
PROGRAM PENCERAHAN FIQH AL-WATAN PERKASA PENTADBIR MASJID DAN SURAU KUANTAN BARAT
KUANTAN, 9 Ogos 2026 – Program Pencerahan Fiqh al-Watan bagi Pentadbir Masjid dan Surau Kuantan Barat anjuran Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) telah berlangsung dengan penyertaan seramai 130 peserta yang mewakili 69 masjid dan surau di sekitar Kuantan Barat.
Program ini menjadi platform untuk memperkukuh kefahaman para pentadbir masjid dan surau mengenai Fiqh al-Watan, khususnya dalam membina jati diri umat Islam, memperkukuh kefahaman agama serta membimbing masyarakat dalam menghadapi cabaran semasa, dan ia turut disambut baik oleh para peserta yang memberikan sepenuh tumpuan terhadap pembentangan.
Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Yang Berbahagia Al-Fadhil Ustaz Ahmad Nizam bin Abd Manan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang menyambut baik serta memuji inisiatif IIDM dalam menganjurkan program berkenaan.
Dalam amanatnya, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab sebagai pengerusi dan pentadbir masjid merupakan satu amanah besar kerana masjid adalah wakaf untuk umat Islam dan berada di bawah naungan Institusi Kesultanan Pahang. Sehubungan itu, institusi masjid perlu dipelihara daripada sebarang bentuk provokasi politik kepartian serta ajaran yang sesat.
Beliau turut menekankan peranan imam dan seluruh Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dalam memastikan pengajian Fardu Ain berkitab dilaksanakan sepenuhnya, selaras dengan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang. Pengajian tersebut hendaklah berpandukan kitab-kitab muktabar dalam bidang akidah, fekah dan tasawuf, di samping menggunakan kurikulum wajib IIDM-MUIP serta penetapan kitab yang diperkenalkan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Sebelum majlis perasmian penutup, program dimulakan dengan sesi pencerahan oleh Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad yang menekankan keperluan memperkasakan kefahaman umat Islam di Malaysia, khususnya di Pahang, mengenai Fiqh al-Watan bagi mendepani cabaran penyebaran kefahaman dan ajaran yang menyeleweng serta bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, termasuk ajaran Salafiyah Wahabiyah yang telah diwartakan sebagai sesat dan bercanggah di negeri ini.
Turut hadir Yang Berbahagia Al-Fadhil Ustaz Izzuddin bin Dato' Haji Abdul Mutalib, Tuan Qadhi Daerah Kuantan Barat yang turut berucap ringkas agar IIDM dapat terus memberi pencerahan Fiqh al-Watan kepada masjid dan surau di seluruh Pahang.
Program ini diharapkan dapat memperkukuh peranan pentadbir masjid dan surau sebagai penggerak ilmu serta menjadi medium membina masyarakat Islam yang berilmu, berakidah dan berjati diri, di samping memperkasakan institusi masjid sebagai pusat ilmu dan penyatuan umat Islam di Negeri Pahang.
“MEMBUDAYAKAN ILMU, MEMPERKASAKAN WATAN.”
#FiqhalWatan
#MembudayakanIlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556TahunKesultananDanPeradabanIslamPahang
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat





