PENCERAHAN FIQH AL-WATAN DAN PENYELARASAN KURIKULUM WAJIB MADRASAH, MAAHAD TAHFIZ DAN PONDOK DAERAH BENTONG & RAUB

Ahad | 12 Julai 2026

Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) terus komited menerajui pemerkasaan Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai teras pembangunan pendidikan Islam di Negeri Pahang. Usaha ini dilaksanakan melalui pengukuhan pegangan akidah berteraskan manhaj al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah, fiqh bermazhab al-Syafi‘i dengan meraikan mazhab-mazhab muktabar yang lain, serta tasawuf berlandaskan tariqah al-Ghazaliyyah dan al-Junaidiyyah.

Pengukuhan manhaj ini amat signifikan khususnya di institusi pendidikan Islam seperti maahad tahfiz, madrasah dan pondok yang menjadi benteng pembinaan ilmu, sahsiah dan jati diri umat. Sehubungan itu, IIDM telah meneruskan siri penaziran serta sesi libat urus bersama institusi-institusi pendidikan berkenaan bagi memperkukuh pelaksanaan Kurikulum Wajib IIDM.

Penyelarasan ini bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan tanpa mengubah identiti, tradisi serta keunikan setiap institusi, selagi mana ia selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh IIDM sebagai institusi yang mendukung aspirasi Kesultanan Pahang dalam memperkasakan pendidikan Islam.

Program kali ini merangkumi sesi Pencerahan Fiqh al-Watan serta penerangan berkaitan penyelarasan ringkas Kurikulum Wajib IIDM yang melibatkan institusi-institusi berikut:

Daerah Bentong

1. Maahad An-Noer
2. Maahad Tahfiz Janda Baik
3. Pusat Kebajikan Darul Mustaqim
4. Maahad Tahfiz al-Quran Dar al-Abrar
5. Pondok Dar al-Abrar
6. Maahad Tahfiz al-Hidayah (MATAH)
7. Maahad Tahfiz Integrasi al-Hikmah

Daerah Raub

1. Pusat Tahfizul Quran Azizurrahman
2. Maahad Tahfiz Tajuddin
3. Pusat Pendidikan Tahfiz al-Quran & Pengajian Islam As-Sakinah

Perjumpaan telah diadakan di Maahad An-Noer, Bentong, bersempena dengan penganjuran Bengkel Bahthul Masail yang berlangsung selama dua hari bermula pada keesokan harinya. Pemilihan lokasi tersebut membolehkan penyelarasan program dilaksanakan dengan lebih berkesan serta mengukuhkan jaringan kerjasama antara IIDM dan institusi-institusi pendidikan Islam di daerah berkenaan.

Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pengurus, mudir dan wakil institusi yang hadir. Semoga usaha penyelarasan ini terus menjadi wadah memperkukuh kesatuan manhaj, meningkatkan mutu pendidikan Islam serta melahirkan generasi yang berilmu, beradab dan berperanan dalam memelihara agama, bangsa dan tanah air.

_Fiqh al-Watan Memaknai 556 Tahun Kesultanan dan Peradaban Islam Pahang._

#FiqhAlWatan #IIDM #InstitutIlmuDarulMakmur #MUIP #KesultananPahang #ManhajAhliSunnahWalJamaah #AsyairahMaturidiyyah #MazhabSyafii #PendidikanIslamPahang #BahthulMasail #PeradabanIslamPahang #556TahunKesultananPahang

View original