
TIGA HARI WACANA ILMIAH BERSAMA DR. ZAINUL ABIDIN MEMPERKASA AKIDAH AHLI AL-SUNNAH WA AL-JAMA‘AH DI PAHANG DARUL MAKMUR
24 Julai 2026
Alhamdulillah, Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM-MUIP) telah menyempurnakan rangkaian program ilmiah selama tiga hari bersama Al-Fadhil Dr. Zainul Abidin bin Abdul Halim, Pensyarah Jabatan Usuluddin, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), bertempat di Kuantan, Pahang Darul Makmur.
Rangkaian program ini dimulakan dengan Daurah Kitab al-Muqaddimāt Imam al-Sanusi selama dua hari pada 22 dan 23 Julai 2026. Daurah tersebut memberikan pendedahan mendalam berkenaan istilah, konsep dan kaedah penghujahan dalam ilmu akidah dan ilmu kalam berdasarkan manhaj Imam Abu Abdillah Muhammad bin Yusuf al-Sanusi.
Pengajian kitab ini amat penting sebagai persediaan untuk memahami karya-karya akidah Imam al-Sanusi, khususnya Umm al-Barāhīn, yang menjadi antara rujukan utama dalam tradisi pengajian Akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah.
Rangkaian program diteruskan pada hari ini, 24 Julai 2026, dengan Pembentangan Akademik bertajuk:
“Kajian Tentang Aplikasi Mantiq dalam Memahami Kalimah Syahadah di Sisi Syeikh Abdul Samad al-Falimbani dalam Karyanya Zahratul Murid fi Bayan Kalimat al-Tawhid.”
Pembentangan tersebut telah disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi Institut Ilmu Darul Makmur bagi membolehkan para asatizah, mahasiswa, pengkaji dan pencinta ilmu dari pelbagai tempat mengikuti kupasan ilmiah yang disampaikan.
Syeikh Abdul Samad al-Falimbani sememangnya masyhur sebagai tokoh besar ulama Melayu dalam bidang tasawuf menerusi karya-karya beliau seperti Sayr al-Sālikī dan Hidāyat al-Sālikīn. Namun demikian, keilmuan beliau turut merangkumi bidang akidah, khususnya dalam menghuraikan makna Kalimah Tauhid berdasarkan kaedah-kaedah ilmu mantiq.
Dalam pembentangan tersebut, Dr. Zainul Abidin menjelaskan bagaimana kaedah mantiq diaplikasikan oleh Syeikh Abdul Samad al-Falimbani dalam memahami dan menghuraikan Kalimah Syahadah. Pendekatan ini memperlihatkan keluasan penguasaan ulama Melayu terhadap pelbagai disiplin ilmu, termasuk akidah, tasawuf dan mantiq.
Penganjuran Daurah al-Muqaddimāt dan Pembentangan Akademik ini merupakan sebahagian daripada usaha IIDM untuk memperkukuhkan kefahaman Akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah, meningkatkan kompetensi para pengajar akidah serta mengangkat kembali khazanah keilmuan ulama Islam Nusantara.
Semoga segala ilmu, panduan dan perbahasan yang dikongsikan sepanjang program ini dapat dimanfaatkan, dikembangkan dan disampaikan kepada masyarakat dalam usaha memelihara kesucian akidah umat Islam di Negeri Pahang Darul Makmur.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Dr. Zainul Abidin bin Abdul Halim atas kesudian mencurahkan ilmu sepanjang tiga hari program ini. Penghargaan turut dirakamkan kepada semua peserta, urus setia dan pihak yang telah menjayakan rangkaian program tersebut.
“MEMBUDAYAKAN ILMU, MEMPERKASAKAN WATAN”
#DaurahAlMuqaddimat
#PembentanganAkademik
#DrZainulAbidin
#AkidahAhliSunnahWalJamaah
#IlmuMantiq
#SyeikhAbdulSamadAlFalimbani
#UlamaNusantara
#FiqhAlWatan
#MembudayakanIlmu
#PeradabanPahang
#555TahunKesultananDanPeradabanIslamPahang
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat





