Skip to main content
Author

Oleh: Nik Mohd Sofa’Urrahman Bin Nik Mohd Rosdi Pegawai Penyelidikan Isu-Isu Semasa
Institut Ilmu Darul Makmur, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang.

Syariah Islam adalah manhaj hidup yang diperundangkan untuk menjaga kehidupan manusia, berkembang melalui kefahaman para sahabat dan ulama yang membentuk mazhab empat sebagai asas fiqh umat Islam. Walaupun usul mazhab empat diakui menyeluruh dalam memahami wahyu, seorang ahli Parlimen mempersoalkan pentakrifan hukum syarak dalam RUU Mufti 2024 dan pengkhususan kepada mazhab empat, yang dianggap menyempitkan syariah dalam menangani isu baru seperti kecerdasan buatan (AI).

Kajian ini meneliti Rang Undang-Undang Mufti, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993, falsafah pembentukan mazhab empat, dan peranan mazhab dalam isu kontemporari. Ia juga membahas kewajiban berpegang kepada mazhab bagi mereka yang tidak mampu berijtihad dan mengapa ulama menyambung tradisi mazhab, bukannya membentuk mazhab baru.

PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANG MUFTI (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN)

Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 menggariskan syarat pelantikan mufti, termasuk keperluan berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah melalui aliran Asyairah dan Maturidiyyah, serta syariat mengikut Mazhab Syafie atau dalam keadaan tertentu Mazhab Hanafi, Maliki, atau Hanbali, termasuk ijtihad yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa. Walaupun terdapat penekanan kepada mazhab empat, ruang untuk ijtihad dalam pengeluaran fatwa tidak terhalang, menunjukkan keluasan syariat yang mengiktiraf kaedah dan prinsip usul mazhab lain. Hal ini memastikan pengeluaran fatwa kekal relevan dalam menangani isu kontemporari.

Bahagian IV fasal 16(1) menegaskan panduan pengeluaran fatwa berdasarkan Qaul Muktamad Mazhab Syafie, tetapi membolehkan penggunaan mazhab lain atau ijtihad tanpa terikat dengan mazhab tertentu jika kepentingan awam terjejas. Ini memberikan fleksibiliti kepada Jawatankuasa Fatwa untuk menangani isu-isu moden yang tidak terdapat dalam kitabkitab turath. Namun, keutamaan tetap diberikan kepada mazhab empat sebagai kerangka utama, yang mencerminkan disiplin dan piawaian hukum syarak yang kukuh.

Pengeluaran fatwa yang berpandukan mazhab muktabar tidak mengehadkan keluasan syariat kerana mazhab empat merangkumi prinsip dan kaedah umum yang luas. Walaupun hukum syarak memberi ruang kepada ijtihad luar mazhab empat, pengiktirafan tetap tertakluk kepada disiplin ilmiah dan piawaian syarak. Ini menegaskan bahawa hukum syarak yang diiktiraf adalah hasil ijtihad ulama muktabar yang sah dan berlandaskan kaedah yang diterima dalam tradisi fiqh Islam.

LATAR BELAKANG PENGISTINBATAN HUKUM OLEH PARA ULAMA TERHADAP ISU-ISU YANG BARU

Isu kontemporari yang terus berkembang memerlukan para ulama untuk berijtihad, merujuk kepada pandangan ulama terdahulu, termasuk mazhab empat yang muktabar. Perubahan zaman, pertambahan manusia, dan perkembangan teknologi menambah kompleksiti persoalan baru yang tidak terdapat dalam tradisi terdahulu. Abu Shamah menjelaskan bahawa sahabat, ketika menghadapi persoalan baru, mencari hukum Allah melalui Al-Qur’an dan Sunnah dengan berhati-hati, merujuk kepada sahabat yang lebih alim. Pada abad kedua dan ketiga Hijrah, lahirnya pelbagai mazhab fiqh termasuk mazhab empat utama, menjadikan ilmu fiqh berkembang pesat sebagai asas dalam menyelesaikan isu semasa.

Shahrastani dan Imam al-Haramayn sepakat bahawa keterbatasan nas Al-Qur’an dan Sunnah menuntut penggunaan ijtihad dan qiyas dalam menyelesaikan permasalahan baru. Shahrastani menegaskan bahawa setiap peristiwa memiliki hukum Allah yang dapat ditemukan melalui ijtihad, manakala Imam al-Haramayn menganggap qiyas sebagai asas utama dalam memahami dan menerapkan hukum syariat. Kedua-duanya menekankan keperluan penyesuaian hukum dengan realiti baru melalui ijtihad yang berlandaskan disiplin syarak.

Para ulama juga menggunakan kaedah takyif fiqhi untuk menyesuaikan realiti semasa dengan prinsip fiqh terdahulu, memastikan keserasian antara keduanya. Mereka merujuk kepada nas fiqh para sahabat dan Tabi’in, yang menekankan kepentingan tradisi keilmuan dalam menangani persoalan baru. Al-Awza’i dan Shuraih menyeru agar tetap berpegang kepada pandangan sahabat, mengelak pendapat yang tidak bersandar pada tradisi. Jika panduan sahabat tidak mencukupi, fuqaha’ akan merujuk ijtihad Tabi’in dan imam mazhab, seperti yang dinyatakan oleh Ibn Abd al-Barr, bahawa pemahaman isu lampau adalah asas untuk mengatasi cabaran kontemporari dengan berkesan.

PERBAHASAN ISU KONTEMPORARI (ADAKAH IJTIHAD BARU DIKIRA DILUAR KERANGKA MAZHAB?)

Kaedah Takhrij Furu’ `Ala Usul digunakan oleh ulama mazhab apabila tidak menemukan nas atau pendapat langsung daripada imam mazhab mengenai suatu isu. Kaedah ini membina hukum cabang (furu’) berdasarkan prinsip usuliyyah atau kaedah asas mazhab, dengan merujuk kepada jenis dalil yang digunakan imam mazhab serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Ibn al-Salah menegaskan bahawa takhrij dilakukan selepas qiyas terhadap nas-nas imam, apabila tiada nas khusus tersedia. Ulama mazhab Hanafi seperti Ibn al-Humam membenarkan takhrij hanya kepada individu yang memahami sumber hukum mazhab dan layak melakukannya.

Dalam mazhab Syafi’i, banyak hukum kontemporari diselesaikan melalui kaedah ini. Contohnya, isu peranti resusitasi dan tanda kematian dirujuk kepada kaedah seperti “keyakinan tidak hilang dengan keraguan” dan maqasid menjaga nyawa. Isu pemindahan organ pula melibatkan kaedah seperti “menolak mafsadah dan menarik kemaslahatan” serta “sesuatu yang terpisah daripada yang hidup dihukum seperti kematiannya.” Persoalan mengenai tubuh manusia turut membincangkan hak Allah dan hak manusia, berpandukan kaedah fiqh mazhab.

Kesimpulannya, ijtihad kontemporari masih berpaut kepada asas mazhab. Ulama masa lalu mengembangkan mazhab melalui ijtihad berdasarkan kaedah dan cabang yang terdapat dalam mazhab, dengan Takhrij menjadi metode penting yang memastikan hubungan erat antara hukum baru dan prinsip usul mazhab.

PENUTUP

Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 menetapkan syarat pelantikan mufti dengan merujuk kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mazhab empat sebagai panduan utama dalam pengeluaran fatwa. Walaupun terdapat keutamaan kepada Mazhab Syafie, fleksibiliti diberikan untuk merujuk mazhab lain atau menggunakan ijtihad bagi menangani isu moden demi kepentingan awam. Pendekatan ini mencerminkan keluasan syariat Islam dan keupayaan hukum syarak untuk kekal relevan.

Dalam menangani isu kontemporari, ulama menggunakan kaedah seperti Takhrij Furu’ `Ala Usul dan takyif fiqhi, yang berpandukan prinsip fiqh terdahulu. Kaedah ini membolehkan penyelesaian hukum baru berdasarkan kaedah usuliyyah yang diterima dalam tradisi fiqh, seperti maqasid syariah dan qiyas. Contohnya, isu pemindahan organ dan tanda kematian diselesaikan melalui kaedah seperti “menolak mafsadah dan menarik kemaslahatan” serta mempertimbangkan hak Allah dan hak manusia.

Secara keseluruhan, ijtihad kontemporari tetap berasaskan prinsip mazhab muktabar, menunjukkan kesinambungan tradisi keilmuan Islam dalam menangani cabaran baru tanpa keluar daripada kerangka disiplin hukum syarak.

Nik Mohd Sofa’Urrahman Bin Nik Mohd Rosdi merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda World Islamic Science And Education University (WISE) di dalam bidang Fiqh dan Usul dan Sarjana Universiti Malaya (UM) dalam bidang Fiqh dan Usul.

Tazkirah Jumaat IIDM-MUIP

Bertarikh 7 Februari 2025 / 9 Syaaban 1446