
WACANA KEILMUAN MAZHAB AL-SYAFI‘I
Alhamdulillah, telah selesai Wacana Keilmuan Mazhab al-Syafi‘i anjuran Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) yang berlangsung pada 22 Ogos 2026, dengan kehadiran al-Shaykh al-‘Allamah Abdul Aziz al-Shahawi, tokoh ulama Mazhab Syafie dari Mesir, bersama para qadi daerah dan asatizah.
Sesi dimulakan dengan pendahuluan oleh Syeikh berkaitan kepentingan berpegang dengan al-Quran dan tradisi keilmuan yang diwariskan oleh para ulama, sebelum diteruskan dengan pembacaan kitab كشف الغمة عن تقليد الأئمة (Kashf al-Ghummah ‘an Taqlid al-A’immah), yang membicarakan persoalan taqlid kepada para imam mazhab serta menjawab beberapa kekeliruan berkaitan kepentingan bermazhab.
Antara penekanan Syeikh ialah kedudukan para ulama sebagai أمناء الله على شرعه, serta keluasan ruang ijtihad dalam perkara yang tidak terdapat nas yang jelas, sebagaimana dinukilkan daripada Imam al-Sya‘rani rhm. Syeikh turut menekankan keperluan mengikuti salah satu daripada mazhab empat serta kepentingan menghimpunkan fiqh dan tasawuf dalam perjalanan seorang salik kepada Allah SWT.
Kata Imam al-Laqqani dalam Jawharah al-Tawhid:
ومالك وسائر الأئمة # كذا أبو القاسم هداة الأمة
فواجب تقليد حبر منهم # كذا حكى القوم بلفظ يُفهم
Dalam persoalan mengambil hukum secara langsung daripada nas tanpa melalui mazhab, Syeikh mengingatkan bahawa kemampuan berijtihad bukan sekadar mendakwa kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah, bahkan memerlukan kelayakan ilmu, kefahaman, kemampuan istinbat dan penguasaan terhadap khazanah ilmu yang telah dibina oleh para ulama. Ilmu merupakan amanah yang diwariskan dan dipelihara melalui usaha besar para ulama sepanjang zaman dan itulah turath keilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Selesai pembacaan kitab, wacana diteruskan dengan sesi soal jawab dan munaqasyah bersama para qadi dan asatizah yang berlangsung dalam suasana ilmiah, terbuka dan penuh kemesraan. Pelbagai persoalan berkaitan fiqh dan tradisi Mazhab al-Syafi‘i dibincangkan bersama Syeikh.
Program kemudiannya diakhiri dengan penyampaian cenderamata daripada Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) kepada al-'Allamah al-Shaykh dan penterjemah, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad bin Amran, Zamalah Institut Ilmu Darul Makmur, yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Ahmad Luqman bin Zulkefli mewakili IIDM, sebelum diteruskan dengan santapan jamuan makan tengah hari.
Alhamdulillah, kehadiran seorang ulama sepuh dari Mesir yang juga disebut Shaykh al-Shafi‘iyyah ini telah menjadikan wacana berlangsung dalam suasana yang hidup, hangat dan diharapkan penuh keberkatan, khususnya melalui sesi munaqasyah dan perkongsian ilmu secara langsung bersama Syeikh.
Semoga pertemuan singkat ini menjadi satu wasilah untuk terus menghidupkan tradisi keilmuan, memelihara warisan Mazhab al-Syafi‘i dan memperkukuh jaringan ulama serta asatizah di Negeri Pahang.
"Membudayakan Ilmu, Memperkasakan Watan"
"Fiqh al-Watan Memaknai 556 Tahun Kesultanan dan Peradaban Islam Pahang"
#InstitutIlmuDarulMakmur
#IIDM
#WacanaKeilmuan
#MazhabAlSyafii
#AbdulAzizAlShahawi
#KashfulGhummah
#MembudayakanIlmu
#MemperkasakanWatan
#DaulahIslam
#556TahunKesultanan
#PeradabanIslamPahang
#KerajaanNegeriPahang





