Skip navigation
Laman UtamaMengenai KamiMedia IIDM-MUIPAgensi Pendidikan

PERANAN KESULTANAN DAN INSTITUSI MADRASAH, PONDOK DAN TAHFIZ DALAM MENJAGA SYARIAT DI NEGERI PAHANG

CHENOR, 6 NOVEMBER 2026 – Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) terus mempergiat usaha memperkenalkan dan membudayakan kerangka Fiqh al-Watan sebagai landasan kefahaman masyarakat terhadap tatacara kehidupan beragama, bernegara dan berwatan yang berteraskan Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Seiring dengan usaha tersebut, Tuan Guru Ustaz Barkatullah bin Mohd. Bahari, Tuan Guru Zamalah Fiqh Al-Watan Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM- MUIP) merangkap Mudir Madrasah Raudhah Al Muhibbin, Chenor telah menyampaikan ceramah bertajuk “Peranan Kesultanan dan Institusi Madrasah, Pondok dan Tahfiz dalam Menjaga Syariat di Negeri Pahang” bertempat di Masjid FELDA Sg Nerek, Chenor, selepas solat Maghrib.

Tuan Guru Ustaz Barkatullah menekankan kepentingan berpegang teguh kepada manhaj Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah berteraskan aliran al-Asha‘irah dan al-Maturidiyyah bagi mengelakkan kekeliruan dalam beragama di Negeri Pahang. Beliau turut menyentuh beberapa ketetapan yang telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri Pahang yang perlu diambil berat bagi mengekang ajaran sesat seperti aliran dan dakyah Salafiah Wahabiah.

Dari perspektif Fiqh al-Watan, usaha memelihara manhaj bertujuan menjaga keharmonian kehidupan beragama serta memastikan kelangsungan peradaban Islam di Negeri Pahang. Peranan Institusi Kesultanan dengan kerjasama madrasah, pondok dan tahfiz amat penting dalam memastikan kesinambungan pendidikan agama serta pemeliharaan syariat Islam dalam masyarakat.

Penegasan tentang memberikan ketaatan kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan sebagai Ketua Agama dan Raja Pemerintah turut diterangkan bagi menyatupadukan rakyat dalam semua aspek.

Semoga perkongsian ilmu ini terus menyuburkan kecintaan terhadap watan melalui penghayatan Fardu Ain dan pengukuhan Siyasah Syar'iyyah bagi meneruskan agenda membina Peradaban Islam yang unggul di Negeri Pahang.

“MEMBUDAYAKAN ILMU, MEMPERKASAKAN WATAN”

#FiqhAlWatan
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556TahunKesultanan
#FardhuAin
#PeradabanIslamPahang
#KerajaanNegeriPahang

View original on Facebook

Share