lagi, elit ekonomi dan korporat akhirnya membeli akses politik, menjadikan “kedaulatan rakyat” sekadar kulit luar sebuah sistem yang dikuasai golongan berkepentingan. Kajian di Amerika Syarikat menunujukkan dasar awam lebih pantas tunduk kepada kehendak golongan kaya, manakala suara rakyat biasa hampir tidak memberi sebarang kesan. Di sinilah umat Islam perlu berhenti bertaklid buta dan kembali kepada teori politik muktabar yang dibina oleh para ulama silam.

Dalam tradisi Sunni, khususnya melalui karya monumental Imam al-Haramayn al-Juwayni ”Ghiyathul Umam”, kedaulatan mutlak bukan milik rakyat, tetapi milik Allah. Sistem Kesultanan Islam dibina di atas teori kedaulatan Tuhan yang dizahirkan melalui institusi Syura dan Ahl al-Hall wa al-‘Aqd – iaitu sekumpulan ahli ilmu, ulama, dan tokoh kenamaan yang berwibawa lagi bertakwa. Mereka inilah “expert panel” yang bertanggungjawab memilih dan menasihati Sultan atau Imam, bukan orang awam yang majoritinya tidak memiliki kepakaran politik dan syarak. Imam al-Juwayni dengan tegas menyatakan bahawa urusan melantik pemimpin tertinggi bukan hak campur tangan orang ramai secara langsung. Hal ini bagi memastikan pelantikan pemimpin bebas daripada permainan emosi massa dan manipulasi retorika kosong – suatu kelemahan parah dalam pilihan raya moden.

Di sinilah kita menolak pergantungan penuh kepada pilihan raya yang dijalankan sekadar menghitung kepala tanpa menimbang ilmu. Realiti hari ini, berapa ramai pengundi yang membuat keputusan berdasarkan pengetahuan sebenar tentang dasar, ekonomi, dan syariat, berbanding terpengaruh dengan wang, hiburan kempen, atau janji-janji indah? Sistem Islam tidak menjadikan suara majoriti jahil sebagai penentu halal-haram atau sah-batal sebuah pemerintahan. Sebaliknya, ia mengangkat darjat ilmu dan musyawarah bersama golongan berkepentingan yang tulus (Ahl al-Hall wa al-‘Aqd) untuk menjaga agama dan meneruskan legasi umat. Semua sedia maklum demokrasi atau suara rakyat yang baik sukar dicapai dalam keadaan pendidikan masyarakat yang tidak sempurna.

Ini bukan bermakna kita membuang demokrasi secara total. Demokrasi boleh diterima sebagai alat, bukan sebagai sumber kedaulatan. Ia boleh menjadi mekanisme untuk mendengar denyut nadi rakyat, menyalurkan khidmat, dan memudahkan urus tadbir di bawah naungan kerajaan Kesultanan yang tunduk kepada syariat. Dalam erti kata lain, demokrasi berfungsi sebagai jambatan untuk memastikan pemerintah menjalankan amanah pentadbiran, selama mana ia tidak melangkaui batas kedaulatan Tuhan. Teori politik Ghiyathul Umam mengajar kita bahawa keabsahan pemerintahan terletak pada kemampuannya menegakkan keadilan Ilahi, bukan semata-mata pada jumlah undi. Maka, demokrasi mesti ditundukkan di bawah kerangka Siyasah Sultaniyah, bukannya dijadikan berhala baru yang disembah oleh Umat Islam.

Kesimpulannya, ilusi demokrasi yang memperdaya dengan slogan “suara rakyat suara keramat” perlu digantikan dengan kefahaman mendalam tentang kedaulatan Tuhan yang dipandu oleh Syura dan Ahl al-Hall wa al-‘Aqd. Hanya dengan itu, pemimpin yang lahir benar-benar layak memikul amanah, dan demokrasi sekadar menjadi alat berkhidmat kepada rakyat dalam kerangka Kesultanan Islam yang muktabar yang diwarisi dari dada para ilmuan Islam yang telah berkhidmat menulis teori siyasah Islam.

Mu’az bin Zakaria
Pegawai Hal Ehwal Islam IIDM

#KesultananIslam
#KedaulatanTuhan
#SiyasahSultaniyah
#ImamAlJuwayni
#GhiyathulUmam
#AhlAlHallWaAlAqd
#Syura

View original on Facebook