PROGRAM FIQH WANITA SIRI 2: BICARA MAHASISWI PERADABAN PERKASA ILMU DAN PENGHAYATAN FARDU AIN

KUANTAN, 28 Oktober 2026 – Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) dengan kerjasama Pusat Kaunseling UCYP University telah menganjurkan Program Fiqh Wanita (Siri 2): Bicara Mahasiswi Peradaban sebagai platform pengukuhan ilmu fardu ain, akidah dan pembentukan sahsiah wanita dalam usaha melahirkan generasi berilmu serta beradab. Seramai 150 peserta yang terdiri daripada mahasiswi UCYP hadir ke program ini.

Program ini dirasmikan oleh Dr. Norhidayah binti Mohamed, Dekan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Umum, yang menekankan kepentingan penguasaan ilmu agama sebagai asas pembentukan wanita Muslimah yang memahami tanggungjawab serta peranannya dalam masyarakat.

Program ini merangkumi empat komponen utama, iaitu Fiqh Darah, Tauhid, Tasawuf dan Fardu Ain, yang disampaikan oleh para penceramah berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Komponen Fiqh Darah bertajuk “Seni Mengira Darah dan Merungkai Persoalan Solat” disampaikan oleh Ustazah Nasihah Sakinah, dengan memberi penekanan terhadap kefahaman hukum berkaitan darah wanita dan implikasinya terhadap pelaksanaan ibadah solat.

Komponen Tauhid bertajuk “Ilmu Akidah Asas Pemerkasaan Wanita” disampaikan oleh Al-Fadil Ustaz Muhammad Nurhakim bin Mohd Razali, Pegawai IIDM-MUIP, manakala komponen Tasawuf bertajuk “Adab Seorang Pelajar” disampaikan oleh Nor Hashimah binti Hashim, yang menumpukan aspek pembentukan adab dan akhlak dalam menuntut ilmu.

Sementara itu, komponen Fardu Ain menerusi tajuk “Tajwid dan Tahsin Surah al-Fatihah” disampaikan oleh Ustazah Nur Hanna bagi memperkukuh penguasaan bacaan al-Quran, khususnya Surah al-Fatihah yang menjadi rukun dalam solat.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen IIDM-MUIP dalam membudayakan ilmu dan memperkasakan wanita melalui penguasaan ilmu agama yang menyeluruh, merangkumi aspek kefahaman hukum, pemantapan akidah, penyucian jiwa serta pembentukan adab.

Usaha ini diharap dapat melahirkan mahasiswi yang berilmu, berakhlak dan mampu menyumbang kepada pembinaan peradaban ummah.

“FIQH AL-WATAN MEMAKNAI 556 TAHUN KESULTANAN DAN PERADABAN ISLAM PAHANG”

#Fiqh al-Watan
#Membudayakanlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556tahunKesultanandan
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat

View original on Facebook