📚 MESYUARAT FIQH MINGGUAN IIDM SIRI KE-22

Mengukuhkan Tradisi Turath, Memperkasa Fiqh al-Waṭan
Kitab: Minhāj al-Ṭālibīn
Tajuk: Kitab al-Jirāḥ (Kitab al-Jinayat)
📅 30 Julai 2026 | Zoom Meeting

Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) telah mengadakan Mesyuarat Fiqh Mingguan Siri Ke-22 yang meneliti perbahasan fiqh jenayah dalam mazhab al-Syafi‘i berkaitan hukum pembunuhan melalui tusukan jarum serta aplikasinya terhadap isu perubatan moden.
Antara resolusi utama yang dipersetujui ialah:

🔹 1. Penentuan pembunuhan sengaja tidak bergantung kepada alat semata-mata.
Mazhab al-Syafi‘i menilai keseluruhan hubungan sebab-musabab (sababiyyah) antara perbuatan pelaku dengan kematian mangsa. Alat yang kecil seperti jarum boleh membawa kepada hukum pembunuhan sengaja sekiranya digunakan pada anggota yang lazim membawa maut atau dengan cara yang menurut kebiasaan menyebabkan kematian.

🔹 2. Prinsip kebiasaan (الغالب) menjadi asas penilaian hukum.
Fuqaha tidak hanya melihat kemungkinan sesuatu alat boleh membunuh, bahkan menilai sama ada alat atau cara tersebut secara kebiasaannya membawa kepada kematian. Justeru, sesuatu yang hanya jarang-jarang menyebabkan kematian tidak disamakan hukumnya dengan alat yang lazim membawa maut.

🔹 3. Bengkak bukan syarat mutlak dalam penentuan hukum.
Perbahasan syarah menjelaskan bahawa bengkak hanyalah petunjuk kepada kewujudan kecederaan, manakala ukuran sebenar ialah kesan kecederaan yang mempunyai hubungan sebab yang jelas sehingga membawa kepada kematian.

🔹 4. Uruf diambil kira dalam menentukan hubungan sebab dengan kematian.
Istilah "mati serta-merta" dalam perbahasan fuqaha tidak semestinya bermaksud kematian berlaku sejurus selepas kecederaan, bahkan merangkumi tempoh yang masih dianggap singkat menurut uruf sehingga hubungan sebab dengan kematian masih kekal.

🔹 5. Aplikasi terhadap amalan perubatan moden.
Penggunaan suntikan, ubat bius, kemoterapi, radioterapi atau pembedahan tidak dikategorikan sebagai pembunuhan sengaja semata-mata kerana alat tersebut berpotensi membawa maut. Penilaian hukum turut mengambil kira niat rawatan, keizinan pesakit, kepakaran doktor, prosedur yang diiktiraf serta kewujudan atau ketiadaan kecuaian.

🔹 6. Kepakaran dan amanah menjadi asas tanggungjawab doktor.
Fuqaha menegaskan bahawa doktor yang berkelayakan dan menjalankan rawatan mengikut disiplin perubatan tidak dipertanggungjawabkan terhadap komplikasi yang berlaku tanpa kecuaian. Sebaliknya, individu yang merawat tanpa ilmu atau melakukan kecuaian yang nyata bertanggungjawab terhadap mudarat yang terhasil.

Perbincangan ini memperlihatkan keluasan fiqh jenayah Islam dalam menilai sesuatu kes secara menyeluruh dengan mengambil kira niat (القصد), hubungan sebab (السببية), kebiasaan (الغالب), uruf, kepakaran, serta maqasid menjaga nyawa (حفظ النفس). Pendekatan ini membuktikan bahawa khazanah fiqh turath terus relevan sebagai panduan dalam menangani isu-isu kontemporari, termasuk dalam bidang perubatan moden.

"Fiqh al-Waṭan Memaknai 556 tahun Kesultanan dan Peradaban Islam Pahang."

#IIDM #MesyuaratFiqh #Turath #MinhajAlTalibin #FiqhAlJinayah #FiqhSemasa #MazhabSyafii #FiqhAlWatan #InstitutilmuDarulMakmur#556tahunkesultanandanperadabanislampahang

Disediakan Oleh Nik Mohd Sofa’urrahman Bin Nik Mohd Rosdi
Pegawai Hal Ehwal Islam, Unit Penyelidikan Isu-Isu Semasa

View original on Facebook