PROGRAM PENCERAHAN FIQH AL-WATAN PENTADBIR MASJID DAN SURAU KUANTAN BANDARAYA

Kuantan, 8 Ogos 2026 – Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan Bandaraya telah menganjurkan Program Pencerahan Fiqh al-Watan Pentadbir Masjid dan Surau Kuantan Bandaraya bagi memperkukuh kefahaman para pentadbir masjid dan surau terhadap konsep Fiqh al-Watan serta kedudukan institusi masjid dan surau dalam pembangunan ummah.

Program mendapat sambutan baik dengan penyertaan seramai 106 orang peserta daripada 55 buah masjid dan surau, terdiri daripada Pengerusi, Imam serta Ahli Jawatankuasa Pengajian Ilmu.

Sesi pembentangan disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif IIDM, yang mengupas konsep Fiqh al-Watan serta kaitannya dengan kehidupan beragama dan bernegara di Pahang.

Dalam pembentangan, ditegaskan bahawa Fiqh al-Watan menjadi Wahdatul Fikr dan Amal atau wahana penyatuan pemikiran dan tindakan umat Islam di Pahang, selaras dengan hasrat Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Sultan Pahang agar umat Islam hidup aman dan damai dengan berpegang teguh kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah, merangkumi akidah Asya‘irah-Maturidiyah, Fekah Mazhab Syafie dan akhlak berteraskan Tasawuf Imam al-Ghazali.

Turut dijelaskan bahawa intipati Fiqh al-Watan merangkumi Fardhu ‘Ain dan Siyasah Syar‘iyyah. Fardhu ‘Ain membentuk kefahaman dan pengamalan agama individu melalui Tauhid, Fekah dan Tasawuf, manakala Siyasah Syar‘iyyah membimbing kehidupan bermasyarakat dan bernegara melalui penghayatan terhadap Kesultanan, Adat Resam dan Alam Sekitar berdasarkan prinsip syarak, dengan matlamat membina kedaulatan, kerukunan dan kelestarian.

Sehubungan itu, masjid dan surau berperanan penting sebagai pusat penyampaian ilmu Fardhu ‘Ain serta pengukuhan kesatuan pemikiran dan tindakan umat Islam di negeri Pahang.

“MEMBUDAYAKAN ILMU, MEMPERKASAKAN WATAN.”

#FiqhalWatan
#MembudayakanIlmu
#KerajaanKesultanan
#DaulahIslam
#PeradabanPahang
#556TahunKesultananDanPeradabanIslamPahang
#PeradabanIslamPahang
#SUK
#KerajaanNegeriPahang
#PahangBerdaulat
#PahangBersyariat
#PahangBeradat

View original on Facebook