Skip to main content
Author

Oleh : Mu’az bin Zakaria - Pegawai Program Dialog Peradaban, Institut Ilmu Darul Makmur Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang

Untuk berabad lamanya, tamadun Islam telah berjaya mengharmonikan bentuk-bentuk ekspresi adat resam, sesuai dengan kaedah yang ditetapkan oleh Syariat. Islam mengiktiraf keindahan hasil kreativiti yang dibina oleh Tamadun manusia. Kepelbagaian yang menakjubkan yang dapat dilihat melalui pelbagai aspek Peradaban antaranya senibina yang boleh kita amati sehingga kini. Dari jantung asalnya, tanah Arab hingga ke Tanah Melayu, di mana sahaja Islam lalu, maka disitulah budaya dan adat resam sesuatu Tamadun itu dilakari olehnya dan menjadi sebahagian dari identiti kaum itu di tempat tersebut. Inilah yang dikatakan “Adat Bersendi Hukum, Hukum Bersendi Kitabullah”

Dalam Sejarah Islam yang panjang, para Ulama telah membuktikan bahawa Islam mesra adat resam tempatan. Islam itu diibaratkan sebuah sungai yang jernih. Airnya bersih, manis, dan memberi kehidupan, ianya lutsinar, tiada warna, lalu menampakkan dasar sungai yang dilaluinya. Sekiranya dasar itu berbatu-batu, maka batu-batuan itu menjadi hiasan baginya, sekiranya kehijauan, maka hijaulah juga sungai itu.

Islam itu, apabila di Cina, zahirnya bersifat kecinaan, dan apabila di Eropah, nyatalah ia keeropahan. Demikian pula, tatkala ia tiba di Tanah Melayu, maka rupa dan adatnya seperti di Tanah Melayu. Relevansi adat resam yang kekal terhadap pelbagai bangsa, tempat, dan zaman menjadi sebab kejayaan Islam membina sebuah tamadun yang meliputi seluruh alam.

Islam bukan agama yang sifatnya mono-budaya, datang untuk mengetepikan adat resam tempatan, tetapi sifatnya dinamik, membolehkan kaum Muslimin menyusun tradisi mereka sendiri dengan penuh hikmah, serta menyumbang kearifan dan kreativiti di mana-mana sahaja mereka berada.

Namun begitu, dialog Islam kontemporari sering jauh tersasar daripada kebijaksanaan Tamadun Islam yang lampau. Seringkali ia menzahirkan sikap pemangsa adat resam. Retorik serta ideologi yang melandasi fenomena ini bertunjangkan, sebahagiannya oleh pemikiran literalis dan tafsiran mereka yang dangkal lagi kaku terhadap wahyu. Dalam sisi yang lain pula, pengaruh sekularisme Barat membawa faham anti tradisi, yang berpunca daripada sejarah panjang dan penuh liku mereka. Dengan anggapan bahawa agama dan adat resam adalah penyakit yang menghalang kemajuan, mereka berusaha menghapuskan kedua-duanya. Akhirnya, bukti empirikal dan rasionalisme sahaja yang tinggal menjadi iktikad.

Pada masa kini, umat Islam di Tanah Melayu masih memiliki peninggalan berharga daripada zaman kegemilangannya yang terdahulu. Namun, dalam kekeliruan zaman ini, kearifan adat resam tidak selalu difahami, dan banyak norma yang telah sekian lama teguh, kini kian pudar dan tidak lagi kelihatan. Akibatnya, runtuhlah tradisi Islam yang dahulunya sebati dan selari dengan adat resam orang Melayu. Amalan seperti bacaan Yasin, tahlil, dan sambutan Maulid kini semakin dipinggirkan. Bahkan, lebih mendukacitakan lagi, amalan ini dianggap bertentangan dengan Sunnah.

Dalam konteks ini, titik tolak sejarah Islam di Tanah Melayu, apabila Raja Melaka memeluk agama Islam, ia menjadi titik tolak kepada proses penjernihan adat Melayu daripada unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam. Penjernihan ini berlaku secara bertahap dan penuh hikmah. Proses ini dapat dilihat dengan jelas dalam teks Hukum Kanun Melaka, di mana al-Quran dan Sunnah memainkan peranan dominan dalam merubah, membentuk dan mempengaruhi adat Melayu.

Wasiat Sultan Mansor Melaka kepada putera baginda, Raja Husin, merupakan dokumen sejarah yang amat penting. Intinya merakamkan bahawa seorang raja ialah khalifah yang bertanggungjawab kepada-Nya. Raja tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menghukum dan menggubal undang-undang mengikut kehendak sendiri.

Selain itu, seorang raja wajib memiliki keimanan yang sempurna, akhlak yang mulia, serta melaksanakan pemerintahan yang menjunjung keadilan dan kesaksamaan. Pemerintahan itu juga hendaklah didirikan atas asas syura, melibatkan perbincangan bersama para cendekiawan dan bangsawan.

Maka, di sinilah letaknya peranan Kesultanan sebagai asas teguh watan Islam, yang memelihara adat resam bersendikan syariat. Daripada adat resam ini terpancar hikmah dan kreativiti yang membentuk amalan masyarakat, menjadikannya teras yang meneguhkan tali kerukunan sejak berabad lamanya. Adat Resam ini tidak sekadar mengatur kehidupan harian, bahkan menjadi cerminan adab yang menjiwai setiap individu. Ia menghidupkan semangat pengabdian kepada Yang Maha Esa dan menyemarakkan kecintaan kepada tanah air. Dalam rahim adat resam inilah terkandung naratif yang memandu insan menuju kesempurnaan diri, memperkukuhkan peradaban, serta memuliakan watan sebagai amanah yang perlu dipertahankan.

Adat resam umat Islam di Tanah Melayu ini memiliki keistimewaannya yang tersendiri, bertunjangkan pada tiga tiang seri yang kukuh, Tauhid, Fekah, dan Tasawuf. Tiga komponen ini menjadikan setiap individu dan masyarakatnya terhubung erat dengan Pencipta, sesama manusia, dan alam yang luas serta makhluk di dalamnya. Di dalamnya juga, terkandung kearifan yang mendalam dan hikmah yang abadi untuk membimbing kita kembali kepada kepada jati diri dan kepada makna sebenar kehidupan.

Sungguh mendukacitakan apabila adat resam yang menjadi warisan luhur dihapuskan atau dilabel sebagai kolot. Tindakan ini meninggalkan kekosongan yang tidak dapat dielakkan, dan kekosongan itu, secara tabii, pasti akan diisi juga. Sebagai contoh adat pakaian. Apabila pakaian tradisional digantikan, kekosongan itu diisi oleh pakaian asing, seluar jeans misalnya, yang sebenarnya mencerminkan nilai dan falsafah tamadun Barat. Seluar ini sering dikaitkan dengan etika koboi Barat yang individualistik dan bersifat memberontak. Apabila umat Islam mengambil pakaian ini tanpa memahami latar belakang budaya yang mendasarinya, secara tidak sedar mereka turut menyerap falsafah kebebasan dan individualisme itu, yang kadangkala membawa kepada pemberontakan terhadap nilai Islam sendiri.

Pakaian tradisional yang sopan dan menutup aurat seperti baju Melayu pula semakin jarang dipakai dalam kehidupan seharian, kecuali pada majlis-majlis tertentu. Seni ukiran kayu, batik, dan anyaman yang suatu ketika dahulu menjadi lambang kehalusan budi dan kreativiti bangsa, kini semakin terhakis diganti seni moden yang asing daripada akar budaya MelayuIslam.

Kita perlu kembali meneladani suri teladan yang agung, yakni Baginda Nabi صلى الله عليه وسلمdan para sahabat tidak pernah bermusuhan dengan adat resam, sebaliknya memandangnya dengan tasamuh dan berlapang dada. Mereka memiliki pandangan yang positif terhadap keistimewaan sosial pelbagai bangsa dan wilayah. Islam bukanlah sebuah sistem pemikiran yang memaksakan diri, baik di kalangan bangsa Arab mahupun bukan Arab, dan bersifat pemangsa budaya. Sebaliknya, sejak awal lagi, risalah kenabian berasaskan prinsip membezakan antara apa yang baik, bermanfaat, dan sejati, sambil berusaha mengubah hanya apa yang jelas merosakkan.

Mu’az bin Zakaria merupakan lulusan ijazah Universiti al-Azhar dalam bidang Usuluddin (Akidah & Falsafah)